- Sent: Thu, September 16, 2010 8:25:52 AM
- Husni
Bot Sayong yang lama itulah sangat setia dan tegap membelah arus tenang atau
deras. Tidak pernah mungkir menghubungkan dua rasa, dua cinta. Luncurnya dari
tebing ke tebing sentiasa lembut dan berhati-hati, takut terusik dua hati yang
gelisah menanti atau ucap bibir belum bernoktah.
Bot Sayong yang lama itulah menghubung rezeki dan harapan. Dadanya sarat
dengan seribu peristiwa. Tabah menampung resah, mendengar keluh resah penumpang
dari garis subuh ke mega senja hingga pekat malam. Ia berehat sekadar melepas
lelah. Seawal subuh, ada yang telah menghentak kaki ke dadanya.
Bot Sayong yang lama itulah sentiasa diintai resah sijejaka,...apakah gadis
ayuku ada didalamnya sedang aku menanti waktu, mengharap jawaban agar hilang
prasangka yang sedang gelora di dada.
Bot Sayong yang lama itulah menyimpan segala sejarah, peristiwa, pahit manis
suka duka dalam kita menempuh alam remaja. Dia sentiasa cuba memenuhi impian,
seribu mimpi dan menyimpul kemas segala kecewa dan airmata suatu ketika dahulu.
Mungkin kini anak-anak kita melihat ia sebagai satu pengangkutan untuk
bersantai, sebagai suatu daya tarikan pekan kecil Kuale. Kita bawa anak-anak
kita naik Bot Sayong dan berkata, "Bot ini pengangkutan untuk abah ke sekolah
dulu" atau "Bot ini untuk abah ke rumah kawan di seberang sana, sebelum ada
jambatan itu yang di depan matamu". Sebenarnya kita menyusuri "satu kenangan"
yang abadi pada diri.
Bot Sayong ini pernah, wahai anakku memberi abahmu seribu harapan, malangnya
tidak kesampaian.
Bot sayong ini pernah, wahai anakku, aku naiki bersama ibu. Gerak
perlahannya membawa aku melayari mimpi indah bersama ibumu. Kami mengocak air
sungainya, melukis impian, dan inilah impiannya menjadi kenyataan.
Mudiklah dan terus mudik Bot Sayong kerana deru injin lesumu adalah detik
nadi kami hingga ke saat ini.......
Yasin Ismail
Tiada ulasan:
Catat Ulasan