Laman Utama

07 September, 2011

Coretan Cerutu,Lemang,RendangTok, Air Ketum

Sent: Tuesday, 6 September 2011, 10:30

Kepala aku masih 'hang over', tetapi rasa hati menebal untuk menulis
di ruangan ini, tiada yang menyuruh tiada yang mengarah cuma nak
meluahkan yang tersirat di hati dengan hal yang nyata lagi tersurat.
Tiada juga paksaan dan godaan, tiada juga salah berkongsi cerita
bersama sahabat. Malam hari raya keempat tahun ini amat berbeza kali
daripada hari-hari raya yang pernah ku lalui sebelum ini. masakan
tidak sejak bertahun lebih enak dikatakan puluhan tahun aku tidak
pernah berhari raya bersama teman sekolah, ya, satu kelompok sahabat
yang ikatannya amat kuat dan erat, mungkin yang datang ke restoran che
an itu tidak ramai tetapi sekadar untuk bersembang, berlabun, bergelak
ketawa, berseloroh dan bercerita perkara-perkara yang dalam keadaan di
bawah sedar adalah suatu yang tidak dapat dirasai jika kita berada
dalam kelompok yang lain, begitulah istimewanya pertemuan di malam
itu.

Mungkin yang tidak dapat datang itu ada komitmen lain dan prioritasnya
juga berbeza tetapi tidaklah itu satu kekhilafan, cuma yang  tidak
dikecapi dan dirasai "suasana" malam itu oleh mereka itu. Suasana
malam itu umumnya tidaklah jauh bezanya daripada pertemuan yang ada
sebelum ini cuma untuk hadir pada malam itu bagaikan satu langkah yang
penuh hambatan dan kangkangan. masing-masing punya cerita yang
terpaksa dilalui untuk menunaikan jemputan sahabat. Tidaklah juga
hambar dan lesu suasana malam itu, masih kedengaran suara-suara yang
riuh rendah, meskipun tiada agenda tertentu sama ada  topik atau isu,
perbualan tetap rancak dan emosi. Kiranya, kami bagaikan sudah
mengerti dan arif tentang perjalanan acara yang tidak beragenda.

Soal makan dan minum, tiadalah kurang malah bertambah, gulai tempoyak
ikan patin dan keli, itu lauk wajib, apa lagi disua pula lemang dan
rendang tok. Tekak yang kering dan lidah terasa pedas, kopi O panas,
teh tarik dan O dijadikan pembasah dan penghilang pedih di lidah.
Umbutan asap rokok putih dan kretek tidak lagi memadai, ditokok dengan
curut yang diimport, aduh enak rasa suasana malam itu. Sejenak di
benak ku, aku tidak perlu teman penghibur (cewek) sekiranya bersama
sahabat sekolah, mereka sudah  melengkapi malam ku. Ada waktunya
memang kita tidak memerlukan (membutuhi) perempuan di sisi kita,
mungkin ada teman yang tidak setuju hal ini tetapi itu terserah pada
pandangan masing-masing, namun sahabat ku yang seorang itu masih
membutuhi Ella, yang daranya aku ragui sekian lama.

Namun pada malam itu yang belum dilengkapi cuma minuman khusus, air
ketum idaman ku masih belum sampai, agak telat (lewat) juga  tetapi
tidak menghampakan empat bungkus empat cangkir dihidangkan. terlihat
hampir semua yang ada pingin untuk meminumnya cuma yang beza ada
minumnya banyak ada minumnya sedikit. Tiada paksaan dan pujukan untuk
mereka yang mau minum, semuanya terserah. Para sahabat jangan khuatir
dan bimbang tiadalah yang tidak sedarkan diri atau hilang warasnya,
bagi mereka yang minum pada malam itu, cuma perlabunannya terus tegar
dan rancak. Mungkin juga siapa yang minumnya banyak kesannya agak
beda, iya, seperti aku "kepusingan" kepala aku masih terasa sampai
siang. Aduh...kitakan sudah matang dalam hal ini, masih mengenal baik
buruknya.

Restoran Che An sudah mau ditutup perniagaannya pada malam itu,
perlawanan sepakbola England lwn Bulgaria sudah tamat bagaikan isyarat
untuk kami yang masih ada untuk beredar dan angkat kaki, namun kaki ku
seolah terpaku di lantai, kepala ku masih berputar, benak ku terguris
kerana waktu amat cepat berlalu, tidak ku tahu bila waktunya aku akan
bersama sahabat-sahabat ku lagi, mungkin ada rencana yang lain yang
akan diusahakan, aku mengharapkan demikian. Apa pun, malam hari raya
keempat tahun ini berada di puncak persahabatan akrab kita semua,
semoga puncak itu akan lebih mencanak pada waktu-waktu mendatang.
Terima kasih para sahabat, keakraban kita masih jitu dan ampuh!

coretan,
Amir Md Akhir
Sent from my iPhone


Harapan Pengembara Picisan

From: hishamudin.alli 
Sent: Sunday, 4 September 2011, 11:44

Sebaik sampai di Restoran Che An, ditempat yang dijanjikan, muncullah seorang demi seorang, rakan rakan lama , seawalnya Yasin, diikuti Pa MJ, dan bersusur galur yang datang sambil memegang erat tangan tangan digenggam, walaupun tarikh yang dicadangkan itu telah menjangkau 4hb Syawal, ada sebahagian rakan rakan yang lain telah ada keperluan dan hajat hajat yang diperlukan dan keutamaan menurut turutannya.

Aku beredar dari situ sekitar jam 2 pagi, lantas menuju pelan pelan kearah utara dan singgah keletihan di Bukit Merah, lantaran disitu saja yang ada kekosongan.

Kisah kisah nostalgia masih menjadi kenangan silam yang terpahat dilubuk hati rakan rakan, ingatan kebanyakannya amat kental dan segar disanubari masing masing.

Kisah kisah ini jika di rakamkan semula, boleh saja menjadi bahan bahan rujukan sejarah, apabila 50 tahun mendatang, versi dari kalangan kita sendiri, jauh dari telekan pihak ketiga, yang mana mungkin penilaiannya terperosok jauh tersasar dari sumber asalnya.

Aziz BBB menyapaku, setelah coretan awal Bot Tambang Sayong, kalau yang nyeberang Sungai Perak digelar Sayong Bojut, kalau ketika itu, sapaan sedemikian mengangkat berang, tapi kini, menjadi lipatan sejarah yang tersenyum, tersengeh sendirian, apabila nukilan minda menyapanya semula.

Itu adalah sebahagian kisah kisah Semalam Di Kuale, yang bakal dijadikan Agenda Tahunan, mungkin, sambil menziarahi mana mana sanak saudara yang masih ada disekitar Kuale dan sekitarnya.

Walaupun suasana sesak luarbiasa di Lebuhraya, namun atas kekuatan pertautan hati hati ini, kesukaran itu menjadi leluchon pada ketika bersendirian, ketika hayat masih ada.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Sep 2, 2011 10:28 AM

Perjalananku dari Kangar, sejak jam 11 pagi kelmarin dan singgah di Bukit Mertajam, sambil singgah dirumah kakak ipar disitu dan kebetulan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dan ADUN di kawasan itu menyempurnakan Rumah Terbuka, ditepi rumah kakak ipar, lansungnya makan makan Majlis Hari Terbuka Idul Fitri dan bertolak dari situ sekitar jam 5 30 petang, sesampai di Gunung Semanggol R & R telah hampir Maghrib dan terus ke Kuala Kangsar, 3 jam jua dari Gunung Semanggol kereta amat perlahan, banyaknya menuju ke KL, dan sampai di Kuale dah 10 30 mlm,

Tertidur sejenak sehinggalah 1.30 pagi dan bersolat, dan sambung semula utk Subuh. Sambil berehat rehat, diambil angin sekitar Rumah Rehat Kuala Kangsar, mata terpaku melihat arah Bot Tambang Sayong, melihat lihat, sambil terkenang kisah kisah zaman persekolahan di tahun tahun 70 an, itulah pengangkutan utama ke sekolah, berderai berjalan kaki ke Sekolah Menengah Clifford, 1974 hingga 1978, itulah angkutan utamanya menyeberang sungai.

Rentetan peristiwa bersama sama rakan rakan seangkatan, Mat Lentong, Rahim Chendi, Man Hanafiah, Noni Ree. Atan, Aziz Ali, Aziz BBB, Lan Kandang, Samaan, Pak Ngah, Zubir di penghujung Tambang. Yang dari RPK nya pula, sepengingatku,
adalah Zarina, Bibah Genjut, Intan, Nora yang acapkali diingati, yang dari Sayong Lembah adalah Salmah, masa masa itu, dialah yang kerap mengusik dan renjesin air sungai Perak masa sama sama naik Bot menuju ke sekolah.

Wajah wajah ini habya diingati masa itu, tak pernah dijumpai lagi setelah aku keluar dari kampong halaman sejak 1980 mencari kehidupan. Kecuali sejak akhir 2 tahun ini setelah Gathering Cliffordian 7378 dihidupkan.

Sejauh itu langkahannya, begitu masa berlaku setelah 32 tahun hidup di perantauan, kalau balik pun hanya di cuti cuti hari raya sebegini, sekejap sekejap.

Hari ini, pertemuan itu diadakan lagi.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 31, 2011 10:21 PM

Sudah berlalu hari raya diusia 50, yang letihnya apabila dah sebulan berpuasa, hari raya ni macam macam pulak juadah yang dihidangkan, disitu ada lemang, rendang tok, semua ini dah jadi makanan wajib pula bagi setiap rumah menyediakannya, yang berada di Perlis pulak, ketupat pulut menjadi kegemaran sebagai hidangan terutamanya dirumah rumah yang masih ada kedua orang tua, yang dah lama berlalu pergi, nampak gayanya, juadah juadah tunjuk di pasar sehari menjadi menu utama.

Bagi yang di Kuale, mungkin juadah juadah seperti tapai, lemang, rendang tok mengambil tempat, yang ada darah tinggi, kencing manis, ini adalah juadah yang jadi lawan utama.

Sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan yang baru lalu, kebetulan bekalan ikan berkurangan dipasaran, yang ada ayam dan daging, apa lagi, pakat sakit urat ler seluruh sendi sendi, lenguh dan sengal sengal.

Almaklum, engine dah tua, maka pakat pakat mengerang menahan sakit.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 29, 2011 9:43 PM

Pilu meninggalkan Ramadhan tahun ini, apakah bakal ditemui pada tahun mendatang? Saban tahun umur telah meningkat, dan semakin hampir untuk dipanggil pulang, petanda petanda awal telah pun di singkap satu per satu, rambut sudah mula memutih, gigi yang pelan pelan luruh dan mata yang pelan pudar.

Moga yang masih hidup diziarahi, dan yang telah pergi didoakan. Hanya doa doa anak yang soleh bakal sampai pada ibu dan ayah yang telah pergi.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 29, 2011 4:28 PM

Hari hari terakhir Ramadhan, menyaksikan kekalutan persediaan disaat saat akhir. Kesesakan berlaku dimana mana, kebanjiran anak anak perantauan kembali ke kampong asal, ibarat sirih pulang ke gagang.

Sejak tengahari tadi, telah menutup operasi pejabat, dan terus pulang kerumah sebaik sahaja menyelesaikan keperluan bank, cuti mulai 30hb Ogos hingga 2hb Sept, dan kebanyakannya akan pulang memulakan kerja dan tugasan pada 5hb September.

Bagi kerja operasi kecil kecilan sebegini, semuanya bergantung pada mood pelanggan, ikut citarasa dan keperluan semasa.

Sebentar lagi nak ke mesin bank membuat beberapa pembayaran lagi, dan semuanya perlu dikemaskinikan, lebih lebih suasana cuti yang panjang.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 28, 2011 11:31 PM

Setelah beberapa hujan di Utara Semenanjung, mengingatkan banyak kisah kisah terdahulu, tatkala waktu membesar di Kuala Kangsar, hujan hujan begini menggusarkan para penoreh penoreh getah, yang rezekinya bergantung disitu, berbekalkan ikan asin belanak dan belukang, serta pulut untuk dimakan mengalas perut, rupa rupanya banjir besar melanda di sepanjang Sungai Perak, bah besar 1967, menyaksikan harta benda musnah, rumah rumah dihanyut air deras, meninggalkan sehelai sepinggang.

Hari hari lebaran disambut sebegini , menginsafkan banyak perkara perihal keinsanan, yang meruntun pengorbanan dan mengajar erti kehidupan sejagat. Tiada kekuatan dan daya yang harus dilalui dengan keadaan sebegini, hanya Pencipta merencana dan disana sini mengingatkan hamba hambaNya agar berserah diri padaNya.

Setiap kejadian alam punyai pengajaran agar kita yang hidup, yang masih diberi tangguh, untuk merestropektif, muhasabah, dan bergantung harap sepenuhnya kepada Pemilek Alam.

Kita yang serba serbi lemah. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 28, 2011 5:34 PM

Bagi yang terlebih duit kupang, dibelilah beberapa kati kabaid dijadikan mainan meriam buluh, dihalakan ke seberang sungai, kota lama kiri. Kota lama kanan. Bunyi bertali arus hinggalah sitikang cucuhnya tidak meroloh terbongkang keletihan.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 28, 2011 6:28 AM

Aktiviti zaman kecil, sesuai dengan fitrah kanak kanak lelaki, aktiviti lasak menjadi sesuai dengan tubuh lelaki, main main perang, dengan buluh bedei, berpelurukan dengan putik jambu, disumbatkan dipangkal buluh, diasak kedalamnya dan dibedei dengan memasukkan buluh dan diacukan pada objek, yang menghairankan, tidak pula objek ini kena mata, hanya kena dipersekitaran fizikal badan.

Suatu ketika, masa ziarahku dirumah ibu saudara di Tanjong Rambutan, ada suatu pendedahan baru, main mercun dengan dinyalakan mercun sebesar anak jari anak kecil dipangkal besi paip, dan dihujungnya diletakkan satu lagi dan ditujukan pada objek, berterbangan yang dihujung itu kearah objek yang diarahkan setelah mercun dipangkal meletup dan dihujungnya meluncur kedepan.

Kreatif anak anak kecil diajar oleh yang senior sedikit dari kalangan rakan rakan sekitar. Permainan ini sangat popular ketika sepanjang bulan ramadhan, di dengari dentum dentam bunyi mercun dan bunga api.

Suatu lagi permainan kotak kotak rokok, yang setiap jenama punyai nilai mata tersendiri, yang terbesar kotak camel, nilai 1000, dan gold leaf nilainya 10. Macam macam dijadikan mainan, disusun kotak rokok ini, dilempar dengan kasut, yang mengenai kotak kotak ini dan keluar dari garisan kotak disediakan, maka jadilah milek sipenerima, sehinggalah habis terkeluar kotak kotak dari garisan tersedia, bagi yang agak dewasa sedikit, disulam dengan kotak rokok yang sama dengan main race, melalui daun daun terup, dengan main nyatu, tiga kong, dan sebagainya, yang kalah terimalah habuah kepala lutut dikatuk dengan terompak.

Tak di dengari, tempurung kepala lutut mereka ini pecah ataupun rosak, mungkin selepas beberapa ketika, wallahualam.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 28, 2011 5:59 AM

Sementara menunggu keputusan MCE tahun, 1978, digunakan masa terluang melihat lihat dan berkelana diselatan tanahair, di Johor Baru, sementelahan kononnya ingin mencuba nasib, ketika itu di sekitar Kuala Kangsar, hanya Peraktex sahaja yang tersohor menggajikan penduduk sekitar Kuala Kangsar, diangkut seantero ceruk di daerah Kuala Kangsar, dengan bas bas kilang, menjayakan produksi kilang berkenaan.

Kucuba nasib sebelum itu, tapi seawalnya telah ditidakkan, setelah ada mild hypertension pada medical check up, begitulah juga setelah MCE, kucuba juga hadir di PLAW untuk Pegawai Kadet, di urusan Medical Check Up, masih menunjukkan perkara yang sama.

Memang rezeki ku tiada disitu, lantas kucuba disektor sivil, langsung tewrletak dengan Felda, dan diawal tahun 1980, dimulakan kerjayaku dengan Felda.

Cerita cerita dikala kecil dan remaja, hanya berkisar kisah kisah dengan rakan sebaya dan sekampong, masih belum dicoretkan, aktiviti buluh bedei, main nganto, main kotak dan kumpui kotak rokok, main guli dsbnya.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 27, 2011 5:09 AM

Zaman kanak kanak ketika itu, adalah zaman yang menyaksikan kehidupan masyarakat petani dan yang menyara diri dan keluarga dengan kerja kampong, terdiri dari kerja kerja menoreh getah dipaginya, petangnya berbendang, dan pencarian lauk pauknya dengan aktiviti menjala ikan, ada yang merelap dan yang ingin cepat dengan menuba di lubuk lubuk ikan bersarang.

Ketika itu Empangan Temenggur sedang dalam pembinaan, empangan utama adalah Empangan Chenderuh, ikan ikan sugai yang disekitar empangan berkenaan dengan adanya ikan ikan sungai sebesar 40 ke 50 kg seekor, temboleh, dan ditangkap dengan cara menembak dari permukaan air suingai.

Sebaik jadinya Temenggur, segala ikan ikan ini banyak dipersekitaran Teluk Banding, yang menjadi tumpuan baru ikan ikan sungai ini.

Sebelum terjadi Empangan Temenggur, jadinya banjir besar tahun 1967, yang menenggelamkan persekitaran sepanjang sungai Perak, yang tahap airnya separas Jam Besar Kuale, yang hanya nampak, jarum jam cuma, begitulah keadaan banjir melanda ketika itu.


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 25, 2011 5:45 PM

Disuatu hari lebaran, aku dan Kama adalah rakan sewaktu kecil, sebaik sahaja solat eid fitri, aku mengenakan seluar saddle king dan baju dan berkasut kulit bata, berjalan kaki dari Kota Lama Kanan, melalui Iskandar Bridge menuju ke Kota Lama Kiri, selesainya acara beraya di rumah bapa saudara Kama, dia dibekalkan RM 10 duit raya, dan aku hanya dapat tempiasnya sahaja , dapat 2 kupang,

Berjalan kaki di waktu hari lebaran ini adalah perkara biasa, sesampai balik dirumah , kaki melecit (melecup) akibat kasut kulit keras, .......habuan la, tak ade yang berade ketika itu,


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 25, 2011 5:02 PM

Masa zaman kanak kanak, pada malam 7 likur, malam 27 Ramadhan, ada Pesta Panjut , malamnya berpusu pusu warga Kuale , melihat apa yang terindah dan di nobatkan juara mana yang panjutnya terhebat.

Legasi ini hanya tinggal kenangan, ada yang dipertemukan jodohnya kesan dari Pesta Panjut, maklum ketika itu, hanya surat penghubung diri, menanti posmen dengan bungkusan sampul surat adalah suatu igauan panjang bagi yang mengadu kasih, malam 27 itu sambil beracara, sambil berwacana hal membina keluhuran keluarga...., ada yang bahagia, ada yang derita.

Begitulah kisahnya....


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 25, 2011 12:53 PM

Dalam menghadapi jurang generasi antara zaman kita dengan bapa dan ibu kita, dan zaman kita dan anak anak kita, adalah ibarat langit dengan bumi. Kesusahan dan keperitan kehidupan silam, jika diimbas semula, termenung panjang dengan laluan yang panjang, sinis melihat perkembangan semasa, yang masa kita menjalani proses pendewasaan.

Dulu, sikit sikit jadi bukit, sekarang , kejap ada, kejap tiada, zaman chipsmore. Zaman anak anak kini, tahu ada kesemua, macam mana nak bagi ada, tiada dalam noktah permikiran, zaman kecilku, berhajat dan berkeinginan apa saja, " cari sendiri lorrrr", paginya noreh getah, petang ke sekolah, hujung minggu ke bendang, atau nanam pisang, ini semua adalah aktiviti zaman remaja fasa ke 2.

Menoleh zaman itu, ditakdirkan aku menginap semula di tempat itu, sudah bangkrap pemikiran, macam mana nak meeneruskan kehidupan jika dimasa ini aku mengungsi di tempat yang aku dibesarkan.

Mahu demam memikirkannya....


------Original Message------
To: Cliffordian Mail
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 25, 2011 12:33 PM

Dalam memperagakan baju seluar baru dihari lebaran, kepingin aku nak berseluar panjang pentelon, mahupun terlior melihat yang kurus murus, ber dungaree blue, tapi oleh kerana susuk badanku kedepan, maka yang termampunya ketika itu bercelana pendek, saddle king, harga RM 6 ketika itu. Lagaknya macam conductor estate berjalan kehulu kehilir.

Zaman zaman inflasi, apalah yang boleh difikirkan, getah asap berbunga baru 2 kupang 5 duit sekati, sama dengan harga gula waktu itu, dan beras cina segantang RM 1.60.

Tatkala aku meriwayatkan pada anak anakku, kisah kisah waktu kecilku, mereka mencebik dengan kata kata, "itu zaman abah...", ialah "abah aku susah", "hangpa pak hang kaya hutang, kaya juga noooo...."


------Original Message------
Subject: Re: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 24, 2011 8:16 PM

Seketika diawal kanak kanak, rakan rakan bergembira dengan baju dan pakaian baru, tatkala dizaman zaman itu, diragakan dengan pakaian pakaian yang pelbagai, jeans biru adalah suatu yang amat mewah ketika itu, jenama Levi's adalah tersohor, yang bawah sedikit dengan saddle king, kemudiannya dengan amco, jax, texwood dan lee. Kalau di Kuale kurang bekalan dan pilihan, ke Ipoh adalah yang utama, yang tersohor adalah Lendo, kemana perginya syarikat syarikat ini, setelah arus pembangunan dan emporium dan supermarket dan mall mengambil tempat.

Sudah 4 dekad berlalu, serasa ianya masih dalam bayangan, bersama sama ke Taiping, bersiar siar, disergah Tok Siak di Masjid Taiping, sepanjang malamnya tidak ketiduran, bersiar siar mencari identiti kanak kanak. Duan Omar, Yasin, Roslal dan seangkatan dengannya, dan juga Nordin Mansor tatkala persekolahan menengah, dalam suasana belasan tahun.

Yasin amat dikenali di Sekolah dengan mulutnya yang tak semudah itu akan berdiam, ada sahaja yang nak diceritakan, tatkala ketika di Sekolah Rendah, dia kemalangan dilanggar bas, panjang umurnya, berasa kehilangan seketika tatkala dia dalam rawatan.


------Original Message------
Subject: Harapan Pengembara Picisan
Sent: Aug 24, 2011 7:10 PM

Sudah 50 kali, diulang ulang hari hari lebaran ini dilalui, dan bakal dilalui jika ada umur untuk hari mendatang. Diimbas kembali suasana, masa berumur kanak kanak, aku masih dibawah pengawasan nendaku sehinggalah berumur 10 tahun, setelah  pemergiannya mengadap Ilahi, tatkala itu, bapaku acapkali balik sebulan sekali ke rumah nenda, pergaulanku dengan ayah, agak terbatas sebulan sekali, dia dengan adik adik yang lain dan ibu tiriku, menginap di Pulau Lalang, menanam limau nipis, tatkala cuti sekolah seringnya aku ke kebun itu, membantu memetik limau nipis untuk dikumpulkan dan dijual pada peraih peraih, berpikul pikul penghasilannya.

Setelah Pulau Lalang diserang sekumpulan gajah liar acapkali, bapaku dan adik adik yang lain berpindah di Pulau Seberang, berhampiran Pulau Kemiri, berbendang menyara hidup, setelah melalui itu semua, seketika ayah dan keluargaku sebapa berpindah ke Pasir Raja, setelah gajah gajah liar mengganggu penduduk di persekitaran.

Acapkalinya, apabila hari lebaran begini, nostalgia lama semasa zaman kanak kanak, diingati, dan termenung sendirian untuk dihayati jalan cerita.

Setelah kematian nendaku, adik adik sebapa dan ibu tiriku telah kembali kerumah nenda, dan ayah berulang alik ke Pasir Raja, mengerjakan kebunnya pokok getah dan dusun durian,  untuk sama sama bersekolah disekitar Kuala Kangsar. Aku dan penjagaku, Fatimah menetap hinggap dirumah ibu saudaraku, kakak pada ayah, sebaik sahaja nenda meninggal. Di rumah emak saudara ini adalah fasa kedua kehidupan, iaitu musim agak remaja, usia awal belasan hingga mencecah awal 20an.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.