Laman Utama

31 Disember, 2012

[7378] Pasti Tiba!: Selamat Tahun Baru

Salam Pagi yang tenang
  Isnin 31hb Dec 2012, hari terakhir bagi tahun masehi 2012. Insyaallah, jika diizinkanNya, esuk kita akan melangkah ke tahun baru, 2013. Betapa seronoknya bagi ramai kita!. Mungkin pagi ini, ada ibu yang bergegas ke pasar membeli bahan-bahan untuk dijadikan hidangan malam nanti, makan besar, makan meriah sempena berjaya mengharungi detik-detik yang berlalu, 2012. Begitu juga ramai bapa yang merancang sesuatu istimewa untuk keluarga, apatah lagi anak muda yang berpakat kemana untuk dituju menyambut kedatangan 2013 tengah malam nanti. 
 Saban tahun perkara yang sama berulang, iaitu "azam/resolusi". Kita berazam untuk lebih baik, lebih berjaya yang kehidupan. Kita berazam yang nampak di mata kasar. Siapa tiada resolusi tahun baru, maka dia tiada motivasi dalam kehidupan. Cantik kedengarannya, cuma yang ingin diketengahkan, resolusi/azam itu berbentuk fizikal, kerohaniannya amat nipis. Apatah lagi azam untuk kerohanian semata-mata. Jarang atau mungkin tidak ada dibicara tentang azam bekalan untuk dibawa ke alam kekal abadi. Bukankah setiap kali melangkah ke tahun baru, pastinya usia kita meningkat dan pasti pula kita semakin senja di dunia ini.
  Anak-anak sedang mengulit buku baru, baju sekolah, beg, kasut baru yang berbagai jenama, yang menelan belanja yang amat besar kini. Usah kita bandingkan dengan zaman kita, masa berubah. Zaman mudah kita untuk melangkah ke sekolah telah berlalu. Tuntutan kini lebih canggih. Jika ibubapa alpa, anak-anak akan ditelan arus pembangunan pendidikan yang meruntun dan menagih pengorbanan para ibubapa.  
  Abang dan kakak masih belum pulang rumah walau persekolahan esuk akan bermula di beberapa negeri. Mana mungkin untuk pulang. Malam ini kita ada pesta!. Lantas kemana halatuju anak bangsa kita? Persekolahan kini hanya untuk anak tadika dan yang sedang ghairah memilih sekolah untuk ke tingkatan satu. Bagi pelajar yang lain, -malang- apabila sekolah akan dibuka. Segala gadget terpaksa ditinggalkan di rumah. Peraturan jumud apakah ini?. Segala peralatan canggih yang memudahkan kehidupan tidak dibenarkan ke dalam bilik darjah. Kalau bolehpun hanya kalkulator bodoh yang mengelirukan.
  Berapa banyak dara akan terkorban sempena sambutan Tahun Baru 2013 dalam bingit "muzik countdown". Berapa ramai anak muda yang akan terkorban "head banging di dashboard" kerana kerana memandu dalam separuh sedar, separuh khayal, berapa ramai anak muda yang mendongakkan motosikal ke udara menembak langit hingga UFO sangkakan "attack from earth"
  Majukah minda kita untuk berhadapan dengan 2013?. Yang pasti dunia ini semakin tua dan tiada untuk melarang gejala sosial yang berleluasa. Guru tidak mengajar dan takut mendidik anak pelajar untuk berhemah. Takut ditumbuk atau disaman.
  Ibubapa terlupa menghadiahkan  telekung dan sejadah pada sambutan "Happy Birthday" anak di tahun 2012 lalu.

  Apapun, ia pasti berlaku malam ini. Selamat Tahun Baru 2013

Salam Hormat
Yasin Ismail

20 Disember, 2012

[7378] 20 Dis.2012. Kenangan Ayam Jepun



    Waktu ke Penaga, Pulau Pinanag tadi, aku susuri kawasan perkampungan sawah padi. Sedang menghijau padi, kurang lebih telah hampir sebelum ditaman. Desir angin pagi mencelah masuk ke dalam kereta yang tingkapnya aku buka untuk menikmati hembusan angin. di beberapa kawasan ban padi kelihatan siibu dan juga anak kecil memancing puyu. aaahhhhhh...suatu ketika dahulu aku pernah dalam situasi begitu.  Bebas merentas alam, bebas semaunya.
    Melalui perkampungan Lahar Minyak, tiba-tiba lamunan disentap oleh sekumpulan ayam...ayam jepun!. Masih ingatkah dengan ayam jepun?. Kepala botak dan aksi samseng dan sedikit ganas bila didekati, macam askar jepun gambaran cerita datuk-datuk kita. Mungkin sebab itu spesis ayam ini dikenali dengan panggilan "ayam jepun". Taiknya bebau kuat, dikenali "taik ayam muna'. Waktu kecik dulu, jika kami terserempak dengan taik ayam muna, maka lidi dicari, dicolek dan cuba kesatkan pada rakan. 
    Maka, wujud satu lagi permainan spontan. Culik taik ayam muna dengan  lidi dan kesat pada kawan. Siapa yang terlewat cari lidi bertempiaran lari sekeliling kampung. bau taik ayam ini busuk, aaahhhhh..masing-masing yang pernah melalui situasi ini, pasti dapat mengesan-hidu baunya. Melekat kuat baunya jika terpijak...hikkkkkk.
    Ayam ini sangat suka pula mengejar dan cuba mematuk, walau tidak dikacau. Ayam jepun ini sangat menimbulkan masalah pada sesiapa yang jambannya di luar rumah. sambil kita membawa sebaldi ayam untuk ke jamban , ayam ini akan mengejar. Berlari dan terkentut kita, apalagi dengan perut senak...hikkkkk. Yang hairannya, ayam ini suka mengejar budak-budak dan perempuan berkemban, lelaki dewasa jarang pula dikejar.pelik bin ajaib.
    Macam askar jepun, cerita ibu dahulu yang masuk kampung menyakat kanak-kanak dan mengejar perempuan berkemban, begitulah siayam jepun yang membawa aku ke kampungku, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Selalu pulang atau jarang kerena tugasan kehidupan di rantau, Kota Lama kiri dan Kuala kangsar tetap di jiwa ini....melamun aku melihat keletah ayam jepun............................ aku kembali sedar, hari ini 20 Disembet 2012. genap 4 tahun ibu ku kembali ke rahmatullah. Semuga rohnya sentiasa dirahmati Allah SWT. Kasih aku dan imbauan kenangan lalu,...ibu,kasih aku kekal bersamamu. Ya Allah, kasihilah ibuku, tempatkan rohnya di JannahMu. Al-Fatihah....Amiin.


Salam Hormat
Yasin Ismail

18 Disember, 2012

[7378] Sesekali Melihat Gelagat Siswa Siswi (oleh Sham)

Kebetulan, sudah hampir 10 minggu, dengan menghadiri kelas untuk 73 jam contact hours, untuk melayakkan untuk berurusan dengan Seksyen 90, Akta Kastam, rata ratanya majoriti adalah partisipasi dari siswa siswi undergraduate tahun akhir, memerhatikan gelagat yang seusia dengan anak anak dirumah, begitulah adaptasi seluruh warga, tanpa mengira ras dan warna, gelagat manusia seumur itu, membawa ragam dan corak pemikiran sealiran.

Tangkap muat, apa saja yang membolehkan ianya lepas dari halangan, pagar pagar dan jari jemari yang membolehkan melepasi jerangkap, dinamakan peperiksaan.

Memerah otak yang sudah layu, baca atas lupa dibawah, baca tengah diatas lupa, terlopong jika ada pertanyaan yang seolah olah ianya tidak diajar, twist and turn adalah lumrah bagi yang bertanya.

Hari ini, adalah hari akhir, sebelum menempuh peperiksaan di hari Jumaat.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

17 Disember, 2012

[7378] secalit madat sekudap rasa V


"Hati yang gundah gelisah perlu dihiburkan"...kata-kata yang sering kita dengar, tetapi bagaimana untuk menghiburkan hati dan rasa? Kalau perut lapar kita makan, kalau mengantuk kita tidur, hal-hal sedemikian rupa ada pengubatnya, ada jalan keluarnya tetapi untuk menghiburkan hati......boleh ke?  Ada yang mengatakan tak susah mana pun, ye le...untuk menghiburkan hati ada macam-macam cara dan kaedah apa lagi ia amat subjektif. Mungkin dengar cara mendengar lagu, hati dan rasa terhibur untuk seseorang tetapi bagi orang lain  caranya berbeza, mungkin dengan menonton filem atau apa-apa cara yang dia rasa sesuai, tiada yang khusus,  itu yang dikatakan tiada satu erti untuk hiburan hati dan rasa.

Untuk menghiburkan hati ini juga ada kalanya memerlukan biaya dan belanja, itu terserah pada kemampuan masing-masing. Namun terkini bagaikan berlaku satu fenomena bagi pengikut grup ini untuk menghiburkan hati. Yang dimaksudkan tulisan-tulisan atau karya-karya pengikut grup ini yang dipostingkan, rasa terhibur hati membacanya. Masing-masing berikhtiar dan berusaha untuk menulis sesuatu yang mengarah ke hiburan hati dan rasa. Secara jujur itu yang tersemat dalam hati penulis-penulis atau pengikut grup ini apabila menulis apa-apa perkara dan hal, malah satu perkataan pun menjurus ke arah menghiburkan hati. Reaksi pembaca postings akan tersenyum yang tidak dapat dilihat oleh pengikut grup kecuali orang yang berada di sisinya, ketawa yang tidak didengar oleh pengikut grup tetapi didengar oleh orang di sekitarya, malah penulisnya pun turut tersenyum dan ketawa. Hujah ini mudah saja untuk disokong, cuba ikuti perkataan hhiiikkk...., he...he....he... dan perkataan lain yang berindikasi geli di hati dan rasa, apa lagi kewujudan perkataan ini di akhir ayat yang dipostingkan.Tak perlu memberi contoh perkataan dan ayat yang mencetus fenomena ini, kita semua tahu dan menyedarinya.

 Majoriti tulisan di grup ini bercorak demikian, idea yang mencambah buah fikiran bagaikan tidak putus, mengalir bak air sungai, ada kala  berlaku banjir idea, melimpah-limpah tak tertampung lagi, tanpa mengira waktu, pengikut yang setia menunggu dan terus mengikuti postings bagaikan nyawa sehariannya. Sementara itu wujud juga kerinduan di kalangan pengikut sekiranya ada yang agak lama menghilangkan diri atau berdiam diri (bertapa) tanpa sebarang berita. Maka ditanya ke mana gerangannya? Tanpa melengah masa ada jawapan untuk pertanyaan sedemikian, hebahan tentang keberadaannya pun diketahui ramai. Rasa keperihatinan di kalangan pengikut grup ini juga tebal.

Tiada pun yang jemu dan bosan akan postings yang  mencurah-curah masuk dan mencanak bilangannya setiap hari. Mungkin ada suara bagai tercubit hati dan rasa kerana postings sebegini jumlahnya hinggakan memenuhi kotak mailnya tetapi di benak hatinya mengalu-alukan postings itu. Tak percaya cuba ditanya diri masing-masing tidakkah rasa kosong apabila tidak menjenguk grup walau pun sehari? Perhatikan pengikut grup yang baru kembali ke tanah air, bagaikan melepas geram postingnya yang menerpa masuk, apa yang terlubuk dihatinya selama puluhan hari itu dilimpahkan daripada sebentuk huruf, sepatah perkataan hinggalah ke sepotong ayat, semuanya dijirus ke grup mail. Itulah penangan grup mail ini......

Fenomena yang terus menerus ini biarkan ia berkekalan, janganlah ada noktahnya. Kita yang hidup ini pasti ada hujungnya tetapi lestarikanlah hiburan hati  kita di ruang ini dengan rasa tahmid.


Amir Md Akhir

17/12/12

Putrajaya


12 Disember, 2012

[7378] 13 DEC 2009: Atas nama persahabatan

Mengimbau Kembali: Sebuah perjalanaan atas nama persahabatan:

    13hb Dec 2009, Ahad, aku berada di Setiawangsa dan di awal pagi itu bersiap untuk pulang ke SP keseorangan diri kerana anak dan isteri masih ingin terus menghabiskan cuti di KL. Kurang lebih jam 9.30 pg, perjalanan ke pulang aku menalipon Hasni. beliau antara beberapa bekas pelajar Clifford 7378 yang initiate pertemuan semula. 
    Pada awal September, kurang lebih jam 8.00mlm, beliau ada menalipon aku bertanya khabar dan bertanya ada masih ingat pada beliau. Pasti aku ingat!. Ruangan ini telah bermula, tetapi tidak pernah bersua muka. Sering aku tertanya bagaimana rupa rakan-rakan akrab yang juga rakan yang dikenali suatu waktu zaman kanak-kanak di Primary dan Secondary.
    Sambil memandu keseorangan aku talipon Hasni dan dikhabarkan mereka berhenti di R&R Sungai Buluh dalam perjalanan ke Ipoh untuk pertemuan beramai kali pertama. Aku minta beliau tunggu aku sampai di R&R, dan kami bertemu. Kelihatan Dajwi, BJ dan Megat AF. Teruja bertemu semula juga terasa janggal untuk berbicara. Bayangkan 31 tahun masa berlalu, melihat BJ dengan rambut putih sepenuhnya, seperti aku.....aaahhhhh, tak apa. Kita masih segak.
    Dari situ kami meneruskan perjalanan ke Kedai Vanggei Jalan Yang Kalsom. Kehadiran kami dinanti oleh Chomei, Sham Pak Aji, Sham Gemuk, Ensar, Hilal dan Fuad Harum, Sham Kassim, Ajih C., Razali Ayor, Seli, Ben dan ramai lagi. Mencari tempat untuk berbicara yang lebih santai dan mengisi perut kosong, kami beredar ke Vanggei Greentown.
    Sambil makan, sambil berbicara, juga kelihatan Kamarul Baharin dan...aku terkejut tapi sangat kenal dengan Latif dan Usop. Kita telah dimamah waktu. Kami ketawa melihat fizikal masing-masing. Alhamdulillah, kami masih ceria dengan kehidupan 31 tahun masing-masing. Muncul Pa dengan gaya tersendiri, Azizul yang masih fizikal seperti dahulu, Khalid dan ramai...ramai lagi.
    Dari situ kami beredar ke PRGC dan lewat petang muncul John Boy. Aku ada bertemu dengannya yang selalu menziarahi arwah ibuku. Dengan ketenangannya selalu berbicara dengan ibu aku, dan pastinya arwah ibu amat gembira bila Ustaz Jamal (bukan lagi john Boy) datang berkunjung dengan ucapannya yang mendamaikan perasaan arwah ibu. Terima kasih Ustaz, hanya Allah SWT membalas budimu.
    Lewat senja aku pulang dan singgah di kedai Latif di Salak untuk makan malam dan kemudian singgah di Kualer seterusnya ke SP dan sampai jam 3.00 pagi.
    Pagi itu aku bertugas sebagai Ketua Pengawas SPM. Waktu rehat Sham Gemuk talipon beritahu beliau berada di KUIN, SP bersama Akif, lantas aku terus mencelah ke sana bertemu Akif.
....dan yang lainnya adalah sejarah kita Cliffordian 7378. 
    Esuk 13hb Dec 2012, genap 3 tahun. Kita bertemu dan bertaut dan kita telah kehilangan sabahat akrab. Al-Fatihah buat Arwah Fendi, Ben dan Razali, begitu juga dengan arwah sazali, Ku Azlan, Ezani, Shafie dan beberapa nama yang aku berlupa. Semuga Allah SWT mencucuru rahmatNya kepada roh-roh mereka dan ditempat bersama roh hamba yang solihin. Kita kuatkan ukhuwah kita, Cliffordian 7378. Yang jauh, yang malu dan segan, kita dekatkan. Amiin.

Salam Hormat
Yasin Ismail


[7378] secalit madat sekudap rasa IV

Salam,
Seketika menonton filem Singapura Dilanggar Todak(SDT) di TV2 beberapa hari lalu, tersirat pelbagai nilai yang merentasi masa sehinga ke hari ini. Kisah yang lahir daripada buku Sejarah Melayu meninggalkan impak, kritikan sosial dan politik. Kisah SDT terdapat dalam dua versi, buku dan filem, mungkin ramai yang lebih dekat dengan filem kerana ia lebih dramatik dan "visualisation" yang lebih menarik. Watak-  watak yang dibawa oleh S.Kadarisman, Bat Latif, Hj.Mahadi dan beberapa yang lain terpatri dalam ingatan kita. Namun apa yang dipapar di dalam filem seperti  genrenya berlaku improvisasi daripada naskah asal.  Watak Temenggung dan Hang Nadim adalah antara watak penting dalam filem tidak dijelaskan dengan nyata dalam SDT. Di cetera kesepuloh SDT hanya menyatakan "pembesar-pembesar negeri" dan "seorang budak" dalam menangani serangan todak, idea siapa yang bodoh dan bijak kita semua sudah mengetahuinya. Yang jelas dengan hasad dengki tertanam lama dalam jiwa orang Melayu maka fitnah menjadi senjata utama utuk menjatuhkan orang Melayu. Filem SDT berakhir dengan watak-watak protoganis melarikan diri ke Pasai. Naskah Sejarah Melayu dicetera yang sama melanjutkan pengisahannya hingga ke kisah pembelotan Sang Rajuna Tapa yang mengundang orang Jawa menakluki Singapura. 

Tiadalah ulasan panjang akan SDT tetapi cuma dalam memikirkan bangsa, nilai-nilai yang terkandung dalam SDT tidak dapat tidak berada di sekitar kita, apa lagi dalam soal mengenepikan nilai-nilai agama seperti yang terjadi kepada Tun Jana Khatib. Rasa-rasakanlah...

Sesungguhnya hasrat hati ingin bertemu dengan sahabat tetapi apakan daya, tidak dijangka tugas yang di luar jangka terus datang hingga ke malam, keberadaan di pejabat sebegini memenatkan sesampai di rumah langsung melelapkan mata, apa jua rencana tergendala semua. Terkilan rasa. Maaf sahabat.

Yang bujur yang bulat
Jangan dipegang jangan dilihat
Rasa di lidah rasa kelat
Lidah pendek jangan menjilat

Amir Md Akhir
10/12/12
Jalan Parlimen


03 Disember, 2012

[7378] secalit madat sekudap rasa III

Seminggu berlalu  rasa yang cukup puas, yang diarahkan jabatan selesai di Kuala Terengganu dan Kota Bahru hinggakan 'smsr' terlepas dari ingatan dengan kesibukan kerja. 
Menjenguk cerita2 sahabat sekilas lalu, banyak cerita dan kisah yang mencetus pelbagai rasa, tiada yang basi, banyak yang tidak kering gusi.
Rasanya corak dan bentuk sedemikian kian mapan dan kekal.

Demam suam-suam bolasepak terasa juga, langkah awal Harimau Malaya sumbang sekali, mujur semangat juang Harimau (macan) Malaya terpasak kuat hingga mampu melangkah ke separuh akhir. Rasa puas bercampur baur kerana Singa turut layak mengenepikan Garuda. Semoga cakaran Harimau Malaya boleh menumbangkan Gajah Putih kelak.

Demam suam-suam berterusan, wakil orang Melayu yang memegang majoriti di Parlimen berhimpun di ibu kota. Laungan semangat Melayu berkumandang tegar, tiada yang lain mampu memimpin orang Melayu melainkan mereka, diseru Melayu agar bersatu kerana disergahnya berpecah belah, itu rasa mereka, tetapi seringnya madah politikus sememangnya begitu, cuma kita bijak-bijak merasainya. Seperkara, berapa lama demam ini berlanjutan tidak diketahui mungkin hingga pilihanraya yang kunjungnya tak pasti bila tetapi yang dijanji mesti ditepati, apa tah lagi menanti BRIM yang cuma sekelumit dirasai.

Usia kian bertambah bila tahun berubah, mencecah setengah abad, cita rasa juga turut berubah mungkin juga bertambah dan pelbagai.Rasanya cuma sedetik niat menambah pasangan hidup tercetus, terangsang dek nafsu atau bukan biarlah empunya badan yang menentukannya kerana nafkah batin dan zahir terletak atas kemampuannya. Suatu wacana yang menyetap minda tentang perkahwinan ditimbulkan beberapa hari yang lalu di ruang ini. 
Perkahwinan muta'ah, pernah didengari sebelum ini tetapi kefahaman yang samar-samar, terima kasih Rahman, pengenalan yang ringkas namun jelas. Tiada yang ingin ditokok tambah lagi tetapi mencambah idea dan rasa untuk naskah Cinta Irana.

Biarlah rasa itu dilestarikan, jangan dipendamkan rasa......

Amir Md Akhir