Laman Utama

12 Disember, 2012

[7378] secalit madat sekudap rasa IV

Salam,
Seketika menonton filem Singapura Dilanggar Todak(SDT) di TV2 beberapa hari lalu, tersirat pelbagai nilai yang merentasi masa sehinga ke hari ini. Kisah yang lahir daripada buku Sejarah Melayu meninggalkan impak, kritikan sosial dan politik. Kisah SDT terdapat dalam dua versi, buku dan filem, mungkin ramai yang lebih dekat dengan filem kerana ia lebih dramatik dan "visualisation" yang lebih menarik. Watak-  watak yang dibawa oleh S.Kadarisman, Bat Latif, Hj.Mahadi dan beberapa yang lain terpatri dalam ingatan kita. Namun apa yang dipapar di dalam filem seperti  genrenya berlaku improvisasi daripada naskah asal.  Watak Temenggung dan Hang Nadim adalah antara watak penting dalam filem tidak dijelaskan dengan nyata dalam SDT. Di cetera kesepuloh SDT hanya menyatakan "pembesar-pembesar negeri" dan "seorang budak" dalam menangani serangan todak, idea siapa yang bodoh dan bijak kita semua sudah mengetahuinya. Yang jelas dengan hasad dengki tertanam lama dalam jiwa orang Melayu maka fitnah menjadi senjata utama utuk menjatuhkan orang Melayu. Filem SDT berakhir dengan watak-watak protoganis melarikan diri ke Pasai. Naskah Sejarah Melayu dicetera yang sama melanjutkan pengisahannya hingga ke kisah pembelotan Sang Rajuna Tapa yang mengundang orang Jawa menakluki Singapura. 

Tiadalah ulasan panjang akan SDT tetapi cuma dalam memikirkan bangsa, nilai-nilai yang terkandung dalam SDT tidak dapat tidak berada di sekitar kita, apa lagi dalam soal mengenepikan nilai-nilai agama seperti yang terjadi kepada Tun Jana Khatib. Rasa-rasakanlah...

Sesungguhnya hasrat hati ingin bertemu dengan sahabat tetapi apakan daya, tidak dijangka tugas yang di luar jangka terus datang hingga ke malam, keberadaan di pejabat sebegini memenatkan sesampai di rumah langsung melelapkan mata, apa jua rencana tergendala semua. Terkilan rasa. Maaf sahabat.

Yang bujur yang bulat
Jangan dipegang jangan dilihat
Rasa di lidah rasa kelat
Lidah pendek jangan menjilat

Amir Md Akhir
10/12/12
Jalan Parlimen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan