Laman Utama

30 Disember, 2010

Kehidupan Di Era Kini (... posted by Sham)

Sent: Fri, 3 December, 2010 1:25:06

Melihat coretan dan kerenah kehidupan seharian, kita dihidangkan dengan kisah kisah kehidupan yang serasi dan dari bait bait ayat yang dicoretkan, adalah persis, dari kedewesaan kita melalui sketsa dan fasa fasa kehidupan. Kita bertanya khabar, berinteraksi diruang ini, berkomunikasi melalui media yang tak pernah kita impikan, sewaktu kita dizaman remaja, semuanya dihujung jari jemari, dan sembangnya di angin lalu semuanya. Serasa, jarak yang memerlukan seharian perjalanan, dipendekkan dengan alatan komunikasi era kini, sehinggakan, jika bekalan elektrik tergendala, maka meruwetkan keadaan perlaksanaan kerja seharian, begitulah keperluan elektrik diera kini, sebagai sumber penggerak utama dalam era komunikasi, sebagai sumber tenaga menjana dan menggerakan mesin mesin komputer dan memancarkannya dialam siber.

Kebergantungannya adalah cukup menyulitkan keadaan, jika ianya terputus bekalan diatas apa jua sebab yang menggugatnya.

Hampir mustahil, dalam era kini, kita tidak ikuti perkembangan rakan rakan, sanak saudara jauh dan dekat, dimana kita jangkaui dengan maklumat dihujung jari, serasa amat pelik, yang dulunya mungkin benar, kita tidak berinteraksi, lebih dari suku abad. Kerenggangan masa yang sebegitu lama, memerlukan masa untuk kita mengenali semula, disuasana yang lebih keterbukaan dan meniti usia emas, yang mematangkan fikiran dan tindakan.


Bayangkan, jika alat alat ini, tidak diakses secara berterusan, kita hanya melalui fasa kehidupan, menanti hari untuk diambil pergi, kehidupan hambar dan tidak siapa mengerti, apa keperluan yang dihajati.

Semuanya perlu meruntun masa hadapan dengan lebih fokus kepada keperluan generasi masa hadapan, memahami keperluan keperluan mereka, dan disitulah banyak peluang bakal dicipta, kepada yang menghidu laba dan pintu rezeki yang tidak putus putus datangnya.

Carilah peluang itu, ianya sentiasa menanti dan terus menanti.


Sekitar Minggu Di Hujung Tahun (... posted by Sham)

Sent: Mon, 29 November, 2010 8:59:04

Di hari hari dihujung tahun, banyak acara acara perkahwinan dikalangan sanak saudara dan dikalangan rakan rakan yang anak anak telah mencapai umur itu juga, akan melanjutkan institusi kekeluargaan di landasan yang betul, mewarisi tradisi dan warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang dan bapa dan ibu kita yang terdahulu.

Tiba giliran kita, membantu generasi kini, membina lingkaran kehidupan baru, demi menjaga adab adab kekeluargaan, dan institusi ketimuran yang jitu dan ampuh.

Ada dikalangan kita yang bergelar datuk kepada cucu cucunya, yang belum, kita membilang hari untuk menuju kegemilangan itu. Arca kehidupan yang melingkari roda roda kehidupan, tanpa henti, berjalan merentasi batasan waktu, yang amat pendek dan tanpa disedari kita juga bakal melalui dan mengganti ibu dan ayah kita yang pernah melalui asam garam dan sepak terajang kehidupan terlebih dahulu dari kita.

Pertemuan dan perpisahan adalah sebahagian dari tuntutan alam kehidupan, lambat launnya , kita juga pasti melaluinya dengan cara yang yang tersendiri.

26 Disember, salah seorang rakan kita, Saudara Khalid bakal melangsungan khenduri untuk anaknya di Salak, bagi yang berkelapangan hadirkan diri kesitu, untuk menyambung tradisi dan warisan yang bakal kita temui di sana sini.

Dengan keizinan Ilahi, Insya ALlah , kita bakal bertemu dan berinteraksi lagi untuk menghayati keindahan berkawan dan rakan rakan seangkatan.

Panjang umur kita temui hari berkenaan.


Curi Sekolah di Kuale

Sent: Fri, 26 November, 2010 12:21:52

Salam

    Selepas 3 hari mengawas peperiksaan dalam keadaan tenang denngan calon-calon terpilih, masih ketara unforce errors di kalangan pelajar. Kesilapan mencatat angka giliran, cuai menyimpan alatan dan kini masih menyimpan MyKad calon. Insyaallah, akan diserhkan pada Isnin ini apabila peperiksaan bersambung untuk minggu kedua. Sama-sama kita mengingati anak-anak kita.
    Tiba-tiba dalam asyik melayan GG, tersenyum sendirian, ingatan kembali pada zaman kita mengalami 'indahnya cuti'.
     Dengan tiket konsesi keretapi, bersama rakan-rakan mengutip pengalaman menaiki keretapi ke Pulau Pinang dan bermalam di Masjid Kapitan berhadapan Chowrasta sebleum keesukan harinya mengambil bas di Pragin ke Batu Feringghi untuk beberapa malam. Bekal wang adalah dari 'biasiswa kecil persekutuan'.
    Menitip pengalaman berbasikal dari pekan Manong setelah basikal naik bas Wai Thong ke ke Manong. Melalui Bruas dan bermalam di pekan Parit dahulu sebelum keesukan harinya ke Teluk Batik mendirikan khemah beberapa malam. Waktu senja berkayuh basikal ke pekan Lumut dan lepak di Jam Besar Lumut (sorry Zizul, never knew it was demolished by you later on...hikkk)
    Belajar "Qiamullail" bersama Tak Obe, Zuli, Ongkie, Meor dll di Masjid Taiping, belajat shopping di Larut Matang Supermarket sebelum menuju ke Lake Garden mengira tugu buaya  dan 'buaya darat'. Menyusuri lokasi Sharifah Aini dan Broery di jambatan kayu.
    Lebih indah lagi pengalaman berkayuh basikal ke Kuale. Parkirnya pasti di tepi Bazaar atau Cathay. Menanti jam 10.00 pagi untuk booking tiket wayang atau tidak perlu kerana ada cara lain untuk menonton.
    Menghabiskan ruang masa cuti persekolahan di Kuale adalah suatu "pengalaman peribadi tersendiri" kita yang membesar di Kuale. Terasa amat luas pekan ini untuk kita terokai. Ada sahaja benda baru berlaku setiap hari di pekan ini. Sinar mentari paginya amat segar untuk kita berbasikal menuju ke Kuale dan telah ada perancangan untuk menghabiskan waktu. Kerap aku di Kedai Tak Obe atau menyusuri laluan kaki lima di Kedai Tinggi. Raket badminton pasti meruntun hati.
    Selalu juga aku menawarkan diri untuk ke market pada ibu. Alasan terbaik untuk meronda. setiap hari ke market pasti adalah pengalaman baru bagi aku. Sentiasa ada yang baru untuk dilihat dan begitulah indahnya market lama Kuale dengan deretan kedai kayu juga kedai "modify" basikal.
    Pulang nanti di rembang tengahari pasti suatu yang memerlukan daya...dan sesekali aku akan singgah di kubur besar belakang Masjid Kota Lama, menziarahi kubur ayah sambil menghela nafas. Pasti juge aku mengambil kesempatan menyuci kuburan dan menghadiah Fatihah. Kesedihan jarang tergambar pada waktu itu. Zaman kanak-kanak dan remaja yang cukup indah.

    Tertanya apa yang ada dalam benak minda anak-anak kita kini. Yang pasti anak aku mengatur jadual tuitionnya yang telahpun bermula malam kelmarin.
    Ini adalah tuntutan survival anak masa kini. Yang pasti "musim cuti sekolah" di Kuale amat indah,..... belum lagi meneroka sungai Perak atau Chepias atau berbasikal ke Bukit Berapit atau Kuale Dal bersama Lapok, ongkie, Zuli dll....

    Kita simpan memori indah "cuti sekolah" ini. Kuale

Salam Hormat
Yasin Ismail

29 Disember, 2010

Esok Kemana Kita Yeop (...posted by Sham)

Sent: Mon, 22 November, 2010 9:28:19

Sederas itu putaran masa berlalu, sederas itu kita dipanjat usia, sederas itu, tenaga mudamu luntur longlai, semakin lama, seusang itu dilalui sisa sisa hidup yang ada. Dah hampir sangat ianya menemui kita.

Lagi dihitung, serba serbi terasa kepenatan melalui sisa sisa yang berbaki. Telah lebih setahun kita berinteraksi, kita bergurau senda di laman ini, bertanya khabar, diziarahi, dilawati.

Eloklah sempena mana yang ada terluang, 11hb Disember, 2010 menanti kepulangan pada yang ada ruang, rancanglah apa nak dibuat di sambutan Jubli Emas dikebanyakan teman. Maka paluan gendang dan nafiri dibunyikan, kemana pulak haluan kalian.

Kemana kita Yeop, apakah esok masih ada?



Sebaik sampai sahaja Man di Kuale

Sent: Fri, 19 November, 2010 7:30:41

Sahabat yang berada di Kuale

    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa ketiga-tiga panggung tiada lagi sewaktu dia merantau. Jangan lupa tunjukkan tapak dua panggung itu dan sebuah lagi yang telah dimiliki oleh orang lain. Minta dia yang berdukacita.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa Ghee Kheeng telah rebah oleh arus pemodenan yang melanda Kuale. Orang-orang Kuale tiada sabar menanti gula dan tepung ditimbang di daging dan diikat. Terlalu lambat proses itu, maka Supermarket didirikan ditapak itu.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa atap zing dan tiang seribu stesen bas tidak mampu menerima terlalu banyak bas yang datang dan singgah. Anak-anak Kuale ramai yang merantau. Ada yang kerap pulang dan ada yang terus hilang. Lantas dibina stesen baru menampung keperluan. Roboh pula kuarters kerajaan dan kini stesen mengadap Dewan Hamdan Clifford Secondary.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya...masih ingatkah kita sewaktu di Clifford Primary dibawa guru ke Dewan Merdeka untuk melihat Pameran? Kini Dewan Merdeka tidak wujud lagi, Tuanku tidak mahu ia melindungi MCKK, lantas diroboh mengadap sekolah kita dan bangunan baru dibina atas padang  Bandaran "hiburan" kita menyaksikan jaguh-jaguh bola Kuale beraksi dahulu.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya jangan keliru dengan 3 jambatan, Victoria masih jambatan keretapi, Iskandar ada lagi dan yang baru bernama Azlan. Tunjukkan pada Man... Bazaar hanyalah kenangan lalu, waktu ibu-bapa kita membeli pakaian pada zaman tidak mampu. Terbalaskah budi kita pada ayah dan ibu?
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, lembah tidak setenang dulu. Pokok-pokok untuk digantung cermin untuk kita bergunting rambut hilang ditelan zaman. Bot penambang makin lesu, bagai lesu usia kita.
    Katakan pada Man, Kuale masih kenal kita....anak-anak remaja dahulu yang mengikat erti persahabatan. Kita masih mampu riuhkan pekan kecil Kuale pabila pulang.
    Katakan pada Man dan rakan-rakan taulan lain, kembalilah kerap.....rakan-rakan yang menetap di Kuale sangat akrab dengan nilai budi dan persahabatan...akan menyambut Man dengan ceria kerana kasih kita kejap dan jitu.
    Selalu menjengah Kuale, sahabatku

Salam Hormat
Yasin Ismail