Laman Utama

30 Disember, 2010

Kehidupan Di Era Kini (... posted by Sham)

Sent: Fri, 3 December, 2010 1:25:06

Melihat coretan dan kerenah kehidupan seharian, kita dihidangkan dengan kisah kisah kehidupan yang serasi dan dari bait bait ayat yang dicoretkan, adalah persis, dari kedewesaan kita melalui sketsa dan fasa fasa kehidupan. Kita bertanya khabar, berinteraksi diruang ini, berkomunikasi melalui media yang tak pernah kita impikan, sewaktu kita dizaman remaja, semuanya dihujung jari jemari, dan sembangnya di angin lalu semuanya. Serasa, jarak yang memerlukan seharian perjalanan, dipendekkan dengan alatan komunikasi era kini, sehinggakan, jika bekalan elektrik tergendala, maka meruwetkan keadaan perlaksanaan kerja seharian, begitulah keperluan elektrik diera kini, sebagai sumber penggerak utama dalam era komunikasi, sebagai sumber tenaga menjana dan menggerakan mesin mesin komputer dan memancarkannya dialam siber.

Kebergantungannya adalah cukup menyulitkan keadaan, jika ianya terputus bekalan diatas apa jua sebab yang menggugatnya.

Hampir mustahil, dalam era kini, kita tidak ikuti perkembangan rakan rakan, sanak saudara jauh dan dekat, dimana kita jangkaui dengan maklumat dihujung jari, serasa amat pelik, yang dulunya mungkin benar, kita tidak berinteraksi, lebih dari suku abad. Kerenggangan masa yang sebegitu lama, memerlukan masa untuk kita mengenali semula, disuasana yang lebih keterbukaan dan meniti usia emas, yang mematangkan fikiran dan tindakan.


Bayangkan, jika alat alat ini, tidak diakses secara berterusan, kita hanya melalui fasa kehidupan, menanti hari untuk diambil pergi, kehidupan hambar dan tidak siapa mengerti, apa keperluan yang dihajati.

Semuanya perlu meruntun masa hadapan dengan lebih fokus kepada keperluan generasi masa hadapan, memahami keperluan keperluan mereka, dan disitulah banyak peluang bakal dicipta, kepada yang menghidu laba dan pintu rezeki yang tidak putus putus datangnya.

Carilah peluang itu, ianya sentiasa menanti dan terus menanti.


Sekitar Minggu Di Hujung Tahun (... posted by Sham)

Sent: Mon, 29 November, 2010 8:59:04

Di hari hari dihujung tahun, banyak acara acara perkahwinan dikalangan sanak saudara dan dikalangan rakan rakan yang anak anak telah mencapai umur itu juga, akan melanjutkan institusi kekeluargaan di landasan yang betul, mewarisi tradisi dan warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang dan bapa dan ibu kita yang terdahulu.

Tiba giliran kita, membantu generasi kini, membina lingkaran kehidupan baru, demi menjaga adab adab kekeluargaan, dan institusi ketimuran yang jitu dan ampuh.

Ada dikalangan kita yang bergelar datuk kepada cucu cucunya, yang belum, kita membilang hari untuk menuju kegemilangan itu. Arca kehidupan yang melingkari roda roda kehidupan, tanpa henti, berjalan merentasi batasan waktu, yang amat pendek dan tanpa disedari kita juga bakal melalui dan mengganti ibu dan ayah kita yang pernah melalui asam garam dan sepak terajang kehidupan terlebih dahulu dari kita.

Pertemuan dan perpisahan adalah sebahagian dari tuntutan alam kehidupan, lambat launnya , kita juga pasti melaluinya dengan cara yang yang tersendiri.

26 Disember, salah seorang rakan kita, Saudara Khalid bakal melangsungan khenduri untuk anaknya di Salak, bagi yang berkelapangan hadirkan diri kesitu, untuk menyambung tradisi dan warisan yang bakal kita temui di sana sini.

Dengan keizinan Ilahi, Insya ALlah , kita bakal bertemu dan berinteraksi lagi untuk menghayati keindahan berkawan dan rakan rakan seangkatan.

Panjang umur kita temui hari berkenaan.


Curi Sekolah di Kuale

Sent: Fri, 26 November, 2010 12:21:52

Salam

    Selepas 3 hari mengawas peperiksaan dalam keadaan tenang denngan calon-calon terpilih, masih ketara unforce errors di kalangan pelajar. Kesilapan mencatat angka giliran, cuai menyimpan alatan dan kini masih menyimpan MyKad calon. Insyaallah, akan diserhkan pada Isnin ini apabila peperiksaan bersambung untuk minggu kedua. Sama-sama kita mengingati anak-anak kita.
    Tiba-tiba dalam asyik melayan GG, tersenyum sendirian, ingatan kembali pada zaman kita mengalami 'indahnya cuti'.
     Dengan tiket konsesi keretapi, bersama rakan-rakan mengutip pengalaman menaiki keretapi ke Pulau Pinang dan bermalam di Masjid Kapitan berhadapan Chowrasta sebleum keesukan harinya mengambil bas di Pragin ke Batu Feringghi untuk beberapa malam. Bekal wang adalah dari 'biasiswa kecil persekutuan'.
    Menitip pengalaman berbasikal dari pekan Manong setelah basikal naik bas Wai Thong ke ke Manong. Melalui Bruas dan bermalam di pekan Parit dahulu sebelum keesukan harinya ke Teluk Batik mendirikan khemah beberapa malam. Waktu senja berkayuh basikal ke pekan Lumut dan lepak di Jam Besar Lumut (sorry Zizul, never knew it was demolished by you later on...hikkk)
    Belajar "Qiamullail" bersama Tak Obe, Zuli, Ongkie, Meor dll di Masjid Taiping, belajat shopping di Larut Matang Supermarket sebelum menuju ke Lake Garden mengira tugu buaya  dan 'buaya darat'. Menyusuri lokasi Sharifah Aini dan Broery di jambatan kayu.
    Lebih indah lagi pengalaman berkayuh basikal ke Kuale. Parkirnya pasti di tepi Bazaar atau Cathay. Menanti jam 10.00 pagi untuk booking tiket wayang atau tidak perlu kerana ada cara lain untuk menonton.
    Menghabiskan ruang masa cuti persekolahan di Kuale adalah suatu "pengalaman peribadi tersendiri" kita yang membesar di Kuale. Terasa amat luas pekan ini untuk kita terokai. Ada sahaja benda baru berlaku setiap hari di pekan ini. Sinar mentari paginya amat segar untuk kita berbasikal menuju ke Kuale dan telah ada perancangan untuk menghabiskan waktu. Kerap aku di Kedai Tak Obe atau menyusuri laluan kaki lima di Kedai Tinggi. Raket badminton pasti meruntun hati.
    Selalu juga aku menawarkan diri untuk ke market pada ibu. Alasan terbaik untuk meronda. setiap hari ke market pasti adalah pengalaman baru bagi aku. Sentiasa ada yang baru untuk dilihat dan begitulah indahnya market lama Kuale dengan deretan kedai kayu juga kedai "modify" basikal.
    Pulang nanti di rembang tengahari pasti suatu yang memerlukan daya...dan sesekali aku akan singgah di kubur besar belakang Masjid Kota Lama, menziarahi kubur ayah sambil menghela nafas. Pasti juge aku mengambil kesempatan menyuci kuburan dan menghadiah Fatihah. Kesedihan jarang tergambar pada waktu itu. Zaman kanak-kanak dan remaja yang cukup indah.

    Tertanya apa yang ada dalam benak minda anak-anak kita kini. Yang pasti anak aku mengatur jadual tuitionnya yang telahpun bermula malam kelmarin.
    Ini adalah tuntutan survival anak masa kini. Yang pasti "musim cuti sekolah" di Kuale amat indah,..... belum lagi meneroka sungai Perak atau Chepias atau berbasikal ke Bukit Berapit atau Kuale Dal bersama Lapok, ongkie, Zuli dll....

    Kita simpan memori indah "cuti sekolah" ini. Kuale

Salam Hormat
Yasin Ismail

29 Disember, 2010

Esok Kemana Kita Yeop (...posted by Sham)

Sent: Mon, 22 November, 2010 9:28:19

Sederas itu putaran masa berlalu, sederas itu kita dipanjat usia, sederas itu, tenaga mudamu luntur longlai, semakin lama, seusang itu dilalui sisa sisa hidup yang ada. Dah hampir sangat ianya menemui kita.

Lagi dihitung, serba serbi terasa kepenatan melalui sisa sisa yang berbaki. Telah lebih setahun kita berinteraksi, kita bergurau senda di laman ini, bertanya khabar, diziarahi, dilawati.

Eloklah sempena mana yang ada terluang, 11hb Disember, 2010 menanti kepulangan pada yang ada ruang, rancanglah apa nak dibuat di sambutan Jubli Emas dikebanyakan teman. Maka paluan gendang dan nafiri dibunyikan, kemana pulak haluan kalian.

Kemana kita Yeop, apakah esok masih ada?



Sebaik sampai sahaja Man di Kuale

Sent: Fri, 19 November, 2010 7:30:41

Sahabat yang berada di Kuale

    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa ketiga-tiga panggung tiada lagi sewaktu dia merantau. Jangan lupa tunjukkan tapak dua panggung itu dan sebuah lagi yang telah dimiliki oleh orang lain. Minta dia yang berdukacita.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa Ghee Kheeng telah rebah oleh arus pemodenan yang melanda Kuale. Orang-orang Kuale tiada sabar menanti gula dan tepung ditimbang di daging dan diikat. Terlalu lambat proses itu, maka Supermarket didirikan ditapak itu.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa atap zing dan tiang seribu stesen bas tidak mampu menerima terlalu banyak bas yang datang dan singgah. Anak-anak Kuale ramai yang merantau. Ada yang kerap pulang dan ada yang terus hilang. Lantas dibina stesen baru menampung keperluan. Roboh pula kuarters kerajaan dan kini stesen mengadap Dewan Hamdan Clifford Secondary.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya...masih ingatkah kita sewaktu di Clifford Primary dibawa guru ke Dewan Merdeka untuk melihat Pameran? Kini Dewan Merdeka tidak wujud lagi, Tuanku tidak mahu ia melindungi MCKK, lantas diroboh mengadap sekolah kita dan bangunan baru dibina atas padang  Bandaran "hiburan" kita menyaksikan jaguh-jaguh bola Kuale beraksi dahulu.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya jangan keliru dengan 3 jambatan, Victoria masih jambatan keretapi, Iskandar ada lagi dan yang baru bernama Azlan. Tunjukkan pada Man... Bazaar hanyalah kenangan lalu, waktu ibu-bapa kita membeli pakaian pada zaman tidak mampu. Terbalaskah budi kita pada ayah dan ibu?
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, lembah tidak setenang dulu. Pokok-pokok untuk digantung cermin untuk kita bergunting rambut hilang ditelan zaman. Bot penambang makin lesu, bagai lesu usia kita.
    Katakan pada Man, Kuale masih kenal kita....anak-anak remaja dahulu yang mengikat erti persahabatan. Kita masih mampu riuhkan pekan kecil Kuale pabila pulang.
    Katakan pada Man dan rakan-rakan taulan lain, kembalilah kerap.....rakan-rakan yang menetap di Kuale sangat akrab dengan nilai budi dan persahabatan...akan menyambut Man dengan ceria kerana kasih kita kejap dan jitu.
    Selalu menjengah Kuale, sahabatku

Salam Hormat
Yasin Ismail

15 November, 2010

Kelahiran GG (...posted by Sham)

Sent: Sun, 14 November, 2010 20:38:16

Mengimbau kisah sepanjang tahun, serasa amat baru kelmarin, dipenuhi dengan posting yang menarik, dengan cerita cerita sepanjang zaman kehidupan, pengalaman pengalaman kehidupan , banyak dijadikan sempadan dan disepanjang itu juga, kita dicoretkan dengan pelbagai kisah rakan rakan, ada yang cuma melihat, dibaca, dan tersenyum sendirian, ada yang menyumbang cerita, pengalaman pengalaman silam, ada yang tersurat dan ada yang tersirat. Ini adalah medan baru kita menyambung persahabatan silam, jika dahulunya, kita berutus surat, tetapi kini melalui rangkaian ini, kita bertanya khabar, mengumumkan berita berita semasa dan cerita cerita semasa.

Dengan pelbagaian maklumat yang dibaca, melalui pembacaan dan makluman yang dibuat, semuanya adalah sebagai medan baru untuk kita berinteraksi. Teruskan menulis, cerita cerita kalian, ada yang duka , ada yang menjadi bahan leluchon, untuk dikongsi keriangan.

Selamat berkarya rakan rakanku.


MOGA BERKEKALAN SEHINGGA AKHIR NANTI.... (posted by Hasni)

Sent: Sun, 14 November, 2010 14:27:03

Pertemuan antara kita,

Tidak pernah dirancang,

Tetapi telah diatur yang Maha Esa,

Yang mengetahui suara hati antara kita,

Yang mengimpikan kehadiran seorang insan,

Bergelar teman...


Walaupun bukan aku yang diharapkan,

Tetapi akulah yang hadir dalam hidup kalian,

Mungkin kehadiranku tidak pernah dinanti,

Namun, Tiada walau secalit kekecewaan,

Apatah lagi kekesalan di hati ini,

Malah, Aku amat menghargai pertemuan ini,

Kerana dengannya,

Terjalin kembali sebuah persahabatan...


Perpisahan...

ternyata amat menyakitkan,

Sering kali mengundang air mata,

Keindahan dan kebahagiaan yang kita nikmati bersama,

Bagaikan disentap pergi serta-merta,


Walaupun begitu, Ingatlah, sahabatku........,

Bertemu dan berpisahnya kita kerana Allah,

Oleh itu, Terimalah dengan penuh keredhaan...


Sekiranya ingatanmu singgah padaku,

Kirimlah sepotong doa tika itu,

Moga masih ada lagi pertemuan selepas ini,

Jika tidak di dunia fana ini,

Di Jannatul Firdaus yang kekal abadi...

INSY'ALLAH!!!

 

 


Celoteh Kehidupan (...posted by Sham)

Sent: Tue, 9 November, 2010 8:16:47

Hari ini, adalah lebih baik dari yang kelmarin, suatu kata kata yang sering kita dengar, tok tok khatib mengungkapkan dalam tazkirah dan khutbah khutbah mereka, mengingatkan para hadirin yang rata ratanya ngantuk dan kurang berminat atau terkena batang hidung, Wallahu Alam. Allah Maha Tahu Segalanya.

Terbenak dihati, bila lah kerja kerja bertimbun dan tugasan yang tak pernah selesai ini akan selesai, timbunan menyelesaikan permasalahan orang lain, dan diri kita yang pernah selesai dalam rutin kehidupan. Sedari kecil, melangkau dewasa, dan kini dah separuh abad.

Realiti kehidupan diharungi, macam mana menggunungnya masalah meruntun penyelesaian. Kita sebahagian dari alam kehidupan, punyai masalah diri, keluarga, keruwetan masyarakat, ekonomi, politik dan jika disenaraikan, bisa jadi coretan yang panjang.

Hari ini, aku ke KL lagi, menyelesaikan tugasan rutin saban tahun, melaporkan, dilapurkan dan serba ragam catatan yang menggusarkan. Adakalanya, terfikir, alangkah indahnya hari kelmarin. Namun putaran masa tidak mengizinkan kita membelakangkan putaran dan kitaran masa, maka tinggallah ianya jadi nostalgia dan memori dalam kehidupan.

Esok, menantikan tugas besar dalam langkah kehidupan, agar kesilapan lalu tidak diulangi, hatta terjerumus dalam lubang yang sama buat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Sesungguhnya, kitalah yang mencorakkan kehidupan kita, hari ini adalah lebih baik dari kelmarin. Teruskan visi dam misi sehingga tercapai.

Kangar


Gambar sekitar 6 Nov 2010 final part

Sent: Mon, 8 November, 2010 17:36:12
I still remember the first day we met
We were too shy to say much at all
It's funny to think back to that time
They say that true friendship is rare
An adage that I believe to be true
...
Genuine friendship is something that I cherish
I am so lucky to have met you.
Our bond is extremely special
It is unique in it's own way
We have something irreplaceable
I love you more and more each day.
friendship


Thanks and Regards
SA Sulaiman

Minggu Yang Panjang. (...posted by Sham)

Sent: Mon, 8 November, 2010 7:19:58

Salam Sejahtera, rakan rakan, setelah banjir melanda di Utara Semenanjung, dengan sejarah terburuk di sepanjang 60 tahun silam, dengan perkembangan pembangunan negara jiran yang sedang dibangunkan, dan juga di negara bersempadan antara Thai dan Malaysia, ada suatu tandatanya yang menjadi bualan kehairanan masyarakat insitu, mengenai pengalaman baru yang menimpa masyarakat, dimana dilihat, air yang melimpah bertakung begitu lambat mengalir ke hujungnya, seolah olah menjadi danau yang sebegitu besar disekeliling dengan seolah olah menjadi pulau pulau kecil yang terpisah disana sini. Aktiviti harian mendi canggung, dengan mencari haluan menyelamatkan harta benda masing masing, namun ianya tidak dijangka sebesar itu malapetaka menimpa. Bergelimpangan alatan rumah dan perabut menjadi sampah sampah berselerakan pabila air surut, yang selama seminggu ditenggelami air. Kehidupan terus dilalui dengan menyelamatkan apa yang boleh diselamatkan, diguna semula, dibaiki dan memperuntukkan suatu dana besar untuk dibaik pulih, kereta kereta bertaburan disepanjang jalanan, harus dibaiki semula, demi menggerakkan semula kehidupan dan kelangsungannya.

Membilang berapa yang musnah dan kerugian ditaksir, dan suatu peruntukkan besar diperlukan semula untuk meneruskan kehidupan.

Beginilah keadaan sesuatu yang dapat dirasai oleh mangsa mangsa yang menjalani bencana, seperti dinegara jiran, indonesia, dengan kejadian tsunami dan meletupnya Merapi.

Semua ini menuntut kita berfikir, siapalah kita, berbanding dengan PenciptaNya.

Kangar, Perlis


Hujan Turun Lagi (...posted by Sham)

Sent: Fri, 5 November, 2010 8:31:58

Keadaan musim tengkujuh sebegini mengingatkan kisah dimasa kecil, tatkala Empangan Temenggor masih belum wujud, tatkala itu ada bah besar di daerah Kuala Kangsar, dimana mercu tanda jam besar kuale (bah 1967), hanya nampak menara jam sahaja, sebahagian besar pekan kuale ditenggelami air, sekali air bah, semacam ada pesta pulak ketika itu, ade yang mengail ikan, menjala ikan, yang di dapur, pula dengan menu cucur bawang, tepek godam, roti nyior dan apa sahaja yang biasa dialas perut. Suasana dingin itu terasa perut lapar untuk membaham makanan apa yang ada.

Kenangan silam diimbau kembali, tatkala di Perlis yang lumpuh beberapa hari yang lalu, tetapi di pagi ini, hujan datang kembali seperti seminggu sebelumnya, apakah akan adanya lipatan ayunan kedua, banjir semula, walaupun rata rata air telah surut sejak 2 hari yang lalu.

Inilah phobia bagi mangsa mangsa banjir, yang menyulitkan aktiviti kehidupan, yang seminggu dengan aktiviti tidur bangkit, dan menghitung apa yang hilang dan musnah akibat banjir.

Sementelahan banjir kali ini banyak memutuskan jalan jalan utama antara negeri negeri, Perlis dan Kedah. Dan keseluruhan kegiatan ekonomi hampir lumpuh.

Kangar, Perlis


Yang pasti

Sent: Thu, 4 November, 2010 19:27:38

Salam Sejahtera

    Yang pasti bermula dari Jumaat ini akan bermulalah perjalanan pulang ke kampung halaman khusus bagi mereka yang masih ada rindu pada kecil kecil tyang indah, Kuale.
    Yang pasti sewaktu memandu pulang terbayang Clifford Primary bersama nostalgia bunyi peluit keretapi sewaktu kita sedang belajar atau ramai sedang ketawa, hilai ria di dalam kelas atau di padang.
    Yang pasti kita kemabli terkenang Ghee Kheeng dengan aroma mee kari atau teh "o" beng bersama kita nikmati dan hirup nikmat alam remaja.
    Yang pasti tertanya dan teringat stesen bas tiang kayu mengadap Cathay, tetapi segalanya tiada lagi. Yang tinggal hanya kenangan waktu miniti usia remaja. Kedai Chung Wah, pasti kita ingati, membeli permainan set games 6in 1 dan "dam TOT" cina yang kita reka kekuatan setiap buah dam itu.
     Yang Pasti dimana Rex, tumpuan kita menghulur tangan membeli tiket 4 kupang third class bersama aroma kerang rebus, sotong rebus atau kuetiaw pada waktu malam dalam samar api arang itu. Panjang mengoreng dan isteri serta anak bersedia membungkus dengan kertas surat khaabar cina. Kita telah lama dahulu 1Malaysia.
    Yang sangat pasti, tinggal kenangan Bazzar, pasti tumpuan bila berkayuh basikal ke Kule, menuju Sing Cheong Tailor mengadap sisi Arkid MARA. Di mana  pula laksa dan cendoi bersandar kedai emas Jalan Datok mengadap Jam Besar yang menagih rindu kita.
    Yang pasti Padang Kanak-Kanak tidak meriah seperti waktu kita dialam belasan tahun.

    Yang amat pasti......Clifford Secondary menyimpan seribu rahsia yang perlu kita kongsi ceritanya bersama Nov 6 ini.

    Yang tersangat pasti...IBU ...aku rindu padamu...aku redha...tetapi rindu itu sentiasa membara di jiwa anakmu......... Al- Fatihah.

    Al-Fatihah untuk sahabatku dan sahabat kita Mr Fandi, Zali, Ezani, Shafie dan ramai lagi yang mewarnai remaja kita.

    Pasti kita akan pulang....insyaallah Nov 6 2010

Salam Hormat
Yasin Ismail


Menyusuri Suatu Kenangan

Sent: Tue, 2 November, 2010 23:31:49

Kita susuri kembali suatu kenangan

Salam Sejahtera

    Sedang mengadap PC...tertera pada papan screen....."0 unread".  Telah selesai menjawab, menbaca, tersenyum dan termanggu. Menanti muncul posting yang baru. 5 minit berlalu, masih belum "masuk". Rasa terganggu dan emosi tergugat. Tertanya pada diri, "apakah rakan-rakan aku sibuk dengan urusan kehidupan atu melayani kerenah anak atau mungkin rakan-rakanku sedang santai bersama keluarga.
    Ingin berbicara dengan anak, anakku sibuk menelaah buku untuk ujian seterusnya pada esuk hari. ...dan masih banyak lagi ujian yang perlu anakku lalui dalam kehidupan ini.
    Ingin berbual dengan isteri, isteriku sedang sibuk pula menyemak kertas Bahasa Inggeris PMR. Dia membawa pulang kurang-lebih 250 skrip naskah jawapan mata pelajaran BI dari sebuah negri di Semenanjung. Tidak boleh aku nyatakan dari negeri mana, salah dari segi etika "examiner".
    Aku mengadap PC untuk tenangkan emosi. Tadi siang pulang dari sekolah jam 7 pm. Terperap di bilik melangsaikan tugasan perancangan Kokurikulum 2011. Inilah kelangsungan sebuah kehidupan. Nanti bermula dari 23 Nov. aku pula akan sibuk sebagai Ketua Pengawas di sebuah pusat peperiksaan SPM.
    Sebenarnya detik-detik yang berlalu terasa amat perlahan, menginsut jika kita dalam "penantian" sebuah harapan. Aku masih berharap, ..kadang-kalanya tidak pasti apa yang diharapkan, suatu fatamorgana, berharap dan mencari sesuatu bagai logamaya sebuah kehidupan.
    Sekurang-kurangnya dalam tempuh setahun ini, terisi jua sebuah 'penantian" setelah bertemu rakan-rakan yang suatu ketika dahulu selalu aku tertanya, "Dimanakah rakan-rakan dahulu?". Dalam kelapangan waktu ini, sekurang-kurangnya aku merasa puas, satu demi satu rakan dahulu muncul  khabar berita. Gembira, teruja apabila mendapat tahu dimana tersebarnya rakan waktu persekolahan dahulu. Duka, terharu apabila mendengar ada yang telah menyahut panggilan Ilahi. Debaran pada ketika berdegup pantas, "jika yang sebaya telah kembali, aku bila pula?".
     Selalu dan kerap pula kini aku memanjat doa pada Ilahi agar memberi aku ruang waktu untuk melihat anak-anak aku selesai alam persekolahan, dapat menentukan hala-tuju kehidupan sebelum aku pula berangkat menyahut panggilanNya. Aku memohon padaNya agar aku dapat menyelesaikan tugas aku sebagai seorang bapa walau kerap aku gagal memainkan peranan sepatut mungkin.
    Hidup ini bukan kita yang menentukan. Kerap aku berbicara di ruang ini, "kita merancang tetapi Dia jualah yang menentukan apalah terlaksana apa yang dihajati".
    Tika waktu, walau hampir sudah melangkah setengah abad, tidak padam perasaan teruja untuk bertemu rakan-rakan. Gelisah bagai pengantin menanti malam pertama, kerana kita bersama banyak menyimpan rahsia waktu sama-sama meniti, melangkah alam persekolahan di Alma Mater yang meyimpan seribu cerita. Kita bertemu...benar...tetapi bukan di bumbung Clifford yang kita war-warkan cerita suka-duka, tetapi di lokasi berbeza...di KL, di Ipoh, di Lumut, di Pantai Merdeka, di pinggir-pinggir kenangan sekitar Kuale yang kita lakarkan seribu cerita.
    Kini, jika diizinkanNya..kita beramai-ramai melangkah kembali ke "alam kita", alam Clifford Secondary. Sampai waktunya, tarikh keramat November 6, kita beramai akan kembali ke "alam kita" kita suatu ketika dahulu dan kapan pula kita akan kembali bertatih pula ke "alam awal" kita Clifford Primary. Masa akan pasti membawa kita ke situ pula.
    Cliffordian 73/78...MOH KITA BERSAMA DI TARIKH KERAMAT ITU NANTI. NOV 6. INSYAALLAH KITA AKAN MENYUSURI SEJARAH YANG KITA CIPTA BERSAMA

Salam Hormat
Yasin Ismail


PERTEMUAN SEMALAM, HARI INI DAN ESOK (...posted by Hasni)

Sent: Tue, 2 November, 2010 9:46:11

 

Pertemuan semalam


manisnya bagai madu yang diteguk
segalanya indah
membalut hati resah untuk tenang
terungkap kisah silam
nostalgia lama memendam perasaan

manisnya bagai madu yang diteguk

segalanya indah

membalut hati resah untuk tenang

terungkap kisah silam

nostalgia lama memendam perasaan

 

Pertemuan hari ini


terasa madunya kian susut
entah ...
tertahankan ia pada hukum alam
menghakis sirna yang mendatang
kekal pada azali kejadian

terasa madunya kian susut

entah ...

tertahankan ia pada hukum alam

menghakis sirna yang mendatang

kekal pada azali kejadian

 

Pertemuan hari esok


makin sukar untuk aku meramalkan
mungkin kemanisan itu akan hilang terus
tapi aku pasti
madu itu pasti akan kembali terisi
andai pertemuan dulu
diabadikan sebagai penentu hari ini dan esok.

makin sukar untuk aku meramalkan

mungkin kemanisan itu akan hilang terus

tapi aku pasti

madu itu pasti akan kembali terisi

andai pertemuan dulu

diabadikan sebagai penentu hari ini dan esok.

 


02 November, 2010

Mengimbau ; Cedawan Sisior (posted by Yasin)

Sent: Mon, 1 November, 2010 12:44:57


        Mengimbau kehidupan kita di Kuale 1970an
    Burung tukang tiada kedengaran lagi di pagi itu. Dari kejauhan terdengar alunan cengkerik bersahutan antara celah daunan. Subuh dingin di kebun tua pemberian datuk kepada ibu bertambah terasa kedinginannya pabila aku, ibu dan adik-adik meredah lalang antara balam kabus yang bergerak dari lembah sungai Perak.
    Sambil meredah, aku memetik daunan lalang dan mengoyak hujung daunnya dan menghala  ke arah adikku yang pantas menyusup di depan. "Aduuuh" jerit aku pabila panah batang halus lalang hinggap di badannya." jangan main boleh tak?" sergah ibu.
    Mataku kini liar memerhati belalang kunyit melompat antara daun. Aku melurut daun dan menitis embun pagi ke tanah lembab. Dapat seekor, aku masukkan dalam plastik yang terselit di pinggang. Makanan untuk burung minor yang baru aku bela.
    "Haaahhh...kat situ banyak" muncung ibu menunjukkan arah yang perlu kami tuju. Antara tunggul mati pokok getah itu, rezeki kami, lauk kami tengahari nanti. Cendawan sisir yang kami di kampongKota Lama kiri , Kuale panggil cendawan sisior tumbuh melata. Rasanya sangat enak, kenyal, anjal apatah lagi di masak lemak. Cendawan ini tumbuh malata pabila hujan renyai beberapa hari. aku dan adik megutip rakus. Aku perhati ibu sedang mengutip pucuk paku yang hijau segar. Aaaaaahhh...pasti masak lemak cili api dan sambal belacan pucuk ubi santapan kami di hari minggu Ahad ini.
    Kini cendawan sisior, cendawan butang atau busut sukar dicari. Kalau adapun belum pasti boleh dimakan kerana bahan baja kimia kebun. Pucuk paku kini keras, tidak lembut hijau segar seperti dulu. Pucuk ubi telah hilang seri hijau-ungu daun aslinya.
    Aku mengimbau kenangan dahulu di pinggir sungai Perak, kebun tua ibu. Kini ibu tiada lagi., tetapi kenangan ibu mengajar aku tentang alam pasti abadi.
    Aku mengimbau kenangan di penghujung rindu. Kawan-kawan aku, Cliffordian 73/78 pasti mengerti, pasti ingat ...cendawan sisior satu tin susu di market lama, cendawan busut, pucuk paku dan ubi. Kita dewasa bersamanya.
    Ibu...aku rindu suatu waktu itu.......bersamamu.
Salam Hormat
Yasin Ismail
Pasti kita menyusuri Kuale pada Nov 6 tanpa Mr Fandi. Al-Fatihah

Di Petang Yang Bening (posted by Sham)

Sent: Sun, 31 October, 2010 19:44:08

Hujan sepanjang hari di Kedah Utara dan Perlis, sejak tengahari tadi, merungkai banyak perkara dalam hal ehwal kehidupan seharian. Sepanjang sebulan yang lalu, agak ketat jadual, untuk menyiapkan suatu proposal yang punyai tarikh akhirnya hari ini, setelah ditunda sebelum ini, 19hb yang lalu. Kehidupan tanpa tarikh khusus untuk dipenuhi adalah suatu penantian yang panjang, dibuat sebegitu, agar ada matlamat untuk dicapai, namun diminit minit akhir jua, yang dinantikan, ada kekeliruan disana sini, lebih lebih lagi menyelubungi sesuatu yang baru, dulunya dibuat secara perkumpulan, tetapi kali ini berseorangan melaluinya, dalam mengharungi dunia akademik, adalah suatu permulaan untuk memantapkan aqal dan otak yang lama ketiduran, hampir 13 tahun tidak pernah diasah, sekian tumpul jadinya.

Apa sahaja tindak tanduk yang dilakukan secara kebiasaan dan routine kehidupan adalah sesuatu yang tidak menggunakan daya fikiran secara optimal, oleh itu kita kena mengajar otak ini agar berfikir diluar kotak kebiasaan. Agaknya begitulah gamaknya, orang terdahulu memerah keringat otaknya, dicari ilmu dan gurunya, merantau dari Hijaz hingga sampai ke Bukhara, demi mensahihkan sesuatu sumber.

Begitulah asam garam kehidupan, tidak berhenti disuatu perhentian, melainkan kena mencari medan baru untuk diceburi, demi kelangsungan survival kehidupan, cari dan terus mencari, hinggalah ke liang lahad.

Kangar, Perlis