Laman Utama

02 November, 2010

Mengimbau ; Cedawan Sisior (posted by Yasin)

Sent: Mon, 1 November, 2010 12:44:57


        Mengimbau kehidupan kita di Kuale 1970an
    Burung tukang tiada kedengaran lagi di pagi itu. Dari kejauhan terdengar alunan cengkerik bersahutan antara celah daunan. Subuh dingin di kebun tua pemberian datuk kepada ibu bertambah terasa kedinginannya pabila aku, ibu dan adik-adik meredah lalang antara balam kabus yang bergerak dari lembah sungai Perak.
    Sambil meredah, aku memetik daunan lalang dan mengoyak hujung daunnya dan menghala  ke arah adikku yang pantas menyusup di depan. "Aduuuh" jerit aku pabila panah batang halus lalang hinggap di badannya." jangan main boleh tak?" sergah ibu.
    Mataku kini liar memerhati belalang kunyit melompat antara daun. Aku melurut daun dan menitis embun pagi ke tanah lembab. Dapat seekor, aku masukkan dalam plastik yang terselit di pinggang. Makanan untuk burung minor yang baru aku bela.
    "Haaahhh...kat situ banyak" muncung ibu menunjukkan arah yang perlu kami tuju. Antara tunggul mati pokok getah itu, rezeki kami, lauk kami tengahari nanti. Cendawan sisir yang kami di kampongKota Lama kiri , Kuale panggil cendawan sisior tumbuh melata. Rasanya sangat enak, kenyal, anjal apatah lagi di masak lemak. Cendawan ini tumbuh malata pabila hujan renyai beberapa hari. aku dan adik megutip rakus. Aku perhati ibu sedang mengutip pucuk paku yang hijau segar. Aaaaaahhh...pasti masak lemak cili api dan sambal belacan pucuk ubi santapan kami di hari minggu Ahad ini.
    Kini cendawan sisior, cendawan butang atau busut sukar dicari. Kalau adapun belum pasti boleh dimakan kerana bahan baja kimia kebun. Pucuk paku kini keras, tidak lembut hijau segar seperti dulu. Pucuk ubi telah hilang seri hijau-ungu daun aslinya.
    Aku mengimbau kenangan dahulu di pinggir sungai Perak, kebun tua ibu. Kini ibu tiada lagi., tetapi kenangan ibu mengajar aku tentang alam pasti abadi.
    Aku mengimbau kenangan di penghujung rindu. Kawan-kawan aku, Cliffordian 73/78 pasti mengerti, pasti ingat ...cendawan sisior satu tin susu di market lama, cendawan busut, pucuk paku dan ubi. Kita dewasa bersamanya.
    Ibu...aku rindu suatu waktu itu.......bersamamu.
Salam Hormat
Yasin Ismail
Pasti kita menyusuri Kuale pada Nov 6 tanpa Mr Fandi. Al-Fatihah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan