Laman Utama

29 Disember, 2010

Sebaik sampai sahaja Man di Kuale

Sent: Fri, 19 November, 2010 7:30:41

Sahabat yang berada di Kuale

    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa ketiga-tiga panggung tiada lagi sewaktu dia merantau. Jangan lupa tunjukkan tapak dua panggung itu dan sebuah lagi yang telah dimiliki oleh orang lain. Minta dia yang berdukacita.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa Ghee Kheeng telah rebah oleh arus pemodenan yang melanda Kuale. Orang-orang Kuale tiada sabar menanti gula dan tepung ditimbang di daging dan diikat. Terlalu lambat proses itu, maka Supermarket didirikan ditapak itu.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya bahawa atap zing dan tiang seribu stesen bas tidak mampu menerima terlalu banyak bas yang datang dan singgah. Anak-anak Kuale ramai yang merantau. Ada yang kerap pulang dan ada yang terus hilang. Lantas dibina stesen baru menampung keperluan. Roboh pula kuarters kerajaan dan kini stesen mengadap Dewan Hamdan Clifford Secondary.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya...masih ingatkah kita sewaktu di Clifford Primary dibawa guru ke Dewan Merdeka untuk melihat Pameran? Kini Dewan Merdeka tidak wujud lagi, Tuanku tidak mahu ia melindungi MCKK, lantas diroboh mengadap sekolah kita dan bangunan baru dibina atas padang  Bandaran "hiburan" kita menyaksikan jaguh-jaguh bola Kuale beraksi dahulu.
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, khabarkan padanya jangan keliru dengan 3 jambatan, Victoria masih jambatan keretapi, Iskandar ada lagi dan yang baru bernama Azlan. Tunjukkan pada Man... Bazaar hanyalah kenangan lalu, waktu ibu-bapa kita membeli pakaian pada zaman tidak mampu. Terbalaskah budi kita pada ayah dan ibu?
    Sebaik sampai sahaja Man di Kuale, lembah tidak setenang dulu. Pokok-pokok untuk digantung cermin untuk kita bergunting rambut hilang ditelan zaman. Bot penambang makin lesu, bagai lesu usia kita.
    Katakan pada Man, Kuale masih kenal kita....anak-anak remaja dahulu yang mengikat erti persahabatan. Kita masih mampu riuhkan pekan kecil Kuale pabila pulang.
    Katakan pada Man dan rakan-rakan taulan lain, kembalilah kerap.....rakan-rakan yang menetap di Kuale sangat akrab dengan nilai budi dan persahabatan...akan menyambut Man dengan ceria kerana kasih kita kejap dan jitu.
    Selalu menjengah Kuale, sahabatku

Salam Hormat
Yasin Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan