Laman Utama

03 Disember, 2012

[7378] secalit madat sekudap rasa III

Seminggu berlalu  rasa yang cukup puas, yang diarahkan jabatan selesai di Kuala Terengganu dan Kota Bahru hinggakan 'smsr' terlepas dari ingatan dengan kesibukan kerja. 
Menjenguk cerita2 sahabat sekilas lalu, banyak cerita dan kisah yang mencetus pelbagai rasa, tiada yang basi, banyak yang tidak kering gusi.
Rasanya corak dan bentuk sedemikian kian mapan dan kekal.

Demam suam-suam bolasepak terasa juga, langkah awal Harimau Malaya sumbang sekali, mujur semangat juang Harimau (macan) Malaya terpasak kuat hingga mampu melangkah ke separuh akhir. Rasa puas bercampur baur kerana Singa turut layak mengenepikan Garuda. Semoga cakaran Harimau Malaya boleh menumbangkan Gajah Putih kelak.

Demam suam-suam berterusan, wakil orang Melayu yang memegang majoriti di Parlimen berhimpun di ibu kota. Laungan semangat Melayu berkumandang tegar, tiada yang lain mampu memimpin orang Melayu melainkan mereka, diseru Melayu agar bersatu kerana disergahnya berpecah belah, itu rasa mereka, tetapi seringnya madah politikus sememangnya begitu, cuma kita bijak-bijak merasainya. Seperkara, berapa lama demam ini berlanjutan tidak diketahui mungkin hingga pilihanraya yang kunjungnya tak pasti bila tetapi yang dijanji mesti ditepati, apa tah lagi menanti BRIM yang cuma sekelumit dirasai.

Usia kian bertambah bila tahun berubah, mencecah setengah abad, cita rasa juga turut berubah mungkin juga bertambah dan pelbagai.Rasanya cuma sedetik niat menambah pasangan hidup tercetus, terangsang dek nafsu atau bukan biarlah empunya badan yang menentukannya kerana nafkah batin dan zahir terletak atas kemampuannya. Suatu wacana yang menyetap minda tentang perkahwinan ditimbulkan beberapa hari yang lalu di ruang ini. 
Perkahwinan muta'ah, pernah didengari sebelum ini tetapi kefahaman yang samar-samar, terima kasih Rahman, pengenalan yang ringkas namun jelas. Tiada yang ingin ditokok tambah lagi tetapi mencambah idea dan rasa untuk naskah Cinta Irana.

Biarlah rasa itu dilestarikan, jangan dipendamkan rasa......

Amir Md Akhir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan