Laman Utama

14 Jun, 2010

Bab 2: HIKAYAT KOLE O DAN CURUT... (posted by Amir)

Sent: Tue, 30 March, 2010 16:13:22

Belalang yang menggaru kepala yang tidak gatal, tidaklah ia berkata-kata, tetapi matanya meliar mencari siapa gerangan diantara mereka yang masih berada di balai santap itu ayahnya. Perantau-perantau dari desanya itu tidak lekang di jari mereka dengan curut, ada berbagai jenis yang dihisap mereka, ada yang panjang besar, ada yang panjang kecil, ada yang pendek besar. Di dalam benak hatinya mengapa mereka ini semua menghisap curut? Di mana mereka mendapat curut ini semua kerana curut yang dihisap itu bukan murah harganya dan tidak dijual di sebarang kedai, dari pengamatannya curut-curut itu dibawa masuk ke negeri itu dari negeri asing. Wah!...Hebat mereka yang pulang ini, masakan tidak curut yang bernilai tinggi melebihi harga sepikul beras itu mampu dihisap bak membakar wang sahaja lagaknya.

 

Keasyikan mereka menghisap curut tidaklah dihiraukan lagi akan mereka keadaan sekeliling, sambil bercerita di kalangan mereka kisah-kisah lama sewaktu perguruan tidaklah jemu jadinya. Ada waktu di selang seli dengan ketawa berderai,mungkin ada yang menggelikan hati,ada juga yang tertunduk kepalanya,mungkin ada kisah hiba yang didengari,namun tidaklah hilang asap curut di atas kepala masing-masing.

 

Sayugia si Belalang terbenak difikirannya, mengapalah ibunya tidak menceritakan rupa bentuk ayahnya itu, apa warna kulitnya? tinggi atau rendah orangnya? sasa perkasa atau kurus melidi atau apa jua yang boleh dibayangkan olehnya akan wajah dan batang tubuh ayahnya. Sekiranya cuma seorang lelaki yang berusia 49 hingga 50 tahun dan menghisap curut serta telah meninggalkan desa itu 32 tahun lalu sahaja sebagai tanda ayahnya, sememangnya mustahil bak kata orang bagai mencari kucing bertanduk....

 

Seketika itu juga terdetik di akalnya sekira ayahnya telah meninggalkan ibunya 32 tahun lalu, pasti ada yang tak kena! Usianya baru mencecah 19 tahun mana mungkin diterima akal jarak beza usia perpisahan antara ibunya dengan ayahnya tidak sama dengan usianya. Apa cerita sebenarnya? Mau ditanya ibunya pada malam itu juga tetapi ibunya sudah ke desa di hilir sungai. Malam ini adanya tidak sampai ke penghujung pencarian untuk mengenal ayahnya.

 

Di tengah-tengah balai santap, Tok Penghulu masih tidak menang tangan melayani rakan-rakan lamanya, mungkin banyak perkara diperkatakan. Bagi Tok Penghulu saat-saat begini bukan senang untuk diperolehi, apa lagi bersama rakan seperguruan dan sepermainan. Tidak disangkanya akan dihayatnya yang hampir setengah abad itu mengimbau kisah-kisah silam, mengimbas kembali peristiwa lampau bagaikan pulang ke usia muda, jangka tempoh yang penuh manisnya, tiada akan ada pahitnya lagi.

 

Bagaikan pasar di hujung minggu, gelak ketawa dan suara besar rakan-rakan yang berpisah itu, tiadalah henti ke larut malam,ada yang matanya terlalu berat untuk dibuka,ada yang perutnya sudah memulas tidaklah mereka meninggalkan balai santap itu.Namun tidaklah dilupai oleh mereka akan tanggungjawab kepada keluarga yang ditinggalkan, sejajar waktu berlalu pulanglah mereka jua ke pangkuan keluarga sama ada di sebelah malamnya atau di sebelah siangnya.

 

Masa berlalu bak bayu bertiupan, di ambang perpisahan mereka di malam itu,maka dicapailah kata sepakat,pertemuan sebegini hendaklah diteruskan, dilanjutkan dan dilestarikan. Maka bersetujulah mereka untuk mengadakannya pada tahun yang mendatang, tiadalah bantah, tiadalah bangkang, semuanya mengangguk bersetuju dan bersuara menyokong. Sementelahan itu ada yang mengusulkan, di tahun mendatang ini berbagai acara diadakan sebagai mencecah usia 50 tahun di kalangan mereka, ada yang kata meriahkan acara supaya diingat ke anak cucu, ada yang kata buah tangan dibawa oleh masing-masing tidak terkira nilanya, yang mahal atau yang murah, yang penting jiwa buah tangan itu. Maka difikirkan semua oleh mereka, tiada kata putus akannya, mungkin tiba waktunya putuslah kata.

 

Hatta, tidak terpinggirnya Tok Penghulu,mengepalai "Moh Balik Kole O" diletakkan di bahunya lagi, tidaklah ragu, tidaklah khuatir, tidaklah hati gundah. Semua mereka tidaklah mau yang lain mengurus majlis keramat itu.Tok Penghulu yang penuh ilmu di dada lagi perkasa itu menjurus amanah itu dengan senyum manis yang menggembirakan di hadapan semua mereka. 

 

Tetapi tiadalah senyuman manis itu berpanjangan, kerana setelah dialihkan mukanya ke belakang, senyumanya tawar setawarnya terpancul, apa tidaknya, manakan dicari kerbau, kambing, ayam dan beras untuk dikendurikan untuk tahun mendatang ini. Kenduri tahun ini pun dipinjam duitnya dari Bendahari Negeri..... Senyuman Tok Penghulu sudah pahit......

Sekian adanya,

Amir Md Akhir



Tiada ulasan:

Catat Ulasan