Laman Utama

14 Jun, 2010

HIKAYAT KOLE O DAN CURUT... (posted by Amir)

Sent: Tue, 30 March, 2010 12:39:22



Alkisah, diceritakan orang sebuah desa di tebing sungai yang menjalar panjang dan seluas mata memandang. Desa disebut orang KOLE O, Penghuninya setelah sekian lama berhijrah ke merata negeri, mencari nafkah sesuap nasi, ada yang berkebun, ada pelayar, ada hulubalang negeri, ada bentara, ada tukang dan pelbagai kerja yang dilakukan untuk meneruskan hidup.Adapun yang masih tinggal cuma yang setia kepada tanahnya,cinta kepada suasana desa dan diamanahkan untuk terus berbakti kepada desa yang permai itu.Bukannya di desa itu tiada tanah yang subur, begitu jua perkerjaan yang baik-baik tapi sudah menjadi lazimnya, adat anak muda yang telah diperturunkan sejak zaman nenek moyang mereka untuk berhijrah,merantau ke pelosok negeri untuk memperkasa diri dan kemakmuran desa.

Namun, akhir-akhir ini wajah desa itu semakin suam-suam adanya,seri hilang entah ke mana,meriahnya semakin pudar. Apa puncanya tidak diketahui,Tok Penghulu sudah puas memerah otak mencari sebab,kusut masai dibuatnya. Maka Tok Penghulu memanggil sidang desa untuk menyelesaikan masalah. Datanglah segala pegawai-pegawai desa berbincang apa puncanya keadaan desa yang tidak semegah dulu.Sekian waktu berbincang, maka dicapai kata putus, desa itu hilang serinya akan kerana anak mudanya telah terlalu lama merantau dan tiada mengamarahakan desa yang ditinggalkan.

Dikatakan oleh seorang pegawai desa, "kita harus memanggil pulang anak-anak muda yang merantau itu tiada dikira walaupun sekejap pun kerana kalaulah hadirnya mereka itu di desa ini sebagai ubat,kita hendaklah menelannya". Ditokok oleh seorang yang lain,"sekiranya dipanggil dan tidak mengadakan sebarang acara tidaklah elok jua, kita harus adakan apa jua acara yang boleh memeriahkan suasana". Disampuk seorang yang lain pula,"pada hamba eloknya kita adakan perlawanan sepak raga,ya! sepak raga bulat yang memasukkan bola rotan itu ke jaring". Sememangnya sepak raga bulat adalah permainan yang paling disukai oleh penduduk Desa Kole O,sejak dari nenek moyang mereka permainan itu tidaklah dilupai dan terus dimainkan oleh anak-anak mudanya.

Tok penghulu yang dari awalnya diam sahaja langsung bersetuju akan cadangan itu, yang lainnya pun turut sama tidak bercanggah pendapat. Maka dipilih dan dilantik pegawai-pegawai untuk menguruskanpanggilan untuk anak-anak muda desa yang sudah lama merantau itu.Secara tiba-tiba muncul seorang remaja yang digelar  orang Belalang,"Tok,panggilan yang ingin dibuat oleh Tok hendaklah ada namanya supaya akan diingat orang sampai bila-bila". Tok Penghulu langsung bertanya "apakah nama yang cocok untuk panggilan itu". Si Belalang jurus menjawab,"Moh Balik Kole O",maka dengan tergamam gembira bersetujulah semua yang hadir akan nama yang pelik tetapi menawan hati.Tok Penghulu dalam sejenak itu terfikir akan perlu adanya kenduri untuk anak-anak muda yang akan pulang kelak. Lantas dia mencelah,"kita juga akan buat kenduri", maka bertepuk tanganlah semua yang ada, dari yang tua,muda dan kanak-kanak sama ada di dalam atau di luar balai sidang.Akan Belalang yang akal panjang itu juga bertanya "bila kita nak buat ini semua", terdiamlah seketika mereka yang hadir itu. Pak Imam desa yang tidak masuk campur dalam keriuhan sebelum ini mengiyakan pertanyaan Belalang justeru menjawab dan dari firasatnya hari yang seelok-eloknya hari Sabtu dan tarikhnya 28 Mac pada tahun itu.Tok Penghulu sebagai pemimpin yang berkuasa turut bersetuju dengan kata-kata Tok Imam, maka yang lain juga mengiyakan dan menyokongnya.

Arakian, bertungkus lumuslah penduduk Desa Kole O dengan kerja-kerja menyempurnakan panggilanitu,gelanggang  sepak raga dibina, balai kenduri dibaiki dan dihias,kerbau kambing ditambat untuk disembelih kelak,tiada yang berdiam diri, semuanya bertekad untuk menjayakan majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Tok Penghulu dan pegawai-pegawainya turut turun padang bersama-sama anak buah membanting tulang, tiada yang kenal penat dan lelah. Belum pernah desa permai ini melalui waktu-waktu semeriah,itu tidak terbayang mereka akan hasilnya kelak, semetelahan in cuma persiapannya apa lagi pada hari keramat itu...

Setelah hampir sepekan persiapan dibuat, timbul persoalan, bagaimana panggilan  ini hendak disampaikan kepada anak-anak muda yang berada di perantauan itu agar mereka menyahut panggilandan kembali ke desa pada hari keramat itu.Maka diadakan sidang untuk mengrungkai masalah itu, Tok Penghulu terus buntu akalnya,pegawai yang lain tidak kurang kerutan di dahi memikirkan cara yang sesuai.Sepertimana sebelum ini Belalang jugalah yang mengusulkan cadangan bernas,utusan kerajaan digunakan untuk pergi ke pelosok negeri untuk menyampaikan   panggilan Desa Kole O. Tok Penghulu dan yang lain mengangguk setuju, Tok Penghulu berjanji akan berurusan dengan pegawai kerajaan negeri untuk pelaksanaan jemputan itu.Maka terungkailah sudah masalah umpama sebusut  tetapi sebukit oleh Tok Penghulu dan pegawai-pegawainya. Sayugia, sebelum bersurai, timbul lagi masalah,bagaimana permainan sepak raga itu hendak dimainkan, ertinya apakah pasukan yang akan bermain dan bagaimana memastikan pasukan tersebut? Untuk sekian kalinya, Belalang mencadangkan pasukan dibahagikan dengan bersempadankan sungai yang merentangi desa mereka. Satu di utara, satu di selatan. Belalang yang tidak pernah kering daya fikirnya menyebut nama pasukan yang akan bermain, yakni Pasukan Pusat Sepusing di selatan sungai,Pasukan Kole O di utara sungai. Tanpa bantah, mereka semua bersetuju.

Setelah dua purnama berlalu maka tibalah hari keramat yang dinanti-nantikan itu. Umpama burung pulang ke sarang di waktu senja, ramailah yang pulang, ada yang datang pada paginya, ada pada petangnya dan ada pada malamnya. Mereka yang pulang langsung berkumpul di balai sidang,Tok Penghulu bersama pegwai-pegwainya menyambut akan kepulangan mereka, tetapi terkejut besar, melompong seluas-luas mulut apabila melihat yang    pulang itu. Apa tidaknya mereka yang pulang itu bukan anak-anak muda lagi tetapi semuanya sudah seusia Tok Penghulu dan pegawai-pegawainya.Langsung ditanya Tok Penghulu gerangan siapakah mereka, dijawab oleh mereka yang berkumpul di balai itu dengan serentak "Kamilah anak-anak desa ini yang telah merantau sejak 32 tahun lalu, kami pulang kerana menyahut panggilan Moh Balik Kole O. Tok Penghulu yang masih keliru ingin terus bertanya tetapi setelah dikenang semula, dan diamatinya mereka yang pulang ini semua adalah rakan seperguruannya. Iya, dia kenal semua mereka itu, langsung dipeluk seorang-seorang daripada mereka, bergenang airmatanya, hatinya hiba setelah bertahun-tahun tidak bertemu maka di detik ini dia bersua kembali rakan seperguruannya yang sama-sama menuntut ilmu selama 11 tahun.Mereka yang berkumpul itu turut hiba akan keadaan itu dan langsung di antara mereka bercerita akan kisah-kisah lalu dan pengalaman pahit manis yang telah dilalui sejak 32 tahun lalu.

Akan kerana persiapan telah dibuat, acara sepak raga jaring bulat pun dimainkan, maka mereka beradu tenaga dan kepandaian diri untuk memenangkan pasukan masing-masing.Keringat yang gugur dari mereka yang bermain bak hujan malam,tiada henti selagi tiada lelah. Setelah berlalu beberapa waktu, maka yang menang adalah pasukan Kole O,namun tiadalah besar hati mereka yang menang itu kerana hakikatnya tiada yang menang dan tiada yang kalah. Yang menang adalah semangat setiakawan dan menjiwai erti persahabatan.Pasukan Pusat Sepusing yang kalah tiada lah patah hati,tiada dendam,mereka tahu di lain waktu akan terbalas kekalahan yang dialami.Di petang itu terpatrilah sejarah antara rakan yang berpisah sejak 32 tahun,akan dikenang semua dan tidak hilang dari ingatan dengan panggilan "Moh Balik Kole O".  

Pada malamnya,kenduri santapan dihidangkan, kerbau dan kambing yang dimasak pelbagai lauk pauk dengan nasi senak-enaknya dinikmati oleh mereka yang hadir di balai santap. Antara yang datang bukan hanya rakan-rakan yang pulang menyahut panggilan  itu tetapi mahaguru dan tok guru-tok guru dari perguruan turut dijemput bersantap. Maka kata-kata kenangan diungkapkan oleh Tok Penghulu dan pegawai-pegawainya mengimbau kisah-kisah 32 tahun lalu. Hadirin yang dengar ada yang hiba dan sayu hingga tertitis airmata,namun tiada kurangnya gusi yang tidak kering, iya perasaan yang berbuak-buak,tiada madah yang boleh terucap.

Sementelahan itu,Tok Penghulu masih menjenguk-jenguk ke mana gerangannya Belalang, dia seharusnya diberi pujian akan jasanya kerana sempurnanya panggilan itu.Sekian waktunya bersualah Tok Penghulu akan Belalang, dilihatnya Belalang seolah-olah buntu akal fikirannya, bak hilang batu geliganya ditanyainya "kenapa kamu Belalang,bak orang tercari-cari benda yang hilang? Maka dijawab Belalang,"Tok sebenarnya hamba mencari orang yang menghisap curut".Dibalas Tok Penghulu "kenapa dicari orang yang menghisap curut? Justeru dijawab Belalang,"Hamba dipesan oleh ibu,ayah hamba telah meninggalkan desa ini 32 tahun lalu dan sekiranya bertemu dengan orang yang menghisap curut pada malam ini, dialah ayah hamba,tetapi Tok pencarian hamba agak sukar dan tidak mungkin hamba akan mengenali ayah hamba, kerana cuba Tok lihat semua mereka yang pulang dengan panggilan itu menghisap curut! Tok Penghulu langsung melihat ke sekelilingnya,iya memang benar kata-kata Belalang itu.

Maka terlintas di fikiran Tok Penghulu, surat panggilan yang diserahkan kepada utusan negeri untuk disebarkan ke pelosok negeri ditulis oleh Belalang.Makanya Belalanglah yang bertanggung jawab memanggil anak-anak muda desa itu untuk panggilan "Moh Balik Kole O",tiada hairanlah yang menyahut panggilan itu hanya mereka yang telah meninggalkan desa itu 32 tahun lalu.Tok Penghulu tiadalah rugi akan dia kerana dapat bertemu rakan-rakan seperguruannya yang telah lama berpisah tetapi tiadalah sebegitunya akan si Belalang.

Sekian adanya,

Amir Md Akhir



Tiada ulasan:

Catat Ulasan