Laman Utama

22 Jun, 2010

Bab 3: HIKAYAT KOLE O DAN CURUT... (posted by Amir)

Sent: Wed, 31 March, 2010 16:16:02

Arakian, pulanglah semua mereka dari acara "Moh Balik Kole O". Adanya yang mengendong selaksa kenangan,sekeranjang ingatan dibawa pulang.Tidak kurang juga yang tidak puas hati bukan tak senang hati akan acaranya yang hanya sekelumit masa sahaja bak setanak nasi dijerang orang tiadalah lama masaklah ia.. Akan tetapi semua mereka itu yang telah dikelompokkan dalam dua pasukan yakni pasukan Sepusat Sepusing dari selatan sungai dan pasukan Kole O dari utara sungai tiadalah berdiam diri. Sekian kalipun di saat perpisahan dipisahkan dengan salam kemas dan pelukan erat,antara mereka,masih terngiang di telinga masing-masing suara "persengketaan" l Mereka akan kekal berterusan. Akan tetapi jangan disalah erti ini bukannya permusuhan,Semua mereka ini tiadalah hilang tabiaatnya sejak dari zaman perguruan lagi itulah ulahnya, itulah perangai dan laku, semuanya gurauan senda mesra,usik mengusik sesama sendiri.

Berlanjutanlah sebak semua mereka itu, sehingga tiba di rumah masing-masing, tidaklah enak di hati kerana berpisah dengan rakan-rakan,yang bermukah di serata pelosok negeri  apakan daya jauh di mata dekat di hati, Semangat putus asa tiada dalam jiwa semua mereka, dicari jalan dan diikhtiar untuk berhubung antara satu sama lain. Tiadalah dangkal akal mereka.

Negeri Mahamerongwangsa ini terkenal akan rakyatnya yang gemar membela burung, tiadalah rumah yang tidak berburung, dihitung orang akan burung di negeri itu amatlah banyak sehingga bilangannya lebih banyak dari rakyat negerinya bak negeri zelandia baru yang bilangan berbirinya lebih banyak dari rakyat negeri. Seperkara lagi rakyat negeri ini amat ahli melatih burung, itulah ilmu yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka hingga tiada rakyatnya dari yang muda hingga yang tua tidak tahu bermain burung. Amalan mengutus surat dengan burung tiadalah aneh dan pelik, Makanya apa jua jenis burung telah digunakan untuk mengutus surat, tidak kelazimannya menggunakan burung merpati, itulah kehebatan rakyat negeri ini, sama ada burung yang kecil atau yang besar, yang terbangnya jauh atau dekat serta laju atau perlahan, semuanya boleh dijadikan pengutus surat. Semua mereka yang baru pulang dari desa Kole O itu langsung menggunakan burung utusan untuk berhubung dengan rakan-rakan yang berada di pelosok negeri. Isi kandungan surat bermukadimah dengan bertanya khabar, bersimpati akan mereka yang cedera luka sewaktu bertanding sepak raga jaring bulat, melepaskan rindu dendam, , gurisan hati dengan janji untuk bertemu kembali di tahun mendatang. akan tetapi rentak dan irama melankolik itu tidaklah bertahan lama.

Anak desa yang bermukah di utara mula bersilat ungkapannya menduga-duga yang lain, berbicaralah ia "sekiranya bersepak raga sudah tidak ingin dimainkan, maka hamba mengusulkan permainan lain, supaya pasukan selatan akan biasa permainannya itu dan tidak kekok untuk memenanginya". kata-kata sebegini disahut oleh anak muda yang bermukah di selatan, "tiadalah gentar kami untuk bermain apa jua permainan, akan persiapan kami di tahun mendatang akan lebih ampuh".Apakah jenis permainan yang akan dipermainkan oleh semua mereka, maka berbagai permainan diutarakan, ada yang  inginkan permainan pong ping, ada yang inginkan permainan bola bujur sentuh, ada yang inginkan bola pelempang, dan macam-macam sehinggakan diulangi mereka untuk bermain popiah. Burung-burung pengutus sudah terbang simpang siur menyampaikan surat, tiadalah penat dan lelah haiwan itu. Jenis permainan belum terpilih, buntu dan kusut semua mereka untuk memilih permainan yang cocok untuk dimainkan di tahun mendatang.

Adapun, terpancullah jua akan fikiran semua mereka untuk menambah berbagai acara selain dari permainan, ada yang inginkan acara berkebajikan,ada yang inginkan majlis meyambut usia 50 tahun, tidak ketinggalan bagi mereka yang usia 49 dan 51 di tahun mendatang. Kemusykilan ini tiadalah dapat diselesaikan, semua mereka, maka diusulkan diadakan pertemuan semua mereka dan tidak terpinggir akan Tok Penghulu desa Kole O . Dipersetujui akan mereka bertemu di desa Epoh pada purnama empat yang tiada beberapa lama lagi. Moga-moga akan tercapai kata putus dan kesepakatan antara rakan-rakan yang telah berpisah lama ini.

Sementelahan itu burung pengutus tiadalah berhenti mengutus surat semua mereka, berbalas-balas surat dikirim, berbagai kata dan bahasa diungkapkan, tiadalah erti semua ini kalau bukan dikatakan PERANG URAT telah bermula semula,tiadalah diketahui akan redanya ia, mungkin juga berpanjangan hingga ke tahun mendatang.

Sayugia, tiada diketahui oleh semua mereka akan Belalang dalam perjalanan ke rumah salah seorang daripada mereka, kerana ia telah kenal akan ayahnya,ibunya yang pulang dari desa di hilir telah memberitahu akan jenis curut yang dihisap oleh ayahnya, dan pada malam santapan itu curut yang sejenis itu ada dihisap olehnya.......

Sekian adanya,

Amir Md Akhir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan