Laman Utama

06 September, 2013

[7378] secalit madat sekudap rasa xv

Sebelum ini ada diperkatakan tentang harga, ya, mungkin pada masa itu yang disentuh hanya harga ayam dam daging, tetapi sebenarnya isu yang ingin ditimbulkan dan lebih kritikal adalah harga barangan yang sentiasa naik di negara ini. Beberapa hari lalu harga minyak Ron 95 dan Diesel telah dinaikkan 20 sen. Alasan kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah untuk mengurangkan subsidi dan hal ini akan menjimatkan kewangan negara, 1.3 bilion kata PM.

Reaksi orang ramai pelbagai, yang jelas majoritnya rasa tidak berpuas hati,  biasalah apa jua harga yang naik tidak akan disambut dengan baik. Semasa harga rokok naik pun macam tu juga tetapi pembeli rokok makin bertambah. Dalam pada itu ada yang menyokong subsidi ini dipotong kerana inginkan rakyat negara ini jangan dimanjakan dengan subsidi. Dalam keadaan begini sikap meminta-minta rakyat perlu diketepikan, itu kata mereka tetapi tidaklah salah pula untuk meminta-minta undi mereka semasa PRU. Tidaklah ingin mengulas kewajaran memotong subsidi minyak, kerana ini semua di tangan kerajaan. Negara ini memang banyak memberi subsidi kepada rakyatnya, cuma rakyat tidak sedar hinggakan setiap barang diberikan subsidi tak kiralah dalam bentuk apa sekalipun. Rasanya itu salah satu tanggungjawab kerajaan?

Yang klise, apabila dinaikkan harga minyak mulalah dibuat perbandingan harga dengan negara lain. Tujuannya jelas untuk mewajarkan kenaikan itu. Minyak di negara ini lebih murah daripada negara-negara tertentu malah dikatakan kelapan termurah di dunia.  Betulkah harga  minyak di negara ini berkedudukan demikian? Disenaraikan tujuh negara di atas negara ini, tetapi rasanya ada lagi negara-negara yang harga minyaknya lebih murah daripada negara ini, yang terasa, harga minyak di Brunei itu pasti lebih murah daripada negara ini sekalipun dikirakan pertukaran matawang. Dalam senarai itu kita mengatasi Brunei!

Kebiasaannya, harga minyak naik akan turut naik sama harga barangan. Hal ini tidak boleh dinafikan, kenyataan menteri juga mengesahkannya dan akan bertindak ke atas sesiapa yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Klise juga kenyataan ini sebenarnya, boleh rasa mual dibuatnya kerana tiada yang beza sebelum ini apabila harga minyak dinaikkan. Ada waktunya seperti menguji keintelektualan kita. Ya, suara kita ini tidak ke mana? Bagai anjing menyalak bukit, tetapi kalau dipendam tidaklah elok juga, binasa nanti. Cuma ia luahan rasa, tak salahkan?

Rasanya kita telah melalui fasa  seperti ini (harga minyak naik)  berulang kali, benar kita berjaya menempuhinya.Cara dan gaya hidup kita pun berubah dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Ada yang berusaha keras dalam urusan mencari nafkah hidupnya untuk mencapai keseimbangan dengan kos  yang meningkat tetapi tidak semua berada dalam kesempatan dan peluang yang sama. Akibatnya, kos yang meningkat ini akan menyempitkan kehidupan mereka. Rasanya keberadaan itu menjadi penentu dalam ruang yang kian menyesakkan ini.


Amir Md Akhir
Putrajaya








-- 
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan