Laman Utama

21 September, 2010

Agenda Bermula - posted by Sham

Sent: Tue, 21 September, 2010 22:58:15

Mesyuarat Penaja Pertama telah bermula hari ini, bermula jam 6 petang tadi, dihadiri beberapa rakan rakan yang sama sama bakal menerajui dan meneruskan agenda besar Koperasi berkenaan. Antara yang hadir, Faisal Ghazali, Azlin, Aiznin, Aziz Ali, Megat Fuzy, Hasni , Mior Puaat, Abdul Rahman, Redzuan Mansor, Yusoff Shah, Arif Nadzeri dan teman.

Persidangan ini membincangkan aspek teknikal penubuhan dan dijangka mengadakan Mesyuarat Agung Penubuhan pada 6 Nov, 2010.

Moga kehadiran saudara saudara di Mesyuarat Agong Penubuhan yang bakal diadakan ditarikh itu dihadiri, dikalangan kita, tunggu pengumuman selanjutnya dari masa ke semasa.




Mesyuarat Penaja Koperasi



      
         ~ azr ~                

20 September, 2010

Bot Sayong ynag lama itu... (posted by Yasin)

    Sent: Thu, September 16, 2010 8:25:52 AM
    Husni
     
        Bot Sayong yang lama itulah sangat setia dan tegap membelah arus tenang atau 
    deras. Tidak pernah mungkir menghubungkan dua rasa, dua cinta. Luncurnya dari 
    tebing ke tebing sentiasa lembut dan berhati-hati, takut terusik dua hati yang 
    gelisah menanti atau ucap bibir belum bernoktah.
        Bot Sayong yang lama itulah menghubung rezeki dan harapan. Dadanya sarat 
    dengan seribu peristiwa. Tabah menampung resah, mendengar keluh resah penumpang 
    dari garis subuh ke mega senja hingga pekat malam. Ia berehat sekadar melepas 
    lelah. Seawal subuh, ada yang telah menghentak kaki ke dadanya.
        Bot Sayong yang lama itulah sentiasa diintai resah sijejaka,...apakah gadis 
    ayuku ada didalamnya sedang aku menanti waktu, mengharap jawaban agar hilang 
    prasangka yang sedang gelora di dada.
        Bot Sayong yang lama itulah menyimpan segala sejarah, peristiwa, pahit manis 
    suka duka dalam kita menempuh alam remaja. Dia sentiasa cuba memenuhi impian, 
    seribu mimpi dan menyimpul kemas segala kecewa dan airmata suatu ketika dahulu.
        Mungkin kini anak-anak kita melihat ia sebagai satu pengangkutan untuk 
    bersantai, sebagai suatu daya tarikan pekan kecil Kuale. Kita bawa anak-anak 
    kita naik Bot Sayong dan berkata, "Bot ini pengangkutan untuk abah ke sekolah 
    dulu" atau "Bot ini untuk abah ke rumah kawan di seberang sana, sebelum ada 
    jambatan itu yang di depan matamu". Sebenarnya kita menyusuri "satu kenangan" 
    yang abadi pada diri. 
     
        Bot Sayong ini pernah, wahai anakku memberi abahmu seribu harapan, malangnya 
    tidak kesampaian. 
     
        Bot sayong ini pernah, wahai anakku, aku naiki bersama ibu. Gerak 
    perlahannya membawa aku melayari mimpi indah bersama ibumu. Kami mengocak air 
    sungainya, melukis impian, dan inilah impiannya menjadi kenyataan.
        Mudiklah dan terus mudik Bot Sayong kerana deru injin lesumu adalah detik 
    nadi kami hingga ke saat ini.......
     
    Yasin Ismail 

09 September, 2010

Ramadhan semakin meninggalkan kita

Sent: Tue, 7 September, 2010 3:22:15

Dah nak Hari raye
boleh bilang dengan jari aje
Tapi laki buat lupe
tahun ini ke kampung mentue

Tapi laki buat lupe
tahun ini ke kampung mentue
kain baju udoh sedia
kueh biskut dah letak dalam kerete

Kain baju udoh sedia
kueh biskut dah letak dalam kerete
si isteri sengeh saje
padan muke, ini tahun aye

Si isteri  sengeh saje
padan muke, ini tahun aye
yang anak sorak gembire
tahun ini kite ke utare

Yang anak sorak gembire
tahun ini kite ke utare
gerenti raye lebih ceria
ate mercun kat Padang Beso, macam-macam ade

Gerenti raye lebih ceria
ate mercun kat Padang Beso, macam-macam ade
tiba-tiba bapak melompat bersorak
betoi juge, kat Padang Beso ada daging dua peha

Tiba-tiba bapak melompat bersorak
betoi juge, kat Padang Beso ada daging dua peha
mak kome sebok dengan keluarge bermesra
teman sebok bergumbira

Mak kome sebok dengan keluarge bermesra
teman sebok bergumbira
tujuan murni raye jadi caca-merba
teman sebok jadi hantu raye

Yang di atas tu teman mereka
jangan jadikan raye haru biru
zaman merapu singkirkan segere
kita dah berumo, jangan namboh dose

Selamat hari Hari, hari mulia
Ramadhan semakin meninggalkan kita
apakah kita masih ada
1432H, Ramadhan seterusnya

Salam Hormat
Yasin Ismail

Bergema Takbir

Sent: Mon, 6 September, 2010 23:17:49

Teringat masa awok diperantauan menyambut Aidil Fitri di Melbourne. Berjalan berbatu batu bertukar tram semata mata inginkan takbir berkumandangan ditelinga.

Tak kala menyambut bilal berlinangan air mata ku membasahi pipi. Manakan tidak ayah ibu dan kakak kakak tiada dihadapan mata. Kampung nun jauh dibelah lautan. Seperjalanan tidak akan sesampaian.

Namun khutbah tidak ku mengerti kerana disampaikan dalam bahasa Turki dan ramai yang terpingga sebagai burong tok tok mengaminkan doa yang tidak diertikan.

Kini ditanah airku, air mata menginang sebelom akhirnya Ramadhan kerana ayah tiada lagi. Sudah lima tahun ayah tiada disisiku namun pesanan ayah masih bermain ditelinga.

Ini kah Ramadhan terakhir bagiku? Kerana Syawal bukan milik ku lagi kerana ianya milik anak anak ku untuk bergumbira manakala buat ku gembiranya Syawal apabila ku dakapi ibuku.

SA Sulaiman


Kita dan Kebiasaan III (...posted by Sham)

Sent: Mon, 6 September, 2010 22:39:03

Di malam malam akhir penghujung Ramadhan al Mudharak, secara ritualnya, masyarakat khususnya berketurunan Melayu Islam, begitu sibuk dengan persediaan menyambut hari lebaran, simbolik kepada kegembiraan setelah berjaya melalui madrasah Ramadhan al Mubarak, dengan persediaan persediaan awalannya dengan membeli pelbagai aneka pakaian baru, langsir baru, katil baru, tilam baru dan seadanya, jika dahulunya, zaman kita diawal 30 an tahun, beria ia dengan mendapatkan barangan baru, adakalanya ketika itu dengan perkakasan serba baru, kereta baru, kapcai baru, basikal barui, dan yang serba baru ini, menggembirakan suasana untuk diraikan bersama dihari lebaran. Pabila melangkau 40 an, apabila, anak anak telah sedia membesar dan banyak yang berlagang dengan alam persekolahan mereka, trend ini berubah dengan kebertanggongjawaban baru bagi memenuhi keperluan keperluan mereka.

Bagi yang pasangan mereka adalah di negeri yang sama, lebih khusus apabila di daerah yang sama, kekalutan untuk menyambutnya tidak mendatangkan kontroversi, masing-masing bersedia untuk merayakan hari lebaran dikampong halaman masing masing. Namun bagi perantau yang membangsat dinegeri asing, berkeluarga dengan isteri yang bukan sedaerah, suatu perjanjian "bilateral" , kena diwujudkan terlebih dahulu, " tahun ni sana ahhh, tahun depan sini ahhh.", maka muncong lah yang tiada favoritism untuk merayakan hari lebaran, yang seharusnya dirayakan dengan suasana gembira, tetapi bermuram durja, dengan ketiadaan nostalgia lama diraikan. Begitulah peredaran masa diawal awal memulakan kehidupan berkeluarga, dan kini telah ditelan usia, lebih selesa berada ditempat tempatnya mencari rezeki, tambahan pula anak anak telah membesar dan trend nak balik kampong ini, agar pudar dan longgar, lebih lebih lagi ketiadaan orang tua yang telah dipanggil pulang. Yang tinggal hanyalah kenangan memori lama untuk dikenang.

Kepulangan kali ini, adalah untuk melihat lakaran silam, dimana tempatku bermula, membina penghidupan dan mengenal erti kehidupan. Tak terkata , setelah sekian lama merantau, kembalinya ke kampong halaman , adalah menoleh nostalgia dan memori bersama sanak saudara yang masih ada dan rakan rakan lama yang kesekian lama tiada perkhabaran.

Selagi hayat dikandung badan, disitulah memori dan nostalgia diingat dan dikenang.


Bergema Takbir

Sent: Mon, 6 September, 2010 12:40:35

Bergema Takbir
Salam Cliffordian 73/78
 
    Semakin hampir kita menyambut Aidil Fitri, semakin Ramadhan akan meninggalkan kita. Anak-anak kita semakin tidak sabar menanti malam Aidil Fitri. Mereka tidak kisah rumah datuk sebelah ibu atau bapa. Mereka seperti kita dahulu. Imbas kembali tahun 70an, kita teruja dengan malam Tujuh Likur (malam 27), kita gamat pada malam raya. Berlari kita ke hulu ke hilir. malam raya, ibubapa tidak kana marah jika pulang lewat. Malam untuk bergembira. Kini suasana itu diwarisi oleh anak-anak kita. Itulah lumrah alam, sahabatku. Malam raya bukan lagi untuk kita berlari. Malam raya adalah untuk kita bertakbir. Aku pasti akan mengalirkan airmata. Walau sekeras manapun hati ini, pasti terusik jua. Pasti kita, pada usia senja ini terkenang mereka yang telah tiada. Terasa kurang meriah, Aidil Fitri, tanpa mereka yang dikasihi, yang terlebih dahulu dipanggil Ilahi.
    Gema takbir pasti mengusik perasaan. Sahabat, jangan berkata padaku, ...aaahhhh hati aku sepejal batu. Takbir yang berlagu pasti menusuk kalbu. Kita terkenang kembali zaman kanak-kanak, zaman alam persekolahan. Satu zaman yang indah, tanpa bayak persoalan yang mengganggu jiwa.
    Terimalah hakikat kehidupan. Kita perlu memenuhi tuntutan sang isteri yang juga mahu menyambut 1 Syawal bersama ibubapa mereka. Lantas kita bertoleransi untuk beraya di rumah keluarga isteri pada 1431H ini. Ini lah kelangsungan  sebuah kehidupan, tetapi dalam senyum kita, kita teringat kampung halaman, teman sepermainan, suasana halaman rumah ibu, pekan Kuale yang bergemerlapan. Kita langsung terus menjadi perantau...sebak dada, kita urut sendiri dalam hilai-tawa anak isteri bersiap di dapur, di ruang tamu.
    Rendang di kuali, ketupat di lengat, liuk-lintuk api pelita tidak seindah kenangan panjut Kuale.....ahhhhhh beremosikah aku. Tidak,....ini rintih hati perantau terkenang masakan ibu, kepingin bicara bersama ayah dan saudara. Malam yang berlalu pasti mengusik keluh-kesah hati senja kita.
    Takbir terus bergema. Jika tadi di masjid, kini di papar TV. Indah memuji kebesaran Ilahi, meniup semangat islam kita. Sahabat, apakah kita dapat lagi menyambut Ramadhan yang sebentar tadi berlalu. Apakah kita akan bertemu Ramadhan 1432H nanti.?..atau apakah ini Ramadhan barangkali terakhir kita?. Apakah Lebaran ini Lebaran terakhir kita. Usia kita bukan usia sangsi lagi, usia kita usia pasti....... Kita sambut hari mulia ini dengan penuh insaf, mensyukuri rezeki yang dikurnia Ilahi.
 
Allahuakhbar......Selamat Aidil Fitri pada semua sahabat Cliffordian 73/78. Semoga kita bertemu lagi, insyaallah. Maaf Zahir & Bathin. Maaf Tutur Bicara. Maaf Terkasar Bahasa. Maaf Kesilapan di Alam Persekolahan dan Sepermainan dahulu. 
 To Err is Human, To Forgive is Divine
 
Salam Hormat
Yasin Ismail