Laman Utama

14 Oktober, 2011

Sesudah Pergi Tercari Cari.

From: "hishamudin.alli
Sent: Thursday, 13 October 2011, 22:58

Hari ini, aku terpanggil untuk mencatatkan suatu memori lama, dari rakan sepersekolahan, Razali Zakaria, sememangnya, dia adalah jiran semasa aku ditempatkan dirumah ibu saudaraku, rakan bersama ke sekolah melalui bot sayong, bersama Mat Lentong, acapkalinya kami bertiga atau berempat dengan Ghuzlan, sama sama berkayuh basikal ke Sayong Lembah, dan  ditinggalkan dirumah saudara Ghuzlan. Sebelum sampai ke Bot Sayong, kena berjalan hingga ke Pengkalan Bot , menyeberang sekali, dan berjalan melalui susur susur market, dan adakalanya terus sahaja melalui di depan balai polis Kuala Kangsar.

Hari ini, Razali telah kehilangan teman hidup, yang sama sama membina kehidupan, dan sisa sisa umur yang ada, moga Razali sedia tabah dan cekal melalui cabaran kehidupan. Setelah tamat pengajian MCE, aku telah banyak merantau di Pahang , Kedah dan Perlis, pertemuanku dengan Razali hanya sesekali, ketika aku balik seketika di hujung minggu, ataupun di hari hari lebaran. Sudah 30 tahun kisah kisah ini berlalu.

Aku tersentak dengan sms dari Latif, Rosli dan Pa MJ, namun atas kesuntukan masa, aku tidak dapat ke Kuale untuk penghormatan terakhir.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, moga dengan cobaan dan dugaan ini, dilalui dengan memohon kekuatan dari Rabbul Jalil, dan kita juga akan menyusuri tempoh dan lewat itu, mungkin esok, lusa dan itu adalah ketentuanNya.

Irama gambus, yang dimainkan oleh ayah Razali, Zakaria, sering mendendangkan petikan petikan irama padang pasir, mendendangkan untuk Razali, Zaitun , Zuraida, Zainal, Zakiah, Zamzuri, Zah, yang sama sama membesar ketika itu,

Itulah cebisan coretan lama yang dapat direkodkan, sebagai mengenang rakan lama, yang sama sama melalui arus bangun alam persekolahan.

-----Original Message-----
From: hishamudin.alli
Date: Thu, 13 Oct 2011 14:33:35

Hari kelmarin aku ke Pulau Pinang, sebagai tugas melaksanakan apa yang masih belum selesai, kaji dan mengkaji tata dan pola kehidupan pelanggan yang masih berurusan, bagaimana mereka  menjalani survival kehidupan di zaman yang mencabar dan tercabar serba serbi, sesungguhnya, kehidupan diera ini adalah memerlukan "collective bargaining " yang begitu tinggi, dan "competitive advantage" dalam melaksanakan urusan dagangan yang tersedia dengan mehnah dan dugaan sejagat.

Hanya hati hati yang tegar bakal terselamat dari ketinggiannya mehnah dan cabaran perniagaan. Terkenang semasa aku mula mula mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatanku di Felda pada mula mula aku melanjutkan pengajian di ITM secara sepenuh masa, pada sessi 1990 hingga 1992. Walaupun cuma 2 tahun, tapi banyak pengalaman dan kisah kisah kehidupan baru , dipagari rakan dan kenalan baru, ada yang baru pencen opsyen 40 tahun, ada yang menyambung dengan cuti separuh gaji, malahan ada yang tiada gaji, macam aku.

Terasa berat juga untuk melangkah ketahap itu, cuma yang ada berbekalkan duit claim damages patah kaki kiriku, yang dituntut melalui third party compensation, namun kakiku bukanlah taruhan untuk itu. Dan mengambil pinjaman JPA dan juga Felda, semuanya telahku langsaikan bayarannya, cuma dengan Felda, aku sudah terbuang dari organisasi itu. Dengan bekalan itulah aku berbekal untuk 2 tahun.

Ternyata amat sukar, laluan dan ranjaunya, namun dengan kecekalan keluarga yang ku tinggalkan sementara, banyak menyisih diri dan membina semula kerjaya pada usia 34 tahun.

------Original Message------
Sent: Oct 11, 2011 4:20 AM

Kehilangan hartabenda bisa saja menggusarkan pemikiran, dan monyok memikirkan harta dibawa pergi, dipindahkan dari A ke B , B ke C, dan berputar putar dilingkungan lingkaran setan. Berlegar legar antara yang berpunya dan berharta. Menimbunnya bagai gunung everest, yang puncaknya sentiasa bersalji, tidak susut walau di panasi matahari, tidak luntur ditimpa hujan.

Harta yang amat ternilai adalah ilmu pengetahuan, yang diajar oleh kedua orang tua, sejak dari dalam buaian, didodoi dengan irama mendidik, sambil mengucapkan tiada Rabb lain kecuali Dia, Yang Maha Esa, Tidak Diperanakkan dan Tiada Dua bagiNya.

Wang  hanyalah alat pengantara bagi kebanyakan insan, dan tidak sebagai mengumpul setinggi Everest. Namun yang berpunya dan empunya adalah suatu keperluan dalam kehidupan, ironisnya laksana pengemudi bahtera ditengah lautan luas, mencari dataran untuk disinggahi.

Kebejatan ekonomi dan melankoliknya bertali arus, meruwetkan keadaan, apakah ada jalan keluar, saban tahunnya sentiasa dalam lubang dan lowongannya, semakin mencengkam dan membimbangkan

Hanya Tuhan Yang Maha Tahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan