Laman Utama

17 Disember, 2013

[7378] Secalit Madat Sekudap Rasa XVIII

Rasa nak menulis di ruang ini dari saban hari, asyik tertangguh, tapi hari ini dikuatkan hati dan semangat dapatlah juga menukil beberapa patah ayat. Entahlah, bagaimana pengembangan idea untuk tulisan ini, kerana menulis di waktu rehat pejabat ini terlalu banyak gangguan dan hambatan. Kerja yang ditangani bukan sahaja yang telah dirancang tetapi juga banyak yang adhoc, ni yang bikin kepala pusing...

Rasanya kalau tak menulis sikit pun macam ada kurang atau yang tertinggal, hal ini yang mendorong untuk menulis.  Manuskrip novel "Cinta Irana" sudah sampai ke penghujungnya, rasanya sudah habis idea dan buah fikiran dicurahkan kepada novel yang bergenre cinta, wanita, lelaki dan poligami ini. Kini cuma di peringkat membaca pruf yang dilakukan sendiri. Jika ditanya orang, adakah novel ini akan dicetak? Jawabnya mana penulis yang tidak inginkan karyanya dicetak dan diterbitkan? Namun jika tidak diterbitkan pun tak menjadi hal kerana kepuasan menulis telah tercapai. Idea untuk menulis novel ini datang semasa menjadi penghuni Sg. Buloh, malah manuskrip asalnya lahir di sana. Begitu juga penulisan yang sedang "hidup" ini, kisah manusia yang dikurung oleh penguasa, menjalani kosa-kosa kehidupan yang mempersoalkan nilai-nilai kemanusiaan. Ringkasan idea untuk novel kedua, tajuk belum ada lagi, ilhamnya masih jauh untuk mengepalai penulisan yang lahir daripada pemerhatian sekitar dan pengalaman yang diharungi.

Minggu ini agak ceria dengan prestasi pasukan  Liverpool, menang besar di dua perlawanan tetapi malang bagi sebuah lagi pasukan yang juga disokong sejak remaja, Arsenal pula tewas di padang lawan, mungkin terkucil je tu. Yang menarik ada sahabat yang komen pasukan lain itu kalah atau menang, akan sentiasa kurang positif tetapi dia tidak pernah menyatakan pasukan mana yang menjadi pilihan cuma menyentuh pasukan lain, bak melukut di tepi gantang, hairan dan pelik juga. Biarlah dia, mungkin itu kesukaannya.

Tidak lupa juga menonton catatan harian Sukan SEA di Myanmar 2013, yang benar-benar menarik perhatian kejayaan atlet olahraga dalam acara lempar cakera, Mohd Irfan Shamsuddin. Acara ini sudah bertahun tidak dimenangi oleh atlet negara, kejayaan beliau juga memecah rekod kebangsaan malah prestasinya dalam acara itu di Myanmar pada setiap lemparan terus meningkat dari satu lemparan ke satu lemparan berikutnya, jarang berlaku prestasi seperti ini. 

Rasa peka juga timbul apabila ada sahabat yang posting di fb, yang menyentuh tentang harga barangan dan perkhidmatan yang akan naik pada tahun depan. Isu ini bukan baru dan pernah disentuh oleh penulis dalam siri SMSR. Sebagai rakyat negara ini harung je la, tiada apa yang boleh dibuat lagi, cuma berdegor-degor semasa ini dengan segala bantahan dan bangkangan serta tak puas hati akan keputusan kerajaan itu, keputusan kerajaan tak mugkin diubah. Sedangkan semasa kuasa di tangan rakyat tetapi masih tidak tahu menggunakan kuasa itu. Apa yang hendak dibisingkan lagi? Jangan lupa, kini sudah menjadi bak anjing menyalak bukit!

Tidaklah penulis menyekat hak sesiapa untuk bercakap, mengeluarkan idea atau apa saja yang menjadi hak individu, rasanya tak perlulah diperdalamkan hal ini. Cuma  kita masing-masing boleh dan perlu  memiliki pandangan dan perspektif sendiri begitu juga kecenderungan politik kita. Tidaklah juga usaha untuk mempengaruhi sesiapa dengan kejayaan atau kelemahan/keburukan mana-mana pihak. Adakah kita memiliki kesempurnaan?

Minggu lepas telah berhimpunlah pihak yang digahkan mewakili orang Melayu, memperjuangkan agama orang Melayu dan apa jua yang berkaitan orang Melayu - banyak sangat kalau disenaraikan jenuh nak menulisnya, bak kata orang, berkajang jadinya. Perwakilan bersidang dan berhujah soal politik survival, eradikasi moral dan apa jua yang Melayu centric. Hal ini semua di "highlight" oleh media tetapi penulis merasakan yang tertinggal soal survival menangani kos kehidupan yang tinggi pada hari ini dan mendatang (dilaporkan KJ akan membawanya ke mesyuarat kabinet esok). Maaf ada kala terpaksa sentuh hal sebegini kerana itulah kepekaan dalam menyoroti himpunan terbesar orang Melayu yang bersidang saban tahun. 

Apa lagi yang kita hendak katakan apabila harga segala macam telah naik, tak kiralah yang makan gaji ke, yang bekerja sendiri ke, yang bergaji besar ke yang bergaji kecil ke.. semua terkena. Ya, kita mengeluh saje, akal kita juga akan berfikir apa cara nak berbelanja dalam keadaan begini. Kita akan memikirkan  cara untuk berjimat tetapi menjadikah usaha berjimat tu. Seringnya, dalam perbelanjaan harian yang dirancang dan ada juga yang di luar jangka, nak berjimat langsung hilang. Silap-silap berhutang jadinya.

Keadaan seumpama ini mungkin tak semua merasanya kerana rezeki tak sama tetapi tanyalah pada diri masing-masing susah jerih untuk melangsungkan sisa-sia hidup diri dan keluarga dalam keadaan begini. Sejujurnya, tidaklah diinginkan berada dalam keadaan yang kian tertekan akibat kos sara hidup yang saban masa meningkat. Namun persoalannya bagaimana  kita di usia setengah abad ini  melaluinya dengan kudrat  yang tidak sekuat seperti sebelumnya? Jawapannya.....rasanya, terserah.....

Amir Md Akhir
Putrajaya
17/12/13

-- 
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan