Laman Utama

16 Februari, 2013

[7378] secalit madat sekudap rasa ix

Cuti Tahun Baru Cina bagaikan cuti Malaysia, sambutannya melata, yang berbangsa Cina dah tentu perayaannya, Melayu dan bangsa lain turut bercuti sama ada menyambut sama atau tidak, yang pasti masyarakat negara ini bercuti.Apabila bercuti bermacam rancangan dan acara diadakan, yang banyaknya majlis perkahwinan, 10 dan 11 Feb menjadi pilihan, mungkin juga di hujung minggu ini majlis seumpama itu berterusan. 
Sudah tidak ada musim kahwin lagi, sebelum ini cuti penggal persekolahan menjadi musim kahwin.
Zaman beredar musim berubah. Rasanya mungkin kita perlukan perubahan.

Selain ke majlis perkahwinan anak kemanakan di Kulim pada cuti panjang ini, penulis berkesempatan menonton filem Tiga Abdul di Astro.  Banyak kali dah menonton filem ini namun tidak menjemukan malah adegan dan dialognya bagaikan terpatri dalam minda. Banyak pengajaran dan panduan dalam filem komedi P.Ramlee ini. Kalau nak dikupas boleh dibuat satu kajian sosial dan di ruang ini bukanlah forumnya. Rasanya biarlah penonton dan penggemar filem P.Ramlee di kalangan kita mengamati yang tersurat dan tersirat.

Filem2 P.Ramlee tiada siapa yang mampu mengatakan yang negatif tentangnya.Peredaran zaman tidak meminggirkan karya2 beliau, nilai hiburannya sensasi, kritikannya merentasi zaman dan mutu lakonan yang dicemburui hingga ke hari ini. 
Namun pengalaman penulis bersama Pak Samad Ismail pada tahun 1994, beliau agak kritikal dalam menilai sumbangan P.Ramlee pada zamannya.Beliau menganggap filem2 P.Ramlee di Singapura pada masa itu hanya melalaikan, alasannya masyarakat Tanah Melayu dan Singapura sedang sibuk memperjuangkan kemerdekaan, filem2 P.Ramlee tidak bertemakan semangat kebangsaan dan mengetengahkan  "escapisme" hiburan sahaja. Kata2 ini datang dari Pak Samad sewaktu penulis dan editor majalah Dewan Budaya berkunjung ke rumahnya untuk mengambil artikel untuk kolum bulanannya  di majalah tersebut. Tidaklah penulis dan rakan editor mempertikaikannya kerana siapalah kami jika dibandingkan dengan Pak Samad. Kami cuma ingin menelusuri pengalamannya sebagai wartawan tersohor dan seorang politikus berhaluan kiri.

Jika diamati antara filem2 P.Ramlee yang meninggalkan impak kepada kita angka 3 akan terserlah. Contohnya, Tiga Abdul, Madu Tiga, Siri Bujang Lapok dan Do Re Mi yang melibatkan tiga watak dan nama tempat seperti Kpg Tualang Tiga dalam filem Sumpah Orang Minyak. Mungkin secara kebetulan tetapi bagi seorang yang berkarya apa jua terhasil daripada daya kreatifnya harus ada sebab dan tujuan. Rasanya tersohornya karya P.Ramlee bukan terletak pada angka atau huruf tetapi persembahan karya yang "natural" dan santai.

Tetapi kenapa tiga bukan empat? Rasanya tiga itu lebih daripada dua dan kurang daripada empat, itu yang cocoknya. Mungkin juga jawapannya ada pada yang dua.....

Amir Md Akhir
15/2/2013
KLIA

-- 
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan