Laman Utama

09 Julai, 2013

[7378] secalit madat sekudap rasa xiii


Rasanya tidak terlambat untuk mengucapkan rasa maaf dan ampun kerana tidak hadir pada mesyuarat KOSEC yang lalu (6/7/13). Apa jua alasan boleh diberi tetapi nilai alasan itu tiada piawaiannya, tetapi boleh diulas dan juga dipersenda. Biarlah, kalau tidak, tiada ragamnya. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri. Mohon maaf ini ditujukan kepada para sahabat yang hadir pada AGM KOSEC 2013. Mungkin juga ketiadaan hanya seorang yang  kecil ini tidak menjejaskan acara tetapi maaf jika seorang itu ditambah dengan angka yang lain boleh menggugat perjalanan mesyuarat itu. Untuk ini dipohon maaf daripada sahabat-sahabat yang tidak hadir.

Komitmen ALK dan ahli yang lain untuk menghadirinya amat dihargai, bukan tidak teringin untuk turut bersama pada hari itu tetapi kekangan dan kelemahan diri membatasi niat untuk bersama para sahabat. Apa lagi wujud prioriti. Maaf sekali lagi.

Rasa ingin tahu juga menebal tentang perjalanan mesyuarat agung KOSEC pada hari itu, untuk memperoleh maklumat tidak diketahui untuk dirujuk kepada siapa. Mungkin juga itulah balasan kerana "memonteng".  "Berdiri sudah tak tegak, duduk pun senget punggung " begitulah rasa apabila mengecewakan orang. 

Wawasan KOSEC tidak dipertikaikan kemurniannya, asasnya telah terpatri dua tahun yang lalu, mudah kata, semuanya baik-baik belaka, tiada cacat cela dan hanya sokongan dan kerjasama ahli yang mendukung kejayaannya. Namun begitu rasa segan juga muncul, masakan tidak, cuma untuk memunculkan diri di pagi Sabtu itu pun tidak mampu, apa lagi acara itu di sekolah, sebab itu dirasakan seperti ponteng daripada masuk kelas.

Ya, 36 tahun dulu ponteng kelas ini memang biasa dan tak segan pun, masih ingat lagi semasa 4A1, ponteng punya hal kena rotan bersama rakan sekongkol (ada empat orang yang lain) oleh Mr.Chu (dia mengajar sains dan ganti Mrs. Low yang cuti bersalin sebagai class teacher). Akibatnya, ketua kelas ditugaskan ambil class attendance pagi dan sebelum balik. Ketua kelas itu sampai sekarang pun dia ketua juga. Ponteng baru beberapa kali pun kantoi, itu yang bengang tapi tak serik. Semasa 5A2 ada seorang yang ponteng berbulan-bulan pun tak kantoi, memang dia hebat, hari ini dia pun masih hebat orangnya. 

Maaf kerana  mengungkit cerita lama, mungkin ada yang tersentuh hati dan telinga tidak tebal lagi, tiada niat seumpama itu cuma cerita-cerita lama inilah yang mencetuskan senyuman dan ketawa beramai-ramai atau sendiri. Rasanya menjenguk dan mengimbau kisah silam inilah menjadi pengubat hati dan menimbulkan "kalau" di kalangan kita. Betul dan salah kita di usia yang berlalu telah menjadi teladan dan  mencorak perjalanan kita yang mendatang.

Selamat menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan al-Mubarak.

Amir Md Akhir
Putrajaya
9 Julai 2013


-- 
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan