Laman Utama

17 Julai, 2013

[7378] secalit madat sekudap rasa xiv

Daging dan ayam teramat tinggi permintaannya pada bulan ini dan tidak akan turun sehingga awal Syawal. Akibatnya, harga kedua-dua hasil ternakan ini naik melambung, (harga barang lain pun naik juga tetapi kesannya tidak separah daging dan ayam). Tahun-tahun beginilah senarionya, semacam suatu fenomena yang dicipta, ada pihak seolah-olah berusaha untuk meraih untung besar dalam tempoh yang sepatutnya beramal dan bersedekah didahulukan. 

Kisah daging dan ayam ini sememangnya menarik minat ramai orang, apa lagi tentang harganya walaupun baru-baru ini ada sahabat yang bertanyakan tentang  daging peha segar boleh dimasak apa? Reaksinya, pelbagai dan mengundang genta minda tetapi rasanya ketika ini yang lebih "sedap" adalah berapa harganya? Harga menjadi penentu, kemampuan kita untuk memperoleh daging segar atau daging beku import terletak pada harga. Ada sahabat hanya memilih daging segar kerana itu pilihannya dan berkemampuan. Daging segar tempatan sekarang RM25.00 sekilo dan mungkin naik lagi menjelang Syawal, fikirkanlah berapa kerat daripada kita yang masih mampu untuk membelinya? Daging import beku cuma RM13.00 sekilo makanya yang mana pilihan ramai? Mungkin juga kualiti boleh menjadi penentu dan pilihan. Nak masak daging pun kena beli bahan-bahan lain juga, tak maunya makan daging rebus.Belanja nak makan daging dah tak murah lagi. 

Dalam bercakap tentang harga daging, harga ayam juga menjadi isu hangat. Beberapa hari lalu media massa negara memaparkan tentang harga ayam yang dijual di pasar di pelosok negara tinggi harganya. "Harga siling" sudah dilanggar.Siapa yang menentukan harga ayam ini? Namun begitu masyarakat kita  masih tetap setia membeli ayam, alasannya disukai keluarga dan murah jika dibandingkan dengan lauk lain. Betul juga tu, harga ikan sekilo pun tinggi, contohnya, ikan kembong sekilo RM17.00 itu belum harga ikan jenis lain. Anak-anak juga tak suka makan ikan, ayam menjadi pilihan. Antara daging merah dan putih, daging putih digemari ramai.

Isu harga ayam yang tinggi masih buntu, untuk "meraba" jalan keluar, Pak Menteri yang jaga hal ehwal harga, mensarankan kepada rakyat, "jangan makan ayam", macam boikot le tu. Bagi beliau banyak lauk lain lagi atau jadilah pemakan sayur sahaja. Pak Menteri dengan "idea nilaian jutaan ringgit", makanya tak terbelilah rakyat akan ideanya itu. Rasanya lidah Pak Menteri itu belum cukup rasa, ya lah, beliau itu baru dilantik. 

Isu harga ini sebenarnya merentasi semua barang dan perkara. Negara ini yang berusaha mencapai negara maju yang tinggal beberapa tahun lagi pada 2020 harus membayar semahal ini. Sebut saja apa barang yang tak naik harga? Barang terpakai pun naik harga, semua dah naik. Jika ditanya kepada pakar ekonomi itulah perkembangan  ekonomi, mana mungkin harga sedekad maupun setahun yang lalu masih tidak berubah. Betul, tetapi persoalannya adakah harga yang dikenakan itu benar-benar harga yang sepatutnya selepas dikira kos dan nilai untungnya berpada atau sengaja inginkan untung berlipat ganda? Mungkin juga pedagang yang licik memanipulasi harga. 

Negara ini sebenarnya sudah ada undang-undang yang mengawal keadaan begini, undang-undang Anti-Profiteering telah berkuatkuasa sejak 1 April 2011. Undang-undang yang mengawal harga barangan ini seolah-olah tidak berkesan. Penulis pernah diberitahu oleh rakan (unit GST) daripada jabatan yang sama, (beliau sering dijemput berceramah tentang GST atas jemputan KPDNKK ) yang kementerian  seperti lepas tangan dalam kes anti profiteering kerana takut kalah di mahkamah, atas alasan itu kes sebegini dipinggirkan. Aduh.... apa gunanya undang-undang yang dikuatkuasakan itu?

Rasanya soal harga ini penting dan jangan diremehkan. Masa kini, harga barangan adalah penentu kos dan cara hidup kita. Rasa puas memang tiada ukuran yang zahir, bergantung pada rasa masing-masing. Mungkin secalit dan sekudap sudah memadai.


Amir Md Akhir
Putrajaya
17 Julai 2013





 

-- 
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan