Laman Utama

09 September, 2010

Yeee!!!! Yeeeeee!!!! Hari Raye dah dekat!

Sent: Mon, 30 August, 2010 7:31:07

Salam Ramadhan yang mulia

    Kita sudah berpuasa 20 hari. Insyaallah lagi 10 hari hadirlah Syawal yang dinanti. Bahangnya semakin terasa, bahang raya melanda tidak kira tua atau muda. Yang kecil seronok untuk balik kampung bertemu datuk dan nenek, berjumpa saudara-mara. Yang tua dan sebaya pula seronoknya sebab puasa dah nak habis. sakit gastrik yang melanda rasa semakin reda.
    Kita lihat fenomena bulan puasa, semakin hampir raya, semakin manusia, kita juga lupa di masjid dan surau ada sembahyang terawih. Benarlah, kita bukan tidak berjemaah terawih. 10 malam pertama, kita ada di masjid dan surau, mengimarahkan rumah Allah SWT, 10 malam kedua, kita redakan suasana dengan ke masjid sekali-sekala. 10 malam ketiga, kita kembali berjemaah, ....tetapi bukan di masjid atau surau, kita lebih rajin hingga berbuka puasa dan berjemaah pun kita cari tempat selesa.......di Pusat Membeli-Belah. Adillah kita pada diri
     Tetapi semakin hampir raya, semakin sesak di dada, bukan sebab kampung mana dahulu. itu sudah aku paparkan dalam nukilan yang lalu. Sakit dada memikir poket yang akan kering. Isteri sudah beritau berapa jumlah perlu dikeluarkan untuk kueh raya "tunjuk"
    Dengan kehadiran fajar Syawal nanti akan berkumandanglah lagu-lagu raya nyanyian P. Ramlee, saloma, ahmad jais, sudirman, D.J. Dave dan banyak lagi yang seangkatan dengannya. Lagu ini pasti mengusik kenangan kita. Terpapar kembali keindahan kampung kita. Kuale semakin dekat di hati. Sek. Clifford bermain di mata. Kita mencari sesuatu yang "lama" untuk menyegarkan ingatan kita kepada sahabat sekolah yang masih tidak muncul, walau berapa kali dijemput, dicari, tetap dan terus mereka bersembunyi.
    Mungkin ini berlaku kerana kerinduan kita pada masa silam, suatu ketika di mana kehidupan kita adalah lebih mudah dan tidak memeningkan kepala. Tidak perlu fikir minyak petrol yang terus naik dan naik kerana kita berbasikal ke sekolah dan kalau beli minyak pun sekadar "minyak tanah" pada malam 27 puasa untuk pasang panjut. Tidak ledakan ekonomi, kalau meledakpun hanya mercun yang kita baling pada malam 27 puasa. Tiada kesesakan jalanraya untuk ke tempat kerja, kalau sesakpun hanya Kota Lama Kiri pada malam 27 puasa.
    Kita rindukan zaman di mana kita boleh pergi dari rumah ke rumah mengutip duit raya. atau menonton wayang pada raya kedua di mana panggong Rex, Cathay mahupun Kapitol sesak. Tak dapat raya kedua, pagi raya ketiga, kita dah tunggu untuk "advance booking". Tiket 65 sen atau 1.00 sahaja.
    Tidak salah kita menjenguk memori sekali-sekala terutama pabila Hari Raya tiba. Ia akan mengingatkan kita di mana kita pernah berada dan arah mana yang perlu kita tuju selepas ini.

dalam dingin subuh
hatiku terusik
kenang nasib diri di rantauan
bergema takbir raya
mengalir airmata
terkenang permai desa

rindu hati ini
inginku kembali
pada ayah bonda dan keluarga

Salam Kerinduan
Yasin Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan