Laman Utama

14 Disember, 2011

Kisah Jambatan dan Curut II (Meracik di Laut Memancing di Hutan)

Sent: Sunday, 6 November 2011, 15:12

 Pada yang " Ke laut meracik ikan, tersenyum siput. Ke hutan memancing punai, tersenyum badak."

Tiap-tiap perbuatan itu tertentu sesuatu baginya, jika dilakukan warga desa dikenali sebagai warga yang gagah jiwanya, hendak menjadikan pada yang bukan-bukan kerana tiada perhatian, nescaya menjadi sia-sia dan ditertawakan oleh sekalian orang, bukannya orang-orang tua sahaja, hingga budak-budak pun tertawa juga.

Arakian, tersebutlah kisah seorang kepala desa. Harapan dan impiannya setinggi angkasa, hendak menjadikan desanya terkenal di seluruh pelosok negara, hendak menjadikan diri sendiri sebagai pemimpin berwawasan. Maka bermesyuaratlah si kepala desa dengan ahli jemaah desa, bercadang membina jambatan yang menghubungkan desanya dengan desa seberang. Tujuannya utuk memudahkan perhubungan yang selama ini dijalankan oleh sungai nan sebatang. Pada awalnya ahli jemaah desa tidak bersetuju dengan cadangannya, namun setelah beria-ia berkehendakkan impiannya itu menjadi nyata, maka bersetujulah seluruh ahli jemaah desa dengan kehendak si kepala desa yang tidak kenal apa maksud "berkira-kira." 

"Kita mesti menunjukkan kehebatan kita. Kita mesti menjadi pemula. Kita mesti bijak berniaga.' Sememangnya desa itu desa yang kaya. Hasil mahsulnya tidak terkira. Berdagang berniaga menjadi pekerjaan utama setiap warga. Menjual apa sahaja yang memungkinkan mereka menjadi kaya.

Setelah berbulan-bulan lamanya, maka siaplah jambatan yang diidamkan oleh si kepala desa. Dan maka dirasmikanlah jambatan itu oleh seorang pembesar negara. "Mulai hari ini saudara sekalian tidak perlu lagi menggunakan perahu untuk berniaga. Jambatan ini akan menjadi penghubung untuk warga desa berniaga. Sungai sudah menjadi laluan yang ketinggalan masa,"ucap pembesar negara.

Si kepala desa tersenyum megah sambil menghisap curut yang dibawa orang dari tanah seberang, curut yang bukan murah harganya telah juga diberikan sebungkus kepada pembesar negara semasa ketibaannya tadi, Pembesar negara gembira bukan kepalang atas pemberian itu, sememangnya dia juga penghisap curut yang tegar, apa lagi curut asing. Keenakan yang tiada tandingnya cuma air minumnya, air kopi tidak selazat yang diidamkan. Maunya air ketum tapi masa sudah suntuk untuk menyediakan, mungkin di lain kesempatan rezekinya ada. Bagi kepala desa niatnya tercapai sudah dan di sudut hatinya yang paling dalam dia mengharapkan namanya kian gah.

Hari demi hari berlangsung tanpa apa-apa perubahan. Warga desa masih lagi menggunakan perahu untuk berniaga. Si kepala desa menjadi sugul, mengenangkan jambatan yang hanya bagai tunggul.

Maka tibalah pada suatu majlis keramaian desa. Selruh warga desa datang  menghadirinya. Kecil besar, tua muda. Warga desa seberang sungai dijemput sama. "Saya berasa dukacita kerana jambatan yang dibina dengan tenaga dan belanja yang begitu besar tidak digunakan oleh warga desa dengan wajar," kata si kepala desa dalam ucapannya.

Tiba-tiba bangunlah seorang kanak-kanak yang mendekati usia belia, menyampuk kata-kata si kepala desa, "Tuan , jambatan itu hanya lambang kemegahan yang tiada gunanya. Warga desa lebih senang menggunakan sungai nan sebatang untuk berdagang. Sungai yang panjang itu memanjangkan lagi rezeki kita, sejak dahulu urusan perniagaan dengan desa seberang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada kita. Sejak lama kuasa beli warga desa di sana tidak menguntungkan kita. Kita mendapat lebih banyak untung daripada desa-desa lain di sepanjang sungai nan sebatang itu. Jadi apa maknanya jambatan itu kalau warga desa kita lebih senang berperahu?"

Seisi desa bertepuk tangan bersorak riang, ketawa panjang. Si kepala desa bergegas pulang, mencari -cari cermin yang sudah lama dibuang. Maka dinyanyikan orang dari hari ke hari:

                                                   ikan biar dapat
                                                   serampang jangan pukah.........

Amir Md Akhir
Nov. 2011


Tiada ulasan:

Catat Ulasan