Laman Utama

29 Julai, 2012

Re: [7378] Kuala Kangsar Dalam Ingatan

Telah sebati dalam ingatan, zaman kanak kanak, aku dibesarkan dengan nenda dan dibantu ibu saudara dan yang selalu aku bermanja dan meluahkan perasaan, kepada anak angkat nenda, Fatimah, beliaulah yang banyak mengasuh dan menaja keperluan, sebelum aku ke sekolah, ambil semula, Fatimah, yang kupanggil emak sejak kecil, tetapi bila sudah belasan tahun, ditukar kepada Che Mah,  di changkat, selepas menoreh  getah di kebun kepunyaan abang Mat, suami kakak sepupu,Raba'adawiyah.

Musim padi, dengan meleraikan padi dengan menghempuk gengaman batang padi ke "tong padi" dengan dihadang guni sekelilingnya. Dan dihujung hujung minggu, mengutip buah kopi di lembah, kampong tepian sungai perak. Dan satu lagi aktiviti menanam pokok pisang di kebun kakak sepupu, Jawariah.

Dengan hasilan inilah yang banyak menyara keperluan kendiri dan perbelanjaan. Semasa sekolah rendah, apabila musim hari raya, bapaku memperuntukkan 15 ringgit untuk baju baru. Ketika itu, yang boleh dibeli, saddle king seluar pendek, dan baju kemeja, seluar panjang harganya lebih mahal sedikit.

Apabila lebih dewasa sedikit, sekolah menengah, hasilan perkebunan inilah yang banyak merungkaikan permasalahan wang saku, keperluan, pabila musim perayaan, dilangkahi kaki ke Hugh Low St. Di Ipoh, Lendo, memileh jeans, yang menjadi keinginan orang muda, Jax, Amco, Levis, Lee, Texwood.

Tapi setelah dimakan usia, pembelian baju anak anak, tidak lagi aku beli di bulan puasa, selalunya pada bulan Disember, dimana jualan sebenarnya diadakan, melangsaikan stok stok lama, dengan harga yang mampu milek.


------Original Message------
To: Cliffordian Mail
Subject: Re: Kuala Kangsar Dalam Ingatan
Sent: Jul 29, 2012 10:07 AM

Meniti dari satu tangga ke tangga yang lebih tinggi , memerlukan latihan demi latihan, agar ianya tidak pernah tercungap ditengah tengah destinasi. Apa sahaja alat yang membolehkan sampai ke mercu tanda memerlukan asuhan bersungguh sungguh.

Alah bisa tegal biasa, perumpamaan klasik, memotivasikan responden agar membiasakan diri dengan perlaksanaan kerja yang sukar, lama kelamaan, ianya adalah rutin bagi tiap tiap insan. Melentur aur biar dari rebungnya lagi, itulah perumpamaan dan kiasan kiasan klasik yang pernah kita dengar, sama ada dari nenda mahupun ayah dan ibu, bagi yang masih punyainya.

Keindahan suasana klasik ini, meruntun hati dan perasaan, lebih lebih lagi disuasana hening Ramadhan, kita dianjurkan berdoa memohon keampunan kedua orang tua yang telah pergi, hanya doa anak soleh bisa sampai kepada kedua dua yang telah pergi.




------Original Message------
To: Cliffordian Mail
Subject: Re: Kuala Kangsar Dalam Ingatan
Sent: Jul 28, 2012 7:36 PM

Suasana belasan tahun, merupakan tahun cabaran, dengan adanya 3 peperiksaan, Darjah 5 sekali, terlepas dengan penilaian ini, Tingkatan 3, LCE, ditentukan di aliran  sastera di Tingkatan 4, dan MCE di Tingkatan 5. Akibat banyak yang perlu dihafal, dibaca, yang perlu dilatih dengan latihan khusus, seperti matematik, difahamkan cara hafalan, begitu juga matapelajaran sains, difahamkan menerusi sistem hafal, bukan dari sudut kefahaman sepatutnya, habis hafal, terlanggar batu dijalan, kepala ingat, ekor lupa.

Itulah cara di latih, asuhannya tidak pernah didedahkan, bagaimana kamu harus belajar. 

Percubaan meraih gelar, terhenti seketika, disambung dengan menempuh jalan sukar, begitulah kisah "late starter, better late than never", dah payah nak berhenti, apabila digali dan terus digali, hingga mati.


------Original Message------
To: Cliffordian Mail
Subject: Re: Kuala Kangsar Dalam Ingatan
Sent: Jul 28, 2012 11:13 AM

Seingatan pada masa Marhum Sultan Idris, sempena ulangtahunnya, maka diadakanlah keramaian, 44 hari siang malam, diadakan keramaian disekeliling istana, kasino bergerak, joget, wayang kulit dan serba serbi macam pasar sehari.

Yang ditunggu hingga 44 hari siang malam pun ada, jika nak dicari mana menghilang, carilah di kasino bergerak ini. 

Untuk menyusur ke tempat ini, aku dan geng geng sekolah, dan kampong , menyeberang melalui Sayong Tengah, basikal ditempatkan dirumah Ensar, dan menuju lembah ditebing sungai, menyeberang dengan sampan yang boleh memuatkan 10 orang se trip. Tambang sekupang seorang. Pergi selepas maghrib, dan selalunya waktu jam berhimpun baru beredar dari situ.


------Original Message------
To: Cliffordian Mail
Subject: Re: Kuala Kangsar Dalam Ingatan
Sent: Jul 26, 2012 12:42 PM

Seorang lagi, rakan yang telah pergi, arwah Sazali Nordin, ku ingati wajahnya semasa sama sama meninggalkan bangku sekolah, perkhabaran mengenai kepemergiannya dimaklumkan oleh Aziz yang menetap di Melaka, lantaran ketika itu, aku berada di Kuala Lumpur, keesokannya aku, Seni dan Aziz, menziarahi rumah arwah di USJ, itulah detiknya, sejarah menjejak rakan rakan sepersekolahan, diaturkan pertemuan demi pertemuan, sehinggalah ke hari ini, menerusi media gogglegroup, menyapa dan disapa, gurau senda, pemberitahuan, perkongsian maklumat, dan serba serbi perkongsian, ada disitu.



------Original Message------
To: Cliffordian Mail
Subject: Re: Kuala Kangsar Dalam Ingatan
Sent: Jul 26, 2012 12:24 PM

Sesekali, pulang dihujung minggu, semasa bekerja di Kedah Selatan, Karangan, Kedah, semasa arwah Aznam sedang sakit dilututnya, berkesempatan beberapa kali menziarahi beliau semasa hayatnya. Lututnya menampakkan tempurung, pada tahap tahap akhir menahan derita sakit.

Kepiluan itu, aku masih teringat raut raut wajahnya menahan kesakitan. Arwah dengan prinsipnya. Walaupun ketika itu, disarankan agar kakinya yang kanser itu, dipotong sepertimana saran doktor.

Namun pemergiannya diawal usia, hanya tinggal kenangan semasa tempoh perkenalan dengannya semasa di Sekolah Menengah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan