Laman Utama

19 April, 2013

[7378] secalit madat sekudap rasa xiii

"Masihkah kau ingat" lagu nyanyian kumpulan Kopratasa yang ikonik itu membawa nostalgia kepada sesiapa pun sama seperti judulnya. Siapa pun gemar mengenang yang lama sama ada yang pahit atau manis, tanyalah hati sendiri. Jangan dikata mengimbau masa lampau itu membuang masa dan seolah-olah mengambil jalan berundur. Apa yang telah berlalu itu adalah landasan ke depan. Ada kala keberadaan kita di masa kini adalah pencorakan di masa lalu.

Beberapa hari lagi tanggungjawab yang hanya datang setiap lima tahun akan dilaksanakan - mengundi di pilihanraya umum. Pilihanraya umum negara ini harus ditekankan kerana mengundi semasa student pun pilihanraya juga. Seingat penulis pernah mengundi semasa student di ITM dulu, calon yang diundi semasa itu kini masih akan diundi orang. Pada senarai calon yang dikeluarkan baru-baru ini beliau akan bertanding di salah sebuah negeri di utara. Beliau adalah penyandang kerusi yang ditandingkan itu - kerusi parlimen.

Pilihanraya tahun ini adalah kali kelapan penulis akan mengundi, tugas yang mudah untuk dilakukan sempena pilihanraya umum ke-13 ini. Tidak  terlibat dengan mana-mana pihak untuk berkempen, sebagai anggota kerajaan, akur kepada government of the day. Mengundi pun tidak berpindah ke kawasan tempat tinggal kini, masih di Parlimen Padang Rengas dan DUN Lubok Merbau, tiada halangan untuk balik mengundi. Pernah balik mengundi pada pilihanraya umum kelapan (1990) semasa menetap di Brunei. Rasanya itulah tanggungjawab sebagai seorang rakyat di negara demokrasi ini. Hak yang dilaksanakan setiap lima tahun. 

Mengimbau kembali, penulis pernah terlibat sebagai penganalisis semasa pilihanraya umum ke-9 (1995). Sewaktu bertugas di DBP, diarah oleh Editor Dewan Masyarakat untuk membuat analisis pilihanraya di tiga buah negeri i.e. Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Pada tahun itu suasana agak panas di Pulau Pinang, apa lagi dengan ungkapan Robocop disergahkan kepada bakal pengundi (tak perlu dicatakan siapa yang mengeluarkan ungkapan itu).  Di Kedah, perjuangan parti Islam juga bagaikan memuncak kerana semasa itu dipimpin oleh Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Namun yang jelas isu-isu semasa pada tahun itu tidak sehangat dan serancak hari ini. Pengalaman penulis hampir dua minggu di utara tanah air benar-benar melihat keadaan sebenar kempen pilihanraya dijalankan - ada baik ada buruk, tak perlu diulas di sini sebab penulis berpegang pada tidak partisan. Keputusan PRU ke-8 itu adalah antara keputusan paling cemerlang parti memerintah, malah tokoh utamanya disanjung tinggi atas peranannya bulldozing parti lawan untuk terus memerintah negara ini tetapi kini dihina. Begitulah dunia politik. 

Tiadalah ingin mengulas senario terkini kerana tulisan dan ulasan tentang PRU 13 ini kerana semua boleh mengikutinya di akhbar utama, di portal berita online dan macam-macam media lain. Mengikuti ceramah politik juga tidak susah, lihat saja jadual ceramah di website dan poster yang dipasang di merata tempat cuma sama ada punya waktu atau tidak saja untuk mengikutinya di waktu malam. Kita disogokkan dengan pelbagai maklumat dan berita, kita hanya perlu menilainya dengan perspektif sendiri, itu yang terbaik, kerana sebagai pengundi kewajaran untuk kita mengundi calon yang kita pilih hendaklah terletak di tangan sendiri. Pengalaman tujuh kali mengundi dengan suasana pilihanraya yang berbeza mengajar penulis untuk mengundi dengan conscience (suara hati) sendiri. Bukanlah suatu yang kontradiksi dengan kenyataan awal penulis tadi yang mengatakan 'mudah' untuk mengundi tetapi  terserah pada masing-masing.

Seperti tahun-tahun sudah, penulis telah menetapkan rasa untuk memangkah  di ruang mana selepas pencalonan rasmi dibuat. Pencalonan rasmi PRU 13 akan diadakan esok, tunggulah untuk hari mengundi pada 5 Mei 2013. Angka 13 yang sinonim dengan tahun ini.


Amir Md Akhir

Putrajaya


-- 
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan