Laman Utama

12 Mac, 2013

Re: [7378] secalit madat sekudap rasa xi

http://www.youtube.com/watch?v=HOihvlwTKF0&sns=em





Hang Nadim <aiznin@gmail.com> wrote:


Itulah perjuangan perwira negara. 
Yang paling sakit hati dan telinga apabila manusia berkata "ha, baru lah mereka kerja kalau tidak makan gaji buta". Rasa nak di tumbuk saja mereka. 

Kami dahulu berjaga malam mengawal sempadan perairan dan ruang angkasa 24 jam. Menjamin daulat negara di cap makan gaji buta dan goyang kaki di kem base dan air strips. 

Pengorbanan belum selesai. 


SA Sulaiman

On 12/03/2013, at 12:05, AMIR MD AKHIR <amiraidil@gmail.com> wrote:

Filem Sarjan Hasan (1958), filem perang Melayu yang teragung, tiada filem Melayu dalam genre yang sama sehebat filem P.Ramlee itu. Banyak sebab filem itu disanjung ramai, antaranya ia filem "P.Ramlee", rasanya faktor dan jenama itu sudah mencukupi segalanya kepada peminat dan pengikut filem. Namun suatu yang paling dekat dengan orang Melayu adalah unsur sejarahnya - pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada awal 1940an. Banyak cerita yang kita dengar daripada tok, pah, ayah,mak dan saudara mara tentang kehidupan azab mereka di zaman Jepun itu. Hal ini jelas digambarkan dalam filem tersebut. Kita bagaikan kembali ke penghidupan yang dilalui oleh watak-watak utama filem, terkesannya kita akan sesebuah filem itu apabila kita seolah-olah bersama dengan filem itu, kita boleh merasa dan menjiwai kisah yang kita tonton. Namun tidak semua filem mampu bersifat sedemikian.

Kini kita bagaikan menghadapi peperangan meski tidak sebesar perang dunia dan insurgensi pengganas komunis sejak darurat, namun pemberitaan daripada media massa tentang pencerobohan di Lahad Datu menjadi sensasi. Negara lebih kritikal semasa insurgensi komunis pada  akhir 50an sama ada di Semenanjung atau di Sarawak. Bukanlah bertujuan untuk membuat perbandingan kerana keseriusan ancaman terhadap  keselamatan negara tetap sama. Namun bagi penulis amat dekat dengan insurgensi komunis di Sarawak kerana pernah menetap di sana dari tahun 1972 hingga 1974, arwah ayah penulis diposting di sana selama 3 tahun. Pada masa itu insurgensi komunis di Sarawak berada di tahap kritikal, korban jiwa di kalangan rakyat dan pasukan keselamatan agak tinggi dan membimbangkan. Penulis dan keluarga berangkat ke Kuching pada Disember 1971 dengan kapal M.V. Kota Ratu (kapal dagang yang diubah suai untuk membawa penumpang, disewa oleh ATM untuk pengangkutan tentera dan keluarga) dari Port Swettenham, perjalanan laut selama 3 hari 3 malam ke Pelabuhan Pending, Kuching. Keluarga tentera dan anggota yang mabuk laut sekiranya tinggal di kabin yang berada di perut kapal boleh berpindah ke pangkin di atas dek, untuk mengelak panas dan hujan maka dipasang khemah, begitulah keadaan kami selama 3 hari 3 malam. Di atas dek kami menikmati suasana yang lebih segar, tiupan angin Selat Melaka dan Laut China Selatan bagaikan pelayaran percutian hinggakan penulis (berusia 11 tahun) bercita-cita ingin menjadi pelayar. Tetapi "mood" ini tidak kekal lama, selepas mendapat khabar dari Kuching.

Sebelum berlabuh dan semasa menunggu di kuala Sungai Sarawak, kapal hanya dapat berlabuh di pelabuhan apabila air sungai pasang. Penghuni sementara M.V. Kota Ratu  mendapat khabar sedih, bagi penulis macam-macam rasa, sukar untuk dijelaskan, bayangkan saja lah. Berita tentang 3 anggota daripada batalion (company berbeza) arwah ayah penulis telah terbunuh dalam pertempuran dengan pengganas komunis. Mereka yang terbunuh itu memang dikenali oleh arwah ayah penulis. Company mereka telah lebih awal tiba bersama keluarga sebulan sebelum itu. Bayangkanlah apa perasaan kami yang masih belum menjejak kaki di bumi Sarawak pada masa itu. Hilang keceriaan. Kebetulan pegawai agama (ustaz) mengikuti pelayaran yang sama, pada malam itu juga dibuat tahlil di atas dek kapal. Arwah emak penulis juga pernah berkata dalam nada yang penuh kebimbangan kepada arwah ayah,  "macam tak selamat tinggei  di Sarawak ni". Setahun selepas itu penulis dapat merasakan pengertian kata-kata arwah emak itu.

"Amir, ayah aku dah mati kena tembak komunis, emak aku dan aku adik beradik balik Semenanjung", inilah ungkapan yang masih di ingatan penulis, kawan  yang lebih setahun tua daripada penulis memberitahu hal yang dihadapinya dengan airmata mengalir di pipinya. Penulis kenal sangat arwah ayahnya, kami tinggal di kuarters yang sama cuma bersekolah menengah yang berbeza. Pada tahun 1973 setelah hampir dua tahun di Sarawak, balik ke Semenanjung adalah sesuatu yang diinginkan oleh keluarga askar di Kem Semenggo. Seronok sangat balik ke Semenanjung tu, tetapi kawan penulis tidak merasainya seperti itu lagi. Penulis terputus hubungan dengan kawan itu, cuma yang penulis masih ingat keluarganya berasal dari Kuala Pilah.

Penulis yang sebelum ini tidak pernah merasa apa-apa tentang keselamatan arwah ayah mula bimbang, apa lagi arwah ayah berkhidmat di Unit Risik 9 RAMD. Penulis beberapa kali melihat pistol Browning dan sebiji bom tangan dibawa balik ke rumah, pernah terdengar arwah emak bertanya kenapa perlu bawa balik senjata itu, alasan arwah ayah kerana dia boleh dipanggil bila-bila masa untuk melakukan tugas risikan dan itulah senjatanya. Keselamatan penulis dan keluarga yang tinggal di kuarters itu memang terjamin dengan pos kawalan di setiap penjuru untuk memasukki kuarters. Namun kebimbangan dirasai ke atas keselamatan arwah ayah. Mengikut cerita arwah ayah bertempur dengan pengganas komunis ini bukan asing baginya kerana pernah menghadapinya semasa operasi pada tahun 1959 (Darurat) di hutan Triang, Pahang . Ikut ceritanya lagi dalam pertempuran itu arwah ayah berjaya menembak seorang pengganas komunis. Penulis cuba mengesahkan cerita itu daripada arwah emak tetapi dijawab jangan diungkit cerita itu, penulis pada masa itu ingin juga menjadi anak perwira negara. Harus juga diingat penghargaan kepada perwira negara di era itu tidak semeriah hari ini. Malah bukan itu saja seingat penulis apabila arwah ayah kawan penulis yang terkorban pada tahun 1973 itu tiada setinggi mana penghargaan diberi, ada pingat yang diberi cuma setakat itu saja, tidak seperti hari ini. Mungkin juga peredaran masa dan keadaan negara tak sama pada masa itu dan sekarang, cuma PMnya daripada keluarga yang sama.

Rasanya negara ini masih aman dan makmur, semoga yang berlaku terkini di Lahad Datu dapat diselesaikan dengan segera agar tidak menjadi kudis dan nanah yang mencuraikan isi dan kulit. Tanggungjawab kita masih tergantung........


Amir Md Akhir

12 Mac 2013


--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.
To unsubscribe from this group and stop receiving emails from it, send an email to cliffordian7378+unsubscribe@googlegroups.com.
For more options, visit https://groups.google.com/groups/opt_out.
 
 

--
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "Budak Kelipod" group.
To unsubscribe from this group and stop receiving emails from it, send an email to cliffordian7378+unsubscribe@googlegroups.com.
For more options, visit https://groups.google.com/groups/opt_out.
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan