Laman Utama

18 November, 2012

[7378] secalit madat sekudap rasa I

Salam, para sahabat,

Minggu yang menggugah kepuasan, tugasan yang diamanahkan telah siap cuma penerimaan pembacanya tidak diketahui rasanya. Usai edisi ini mengorak yang edisi baru, bahan-bahan akan lebih teratur dan pelbagai  tidak seperti sebelumnya.... rasanya begitulah.

Sebak dada apabila melihat  foto sahabat yang terlantar di hospital, titis airmata mengalir perlahan, yang dialami oleh sahabat tidak jauhnya daripada yang dialami penulis. Apa lagi keluarganya juga penuh rasa kegusaran dan ketabahan untuk melalui saat-saat begini, cuma doa sahaja yang mampu diikhtiarkan bagi yang ramai. Di hati kecil moga sahabat sembuh. 

Namun segala ketentuan hidup ini ditetapkan oleh yang maha pencipta, Allah swt. Khabar diterima melalui grup mail ini, sahabat yang empunya nama Muhamad Razali Bin Zakaria telah kembali ke rahmatullah. Menitis air mata, bukan suatu yang asing apabila menghadapi keadaan sebegini, pemergian arwah Affendi dan Razif (Ben) tidak jauh beza rasanya, rasa hiba dan sedih memenuhi dada. Al Fatihah dan surah Yasin dibaca untuk disedekah kepada roh arwah. Keberadaan sahabat 73/78 di ruang hidup ini terpatri kukuh, ketiadaan sahabat untuk selama-lamanya tetap mengguris rasa....sebak rasanya......

Rasa pasrah akan perjalanan hidup manusia yang penghujungnya adalah  meninggalkan alam sementara ini. Sesungguhnya kematian itu suatu perkara yang mesti diingati.  Sekilas, mengingati bacaan semasa di "blok mati" Sg Buloh beberapa bulan lalu, Tulisan Imam Gahzali daripada karya agungnya Ihya Ulumuddin, membicarakan mengingat tentang mati itu suatu keutamaan. Ulama tersohor ini memetik sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Al- Mundziri, Rasulullah berpesan kepada Abdullah bin Umar, " apabila engkau berada di waktu pagi, jangan berbicara kepada hati mu tentang waktu petang, apabila engkau berada di waktu petang jangan berbicara kepada hati mu tentang waktu pagi, siapkanlah hidup mu untuk menghadapi kematian mu, siapkan masa sihat mu untuk menghadapi masa sakit mu, kerana engkau wahai Abdullah tidak tahu apa sebutan untuk mu esoknya". 

Rasa mati itu sememangnya tiada gambaran untuk diceritakan, yang paling hampir cuma rasa kesakitan yang amat sangat, kecederaan tubuh badan yang parah dan dalam keadaan rasa seakan-akan nyawa akan dicabut daripada jasad tetapi itu semua bukannya rasa mati, tiada siapa di dunia ini yang boleh menceritakan rasa mati, kerana tiada orang mati yang hidup semula untuk menceritakan rasa mati itu cuma ada waktunya yang terkeluar daripada mulut kita  kata kiasan sahaja, "sakitnya macam nak mati" tetapi belum mati....apa rasa mati yang sebenar.......  

Mungkin ada antara kita pernah berada dalam situasi hampir mati namun tiadalah perlu untuk membuat pengakuan sedemikian, Bukannya tujuan coretan ini mencari mereka yang senasib dengan penulis. Coretan ini sekadar mengimbau kembali detik-detik "hampir mati" yang dilalui penulis beberapa bulan lalu, lebih tepat bulan November tahun lalu. Tidak mungkin rasa itu dapat dirasai  bersama dengan  sahabat yang lain, biarlah ia menjadi pengalaman yang menyedarkan penulis tentang keadaan hampir mati. Usia yang dilanjutkan oleh Allah swt disyukuri, kerahmatanNya yang dipinta.

Coretan petang Ahad ini tiadalah motifnya untuk mendidik sesiapa tetapi lebih menjurus untuk mengingati mati,  sepertimana sebuah hadis riwayat al- Hatsami, Saidina Aisyah ra bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang dihimpun bersama para syuhada"? Baginda menjawab, " orang yang mengingati mati sebanyak dua puloh kali dalam sehari semalam". 

Maaf dan ampun atas sebarang keterlanjuran dan kekurangan, Sekudap rasa untuk dirasai bersama.

Amir Md Akhir
18/11/12


Tiada ulasan:

Catat Ulasan