Laman Utama

03 Mei, 2011

Karai Oh Karai (posted by Sham)

Sent: Sun, 1 May, 2011 22:54:48

Kesempatan mengunjungi khenduri anak Rosli di Karai, banyak mengingatkan zaman zaman remaja, terkenang ditahun tahun 70 an, ketika ku kayuh "basikal lori" dari Kota Lama Kanan ke pekan Karai, membeli keperluan dapur untuk sebulan, beras 10 gantang, ikan kering beberapa kati, gula, garam, ikan tamban kering, dengan berbekalkan 30 ringgit, biasa memenuhi guni belang untuk bekalan anak beranak 6 orang untuk santapan menarik gebar dan menutupi lapar dikala malam.

Karai, tidak banyak berubah, seperti pada tahun tahun 70 an, kecuali peniaganya telah beralih generasi, turun temurun, dari generasi terdahulu diperturunkan pada generasi terkemudian.

Sambil menghirup susu halia dan mee rebus, fikiran melayang, teringatkan zaman keanak anakan, ketika itu, baru di Tingkatan 2, telah diajar mengenai kepelbagaian tanggongjawab kehidupan, sebelah paginya, mengambil pulang pergi ke changkat berhampiran mengutip sekerap, sebelum ke sekolah sebelah petangnya, dan acara hujung minggu dengan tanaman pisang seluas seekar, yang ketika itu membuah hasil 50 ringgit seminggu, ketika itu cukup bererti jumlah sebesar itu, manakala diselang selinya, mengutip buah kopi, dijemur dan dikeringkan, ditumbuk dan dijual bijirinnya di pekan Karai, RM 2.40 sekati, sekali penghasilannya, lingkungan 50 kati, sekali penjualan.

Begitulah acaranya sehinggalah tamat MCE, dan sejurus sebelum memasuki alam pekerjaan dengan Felda.

Nostalgia Karai menyingkap sejarah silam, keperitan kehidupan ala kampungan, dan bagi yang masih dengan suasana itu, dan aktiviti kerjaya masa kini yang jauh merubah keadaan penghuninya yang banyak meninggalkan kampong halaman, mencari kerja di pinggiran kota.

Begitulah kehidupan diketika itu, anak kampungan yang melangkah meneroka hutan, dibangunkan, atas nama kerjaya, memugar tanah untuk diabadikan pada tuan tuan tanah peserta rancangan, 10 ekar seorang, dan membuatku tersentak dari lamunan, tak ada sekeping tanahpun mampu diraih untuk berkebun, yang menjadi darah daging kehidupan duluan, demikian masa merubah keadaan....,

Karai Oh Karai......

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan