Laman Utama

11 Oktober, 2010

Balasungkawa -sahabatku Afandi Hashim

Sent: Sun, 10 October, 2010 1:38:41

Seusai pertemuan aku dan rakan ku Razi bersama Pak Yazir di kantornya di daerah Sudirman, kami bercadang menikmati makan tengah hari Nasi Padang di Sabang. Perjalan dari kantor Pak Yazir ke Sabang tidaklah jauh cuma 3 km tetapi seperti biasa di kota Jakarta jarak seperti itu tidak menjamin kita akan segera sampai ke destinasi yang dituju. Kami bertiga menaiki "Mercy" Pak Yazir, mobil itu dipandu oleh supirnya Pak Adat. Setelah hampir 30 minit kami sampai di rumah makan Nasi Padang Garuda yang terkenal di Jakarta. Mobil "Mercy" itu kini telah berada di kawasan parkir, aku terima panggilan daripada Azlin namun setelah dua deringan panggilan itu terputus, kata hati ku tak sabar juga Azlin ni, pasti yang mau ditanyanya tentang beg laptop yang aku telah janjikan untuk dibawa balik ke Malaysia, mungkin dia mau lebih daripada 5. Aku cuba menghubunginya tetapi talian sibuk. Tidak beberapa minit kemudian aku menerima SMS daripada Azlin, aku masih di kerusi depan mobil Pak Yazir, di sebelah ku Pak Adat, di tempat duduk belakang Razi dan Pak Yazir. Aku membaca isi kandung SMS itu...kepala ku berputar pening, lidah ku kelu dan jantung ku berdegup kencang, libang libu aku jadinya, terasa badan ku amat lemah dan longlai. Pak Adat di sebelah ku langsung kaget, antara jelas dan tidak di telinga ku, ku dengar suara Pak Adat bertanya pada ku "Kenapa Pak Amir?" Aku tak bisa menjawab terus, lidah ku bagaikan keras dan beku tetapi ku kuatkan semangat dan hati untuk menjawab pertanyaan pak supir itu, "Sahabat saya baru sebentar tadi meninggal dunia Pak", tanpa ku sedari airmata  ku mengalir di kedua-dua pipi ku. (Aku sebenarnya seorang yang sukar untuk menangis, kali terakhir aku berada dalam keadaan demikian. apabila emak ku meninggal dunia 6 tahun lalu, begitu juga apabila ayah ku meninggal dunia 16 tahun lalu dan anak ku  yang ketiga meninggal 15 tahun lalu seringnya rasa sedih ku pendamkan di dalam hati). Di usia yang sudah mencapai 50 tahun (HUT ku pada 25 September)  atau setengah abad ini aku telah berada dalam situasi yang pelbagai, telah ku lalui tinggi rendahnya langit, dangkal dalamnya lautam, lurah jurangnya bumi namun tidak pernah ku tempuhinya dengan tangisan tetapi kini jiwa ku terlalu nipis atas perginya seorang sahabat, aku masih bingung di kerusi empuk Mercy S320. 

Lalu Pak Adat mencelah "Sabar Pak Amir, teman bapak itu sudah kembali kepada sang penciptanya, Allah s.w.t., dunia ini Pak hanya laluan sementara sahaja, gak ada yang lebih dari itu, gak ada yang kekal abadi", bergetar hati ku mendengar kata-kata Pak Adat, aku sedar falasafah hidup manusia di bumi Allah ini tetapi ada waktunya aku lupa, tidak ku sangka seorang yang baru ku kenal tidak sampai setahun bisa mengingati ku, Pak Adat menambah lagi,"Marilah kita sama-sama sedekahkan al-fatihah kepada almarhumnya (bahasa Indonesia menggantikan perkataan arwah), di waktu itu juga rakan-rakan yang masih berada di tempat duduk belakang turut bersetuju, sebelum aku memulakan bacaan, Pak Adat bertanya lagi "siapa nama teman bapak itu? Aku menjawab, Afandi Bin Hashim. Lalu kami berempat melangsungkan niat kami bersedekahkan al-fatihah kepada arwah sahabat ku. Seusai itu hati ku berkata, 'orang tidak pernah kenal sahabat ku Afandi turut mendoakan rohnya berada di tempat yang dirahmati Allah, Ya Allah....Allahuakbar.... (menitis airmata ku, sebak dadaku,terasa tangan Razi menepuk di belakang ku, mungkin itu tanda supaya aku bersabar lagi). Untuk menghormati rakan ku dan Pak Yazir aku kuatkan kaki ku untuk keluar dari mobil itu untuk memasuki rumah makan, nasi padang sudah tidak enak bagi ku pada tengah hari itu.

Afandi Bin Hashim telah ku kenali 32 tahun yang lalu sewaktu dia memasuki kelas 5A2 pada  tahun 1978 bulannya tidak ku ingat tetapi yang pasti selepas keputusan M.C.E. 1977 dikeluarkan.Beliau adalah pelajar repeat, ikut kata Yasin upper 5. Seorang pelajar lain yang turut bersamanya ialah Shahrin Yahya yang memasuki kelas 5A1(maaf sekiranya ada silap ku tentang hal ini) Tidak ada sebarang masalah bagi beliau untuk mengadaptasi keadaan dalam kelas semasa itu. Sebenarnya aku memandang Fandi ni agak "rock", beliau pernah bercerita kepada ku tentang kejadian dan peristiwa yang agak semborono kepada ku,(tak perlu aku jelaskan di rauangan ini, biarlah ia menjadi rahsia ku). itu semua fasa kehidupan yang dilalui oleh remaja di tahun 70an. Selepas M.C.E. 1978 aku tidak bertemu beliau sehingga pada tahun 1980 di pekan Kuale, aku dijemput ke rumahnya di Ara Panjang, aku bermalam di rumahnya, aku diperkenalkan kepada emak dan kakaknya, serta serba sedikit tentang hal keluarga. Di bilik kami berbual pelbagai cerita sehinggalah aku menegurnya tentang jeans Levis yang dipakainya, (aku belum pernah memilikki sehelai jeans Levis), setelah didengari pujian aku itu langsung dia menyalin seluar itu dan memakai kain pelikat lalu memberi aku jeans Levis, "Nah ni kau punye Amir, aku tau pujian kau ada makna, tersentak aku dibuatnya, aku menafikannya, tetapi beliau tetap meneruskan niatnya "ambik je le, kita kan berkawan" aku sebenarnya bukannya inginkan jeans itu, benar-benar aku hanya memuji jeans itu yang "seasonnya" amat menarik,(aku seringnya membeli jeans semasa musim durian di Padang Asam, tetapi memang belum aku membeli jeans Levis kerana di waktu itu aku tak berapa kenal tentang jeans atau dunggaree (secara jujurnya beliaulah yang mengajar ku tentang jeans dan berpakaian "rugged" itu istilah dan definisi yang digunakan beliau) sehinggalah kata-katanya "kau ni kawan aku ke bukan, kalau kau tak ambik malam ni kau balik le ke Padang Asam", "aduh...macam mana balik tengah-tengah malam ni", kata hati ku, mau tak mau aku terima pemberiannya itu.Aku memakai jeans itu selama dua tahun, dalam tempoh itu juga telah membeli jeans Levis dan Lee, sehinggalah ke hari ini blue jeans aku tiada yang berjenama lain selain dari dua jenama itu.

Esok tengah harinya selepas makan tengah hari aku dan Fandi pergi ke Kuale dengan bas yang paling setia di laluan Manong - Kuale, Bas Wai Thong. Samapi di Kuale beliau langsung ke Karai dan aku balik ke Padang Asam. Aku tidak bertemu Fandi selepas itu hinggalah pada tahun 1982, pertemuan kami di Kuale yang tidak dirancang berakhir di rumah ku di Padang Asam. Dia bermalam di rumah ku, semasa di bilik ku di melihat kaset-kaset lagu yang aku miliki, kebanyakannya lagu-lagu rock Scorpion, komen beliau lagu-lagu tersebut begitu komersil, bukan. rock yang sebenar, beliau mencadangkan aku mendengar lagu-lagu Pink Floyd,aku terpengaruh dengan atittude rock Fandi. Aku pada tahun itu mengajar di sekolah swasta di Kamunting, esoknya aku ke pekan Taiping dan terus ke kedai musik mencari kaset-kaset Pink Floyd, aku membeli koleksi album yang seingast aku ada 4 atau 5 yang terkenal dengan lagu "Another Brick In The Wall". Aku terpengaruh dengan konsep musik rock yang diperkenlkan oleh Fandi.Memang unik musik Pink Floyd, aku kira unik juga penggemar lagu band ini, begitu jugalah si Fandi ni.

Aku terputus hubungan dengan Fandi hampir dua tahun, pada tahun 1984 aku bertemu dia kembali di Graduation Dinner Part Six Law Diploma In Law ITM di hotel yang kini Hilton PJ (lupa nama hotel itu di waktu itu.Majlis itu sebenarnya meraikan Part Six Diploma In Law, Aiznin adalah salah seorang pelajar yang diraikan waktu itu. Fandi bekerja di hotel itu di beverage department, malam itu aku dibelanja minum oleh Fandi. Pada malam itu kali terakhir aku bertemu Fandi sehinggalah pada Februari tahun ini di Wangsa Walk sebelum program MBK.

Aku secara jujurnya bercadang nak menulis sebuah coretan tentang Fandi sepertimana aku menulis tentang Sham beberapa minggu yang lalu, cuma agak tertangguh kerana aku memerlukan beberapa maklumat daripadanya, aku bercadang selepas aku balik dari Jakarta pada 9/10/10 akan menghubunginya tentang hal itu, aku juga berjanji kepadanya untuk membeli DVD "Children Of The Heaven", telah banyak kali apabila aku ke Jakarta itulah permintaan dan pesannya.  Pada Jumaat itu selepas makan tengah hari itulah masa yang aku bercadang untuk mencari pesanannya di toko-toko di sekitar Mangga Dua dan Senayan. Namun apa daya ku lagi.........terkilan rasa hati ku ini.....

Tulisan ku ini sebenarnya amat sukar untuk ku tahmidkan, kerana hati ku sebak, airmata ku menitis acap kali, jari-jari ku kaku untuk menaip dan minda ku bagaikan tidak keruan, namun ku kuatkan hati untuk mencurahkan apa jua yang terkandung dalam hati dan jiwa ku tentang sahabat ku yang seorang ini yang aku kenal sebagai Fandi. Seringnya kalau aku menulis sebanyak ini cuma satu jam atau kurang dari itu, tetapi kali aku telah menulis sejak malam Sabtu di Hotel Orchardz, Jakarta dan ku sambung dalam pesawat MH722 pada malam tadi dan berkahir di Kuarters KLIA pada tengah malam ini. Akan ku selesaikan juga tulisan ini.....

Memang telah ada sahabat-sahabat yang menulis tentang ingatan dan kenangan bersama Fandi, aku sedar itulah curahan hati tulus mereka, tidak dinafikan kita sebenarnya tidak banyak meluangkan waktu bersama sahabat kerana komitmen dan hal-hal yang lain atas nama tanggungjawab. Biarlah apa jua yang kita kenangkan bersama itu menjadi ikatan tebal dan kukuh antara kita bersama, aku tidak mahu mengulang apa yang telah disampaikan oleh para sahabat sebelum ini, kita telah memahami dan menjadikanya sempadan dan teladan, aku amat menyanjungi usaha kumpulan kita 73/78 selama ini, cuma persoalan bagi diri ku ini adakah aku punya waktu untuk menyaksikan penzahirannya.

Salam,
Amir Md Akhir
Kuarters KLIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan