Laman Utama

17 Oktober, 2010

Kitalah WARISAN itu

Sent: Sat, 16 October, 2010 16:10:59
Subject: Re: [7378] Kitalah WARISAN itu

Salam 73/78

    Yang tinggal pada kita adalah sebuah kenangan. Yang terpahat pada kita hanyalah ingatan pada sebuah pekan bernama "Kuala Kangsar" dan dua buah sekolah yang membudaya perwatakan kita, "Clifford Primary and Secondary".
    Setiap kali kita kembali ke pekan kecil yang tenang, walau pada waktu-waktu tertentu ia menjadi tersangat sibuk (musim perayaan Aidil Fitri), pasti kita terusik. Pasti kita terusik jika kita terus mencari tapak-tapak di mana kita bermain, di mana kita mencari hiburan dan mengisi waktu lapang, pasti kita termanggu. Tempat-tempat yang selalu kita bicarakan di ruang ini tiada lagi. Manakan kita berjumpa dengan deretan warung cendol dan laksa yang tersandar pada dinding kedai emas itu lagi. Yang tinggal hanyalah jam besar, tetapi gelung besi mengelilinginya jua telah tiada. Kehidupan pasti ditelan zaman. Kita tidak mampu kembali pada suatu waktu itu.
    Bazaar tempat kita bermain menyorok sewaktu di usia lower form juga telah tidak wujud. Mana ada lagi lagi pohon ketapang rendang tempat kita menghirup air bubur cha-cha. Restoran Kassim dipinggir jambatan telah lama dirobohkan atas nama mengisi ruang pelancungan.
    Bau hanyir "market" lama hanya tinggal kenangan. Bangunan suram di bawah lembah yang sentiasa digenangi banjir juga tida k terbayang rupanya lagi.
    Mana pergi Pohon besar redup untuk  Sipengunting rambut? Segalanya hanya memori untuk kita Cliffordian 73/78 kongsi bersama.
    Jika bukan kita yang mengimbau indahnya Kuale waktu itu, siapa lagi?. Anak-anak kita tidak mungkin mahu berkongsi bersama, jika runtuhan kenangan itupun tiada....bagaimana bicara kita untuk hebahkan pada mereka.
    Kita akan pergi. Seperti saudara kita arwah Afandi, mahupun arwah Sazali, atau Ezani, Shafei dan lain-lain lagi (Al-Fatihah). Tetapi sebelum kita pergi, pastikankan kita tinggalkan kenangan abadi untuk kita kongsi bersama. Kerana hanya kita yang mengerti indahnya memori yang pernah kita ukir bersama. dan kini kita bina sebuah TUGU PERSAHABATAN. Kitalah warisan itu. Kitalah yang dapat meneruskan kesinambungan indahnya sebuah persahabatan yang kita anyam dan jalin dari liku-liku pergaduhan zaman kanak-kanak, liku-liku cinta yang kita ukir di pekan Kuale. Kita anyam dan jalin persahabatan atas nama Cliffordian 73/78.
    Allah SWT merahmati niat murni kita.

Salam Hormat
Yasin Ismail


Tiada ulasan:

Catat Ulasan