Laman Utama

08 Julai, 2010

Bab 5 - Hikayat Kole O dan Curut... (posted by Amir)

Sent: Sun, 9 May, 2010 13:01:21

Alkisah, rakan-rakan seperguruan yang berguru sama 32 tahun lalu itu peka akan kehidupan rakan-rakan, apa apa yang berlaku di kalangan mereka tidaklah dilupai, justeru dibualkan bersama. 

Hatta, adalah salah seorang daripada mereka yang kerjanya di bawah kuasa Temenggung diperintahkan berkerja di luar negari, kerjanya sebagai pengaman di negeri asing yang tidak pernah aman selepas dijajah. Keadaan di negeri asing itu tidaklah seamanya, ada perkara dan hal masih tidak terurus oleh pemerintah negeri asing itu.

Maka, rakan yang diamanahkan kerja ini bersiap diri untuk dihantar ke negara asing tersebut, dimaklumkan kepada rakan-rakannya yang lain. Rakan-rakannya itu tiadalah berdiam diri, kata nasihat dan semangat diberikan, sememangnya bukanlah senang bekerja di negara asing itu, apatah lagi meninggalkan keluarga di tanah air. Bukan calang-calang orang yang mampu menempuh keadaan seperti itu. Mungkin semangatnya kuat dan menyedari peri penting baktinya kepada  nusa dan negeri.

Tiadalah airmata dari rakan-rakannya yang mengiringi pemergiannya, tetapi manalah tahu mungkin ada jua, yang pasti ada titisan airmata dari keluarga yang tersayang. Namun rakan-rakan dan keluarganya telah mendoakan akan keselamatan dan semoga kesihatannya sentiasa baik adanya. Inilah bekalan keramat yang dibawanya bersama ke negara asing itu.

Sementelahan itu, rakan-rakan masih terus berbicara tentang kehidupan masing-masing, antara yang rancak dibualkan mereka adalah tentang hari kelahiran rakan-rakan. Bermacam-macam kata ucapan yang disampaikan, hinggakan burung utusan tidak henti terbang tanpa mengenal penat lelah, kerana ahlinya rakan-rakan itu memelihara dan melatih burung utusan. Apatah lagi bukan hanya tulisan sahaja yang dihantar malah bermacam-macam lukisan dan lakaran yang diutus oleh burung utusan itu. Kesemua tulisan, lukisan dan lakaran itu tiadalah lain tujuannya hanya satu sahaja yakni dijadikan renungan dan santapan akal semua mereka.

Hakikatnya, nukilan dari rasa jiwa dan hati itulah yang  mengampuhkan erti persahabatan rakan-rakan seperguruan itu. 

Tiadalah enak duduknya Belalang di kereta lembu itu, dengan bau yang kian tengik apalagi dan barangan dalam guni-guni yang masih menganggu fikirannya. Sebenarnya dia tahu akan kandungan guni itu adalah tembakau dari negeri asing di utara yang dimaktubkan sebagai barang salah  di sisi undang-undang negerinya, tetapi apakan daya dia tidak menyusul siasat dulu barangan yang dibawa dalam kereta lembu itu, cuma dia mampu berdoa tiadalah pegawai-pegawai Temenggung negeri akan menahan kereta lembu itu. Namun tiadalah lama waktunya, Belalang mendengar suara yang besar mengarahkan kereta lembu itu berhenti, maka tiadalah bergerak kereta lembu itu. Langsung didengarnya juga langkah kaki pegawai yang empunya suara besar itu ke belakang kereta lembu, Belalang cuma menundukkan kepalanya tiadalah ia berani mengangkat kepalanya, dirasanya celana panjang yang dipakainya telah mula agak lembap, kedua-dua kaki dan tangannya mula bergoyang takut. Apabila pegawai negeri itu berdiri betul-betul di hadapannya maka terdengarlah lagi suara yang besar itu mengarahkannya bangun dan memperkenalkan dirinya. Tiadalah ia membantah, langsung berdiri dan mengangkat kepalanya dan merenenung wajah pegawai negeri itu, dilihatnya di mulut pegawai negeri itu terselit sebatang curut, pegawai negeri itu seorang penghisap curut! Namun ditenungnya lagi wajah pegawai negeri dan begitu jugalah pegawai negeri itu menenung wajah Belalang, tidak lama keadaannya terus kedua-duanya bersuara serentak "tidakkah kita bertemu di majlis kenduri di desa Kole O beberapa hari yang lalu?" Langsung serentak jugalah di jawab " Ya!". Dalam pada itu di benak hatinya Belalang, timbul soalan siapa sebenarnya gerangan pegawai negeri?

Amir Md Akhir
9/5/10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan