Laman Utama

12 Ogos, 2010

Kita dan Kehidupan XI (...posted by Sham)

Sent: Sun, 1 August, 2010 15:24:48

Membawa hati yang pilu, terkenang apa yang telah pergi membuat seseorang bersifat mandum, kelihatan dungu dan serupa ayam berak kapor. Inilah fasa fasa kehidupan, yang ada kalanya macam orang kalah bersabung, kalah judi dan umpamanya. 

Jangan putus asa kawan, itulah kata kata perangsang dari rakan yang seiring dinegeri orang, sama sama menetap di Kangar, dan sama sama makan pisang berangan dikala zaman merudum, tak mampu nak biaya makan tengahari diwarung, 'kedai cetok' , untuk meneruskan kerjaya dan memikirkan keberlangsungannya. 

Rakan diperantauan ini selalunya berkawan jua dengan sama senasib dengannya. Sama sama merasai bidalan, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Beginilah kemurungan ini, acapkali, keluar malam, sering bertukar tukar pandangan dan memberikan buah fikiran.

Jika duit ditangan ada lebih sedikit, acapkali aku dan Roslan, menikmati "mee gulung", masakan specialties dari resepi Thai, tukang masaknya dari Pattani, Thailand. Selalu juga kami berbicara, macammana lah nak survive.

Pada tahun 2004  sebaik sahaja, consulting work di Filipina tidak membuahkan apa apa kecuali hutang, maka terbanglah ke Negeri di bawah angin, ke Sydney, mencari ruang dan berpersatuan dengan Quality Society of Australasia. Australia, pada mula mula menjejak kaki dibuminya, disambut dengan anjing, German Schepard, mencium segala apa yang diarah oleh pengendalinya. Dan dibuka lah beg  pakaian, bertegang urat lah dengan dept of agriculture, yang untuk mengkuarantinekan tin sardin yang dibawa bagai bekal. Nak dikompaunnya, atas larangan itu, rupa rupanya untuk masuk ke Australia ini, bawa badan sajalah, jangan nak menyiksa diri, bertegang urat dengan kastamnya. 

Sambil menghadiri seminar, di Paramatta, lebih kurang 50 km dari Airport, Sydney.  Mujurlah tin sardin ni dilepaskan, minta pihak hotel sediakan nasi kosong sepinggan, A$ 2. Macam beli emas le pulak, keesokannya, makan roti lubnan bercicahkan tuna sardin yg dibawa. 


Sent: Mon, 2 August, 2010 21:02:03

Bumi asing ini menyaksikan kedatangan, sipembansat, (kata orang sebelah Utara Semenanjung), menyelami kehidupan sosial di Australia, rata rata masyarakatnya, yang berasaskan perkhidmatan, menyara hidup mereka. Inilah gaya hidup, negara maju, setiap khidmat yang diberi, perlu dibayar, hatta si penunjuk jalan pun ada bayarannya.

Asing sungguh budaya itu, rata rata masyarakat Timur, begitu berlapang dada kepada pendatang, benarlah kata pendatang dari benua kecil India, "rezeki ada dimana mana di nusantara ini", mungkin peribuminya terlalu penyantun, hingga apa yang menjadi keperluan, di tebarkan kepada yang mencari peluang, maka kebanjiranlah dengan masyarakat pendatang asing meraih rezeki dibumi nusantara.

Kita yang kailnya panjang sejengkal, menyabung nasib mengail ikan di lautan luas, apakan daya tangan tak sampai, bot kecil yang dibawa, dihempap ombak deras yang biasa menenggelamkan.

Sebagai anak desa, yang ilmu tak setinggi mana, biasa berpatah arang, kalah sebelum berperang.

Begitulah nasib anak desa diperantauan, mencari dan terus mencari, demi memanjangkan kail dan bot yang lebih besar.

Cari dan terus mencari!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan